Wed Apr 26, 06 10:48:15 AM Oleh Salman Hussin
PONTIAN, 26 April (Hrkh) - Kemampuan serta kesungguhan Yayasan Amal memainkan peranan dalam masyarakat terutama perkara yang membabitkan kebajikan rakyat amat besar ertinya bagi golongan marhaen yang sememangnya memerlukan pembelaan bagi mengatasi sebarang kemelut kehidupan yang dihadapi.
Bagi lebih 50 penduduk Kampung Merdeka Pantai, dekat sini, yang berhadapan dengan masalah hakisan pantai sejak beberapa tahun lalu yang mengakibatkan kediaman mereka rosak teruk merasa amat kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin Umno menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.
Berikutan dari kekecewaan ini telah mendorong penduduk mencuba nasib menagih simpati dari Yayasan Amal untuk membela nasib mereka, ternyata cubaan mereka tidak sia-sia.
Sesuai dengan kewujudannya sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), Yayasan Amal Pontian segera bertindak mengatur pertemuan antara penduduk dengan wakil rakyat terbabit yang terdiri dari Anggota Parlimen Pontian, Ir. Hasni Mohamad, Adun Pulai Sebatang; Tee Siew Keong dan juga Presiden TERAS, Haji Azmi Abdul Hamid.
Bagaimanapun penduduk yang 100 peratus penyokong setia Umno merasa amat terkilan apabila Anggota Parlimen Pontian, Ir Hasni Mohamad, gagal menghadiri majlis dialog yang amat besar ertinya bagi penduduk terbabit.
Majlis dialog yang diadakan hampir dua jam ini telah memberi peluang kepada penduduk menyuarakan rintihan dan penderitaan yang mereka alami selama ini, justeru mereka mengharapkan Adun Pulai Sebatang, Tee Siew Keong, segera menyelesaikan masalah mereka.
Jurucakap Yayasan Amal Pontian, Shamsuddin Jaafar, memberitahu, “isu gelombang besar dan hakisan pantai yang memusnahkan rumah penduduk ini bukan isu baru, ianya telah berlaku sejak lebih dua tahun lalu dan perkara ini telah pun diajukan ke pihak atasan tetapi malangnya sehingga hari ini tiada sebarang tindakan dibuat bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk.
“Kita merasa amat kesal dengan kelewatan kerajaan membina benteng bagi menahan ombak, kelewatan ini menyebabkan hakisan terus berlaku selain rumah penduduk terus diancam gelombang besar yang dijangka akan berlaku pada Julai dan Ogos ini,"katanya.
No comments:
Post a Comment