03 April 2006

KERTAS 1 - KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR

KERTAS 1
UCAPAN PENGERUSI
JAWATANKUASA PEMUDA BARISAN ALTERNATIF (BA)
NEGERI JOHOR

SEMPENA
KONVENSYEN PEMUDA BA NEGERI JOHOR KALI PERTAMA

“MEMBINA PERPADUAN MENJANA KEBANGKITAN”

PEMBUKA BICARA

Saudara dan saudari perwakilan sekelian,

KITA BERSYUKUR ke hadhrat Allah s.w.t kerana pada hari ini telah tercatat satu sejarah di dalam perjuangan Pemuda BA Negeri Johor kerana buat pertama kalinya kita dapat mengadakan Konvensyen Pemuda BA Johor. Walaupun usia pembentukan Pemuda BA Johor masih mentah dalam kancah politik Johor tetapi diharapkan agar dengan iltizam dan kesungguhan kita pada hari ini akan mendatangkan natijah yang lebih bermakna kepada perjuangan ini.

Konvensyen yang kita adakan pada hari ini berlangsung dalam suasana kedaulatan dan hak rakyat berada di tahap paling rendah. Umat Islam sendiri sudah hilang kedaulatannya di mana-mana saja di dunia. Rata-rata kedaulatan, maruah dan kredibiliti masing-masing boleh dipersoal. Allah tidak akan mengubah nasib yang ada ini melainkan rakyat dan umat sendiri menuntut dan memperjuangkannya. Rasuah dan penyelewengan terus berleluasa tanpa nohtahnya.

Terlebih dahulu, saya bagi pihak seluruh kepemimpinan Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor ingin mengalungkan ribuan terima kasih kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Johor, Jawatankuasa Perhubungan Keadilan Negeri Johor dan kepada Ahli Jawatankuasa Konvensyen yang bekerja keras menjayakan konvensyen buat julung kalinya dengan memastikan keberkesanan dan kelancarannya.

Saya juga merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas keprihatinan dan komitmen seluruh kepimpinan BA di semua peringkat dan pendukung keadilan dan kebenaran yang memberikan perhatian dan mengemblengkan usaha yang bersungguh-sungguh demi kejayaan konvensyen pada kali ini.

Mudah-mudahan sumbangan yang dicurahkan dalam konvensyen ini akan dinilai oleh Allah SWT sebagai amal kebajikan yang bermanfaat di dunia dan akhirat.

Hadirin sekalian,

Sebelum saya melangkah lebih jauh, saya ingin melontarkan beberapa persoalan kepada kita semua untuk dijadikan bahan untuk kita bersama;

Apakah kita dapat benar-benar merasakan dengan penghayatan gabungan kita ini sudah menepati kedudukan BA sebagai pakatan 'mainstream' atau arus perdana di negeri Johor yang bersedia untuk menempatkan BA selaku kerajaan menanti?

Apakah kita semakin mendapatkan keyakinan rakyat khasnya pengundi Melayu-Islam dan seluruh rakyat di negara ini dengan isu, penampilan polisi dan gagasan yang kita pelopori?

Apakah hati dan keyakinan rakyat telah kita menangi melalui pendedahan dan program penerangan jentera parti kita, akan segala pengurusan pincang pembangunan dan ekonomi negara, segala gejala rasuah, kezaliman dan ketamakan kelompok tertentu pemerintah, pemborosan yang menghancurkan, barah sosio-budaya yang semakin parah dan tuntutan agama yang dikesampingkan?

Apakah seteru politik kita hari ini gerun dengan apa yang telah kita lakukan atau mereka memadang enteng terhadap apa yang kita usahakan selama ini?.

Saya mengharapkan para perwakilan akan meneliti dan membahaskan persoalan ini, di samping perbincangan yang akan meneliti tahap pecapaian kita selama ini.


PERKEMBANGAN POLITIK

Pengumuman mengejut oleh kerajaan pada malam 27 Februari 2006 bahawa akan berlakunya kenaikan harga minyak petrol dan diesel sebanyak RM 0.30 sememangnya memeranjatkan kita. Walaupun kenaikannya sudah dijangkakan akan berlaku tetapi tindakan kerajaan terus menaikkan sebanyak RM 0.30 adalah diluar daripada jangkaan rakyat. Inilah kenaikan yang paling tinggi yang pernah dilakukan oleh kerajaan BN sejak daripada negara kita merdeka.

Kebimbangan rakyat bahawa kesan kenaikan harga minyak ini akan memberikan impak terhadap harga barangan keperluan akan meningkat mendadak menjadi kenyataan apabila peniaga ‘berebut-rebut’ untuk menaikkan harga jualan dengan alasan tidak sanggup mengalami kerugian.

Rakyat dipaksa menerima segala keputusan kerajaan dan dalam masa yang sama ditegah sama sekali untuk menaikkan harga barangan. Pengusaha-pengusaha bas awam, teksi dan bas sekolah mengeluh kerana terus dihambat kerugian serta peniaga makanan terjerat dengan harga kawalan.

Isu pembinaan Jambatan Indah yang bakal menghubungkan Malaysia dengan Singapura menjadi membuka mata rakyat apabila Menteri Luar Malaysia mengumumkan bahawa tuntutan tambahan Singapura iaitu Malaysia membekalkan pasir laut dan membenarkan Singapura menggunakan laluan udara Malaysia akan dipertimbangkan melahirkan rasa curiga.

Kerusi Tunggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang.

Bagi rakyat Johor yang memperjuangkan kebenaran dan keadilan, kemenangan satu kerusi di dalam Pilihanraya Umum ke 11 untuk kerusi Dewan undangan Negeri (DUN) Johor amat bermakna. Melalui wakil tunggal PAS/BA, YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari banyak isu yang telah berjaya dibongkar, pelbagai kepincangan telah berjaya diselongkar dan didedahkan. Kebimbangan kerajaan BN Johor terserlah apabila soalan-soalan yang telah dikemukan sebelum ini cukup-cukup menjerat mereka. Di antara kejayaan YB Dr Mohd Ramli adalah apabila beliau telah berjaya memaksa Menteri Besar Johor untuk mengumumkan jumlah sebenar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat iaitu RM932juta.

Namun begitu, hanya berbekalkan satu kerusi sahaja masih belum cukup untuk menggugat kedudukan BN yang selesa disinggahsana pemerintahan. Penambahan kerusi pembangkang di Johor perlu dipergiatkan dengan harapan rakyat Johor akan dapat menilai kemampuan kita sebagai wakil yang sebenar kepada rakyat.

MERANGKA PERSIAPAN MENGHADAPI PILIHANRAYA KE 12

Kita perlu melihat kepada realiti yang harus kita hadapi di dalam politik di Johor ini yang cukup terkenal sebagai kubu kuat UMNO di dunia. Sokongan daripada kaum melayu kepada UMNO/BN terutamanya yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan penempatan rancangan FELDA dan FELCRA dilihat sangat sukar untuk menerima kita sebagai pembela nasib mereka.

Apakah kita harus meletakkan peranan kita sebagai pakatan yang mampu untuk menumbangkan BN di Johor pada pilihanraya Umum yang akan datang atau sekadar untuk menjadi pembangkang yang kuat?

Kepentingan merangka persiapan yang lebih realistik perlu kita lakukan dengan segera agar kita tidak terkapai-kapai di pertengahan jalan nanti.

Pemuda BA perlu mempunyai perancangan tersendiri untuk mencapai hasrat ini walaupun kita sedar bahawa keputusannya akan tetap ditentukan oleh BA Negeri Johor. Sekurang-kurangnya pandangan yang dikemukakan oleh anak-anak muda yang mewakili sayap kanan setidak-tidaknya bakal dinilai oleh pimpinan parti politik masing-masing. Oleh itu, saya harapkan agar konvensyen ini menjadi pencetus terhadap perkara ini.

MENDEPANI CABARAN PERJUANGAN BA JOHOR

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

Apabila kita telah bertekad untuk menggegarkan politik Johor dan sekurang-kurangnya dilihat sebagai pembela nasib rakyat, Pemuda BA Johor perlulah merangka strategi untuk membina kekuatan grass root atau akar umbi. Pelbagai perancangan dan strategi mampu kita rangka di peringkat negeri tetapi apakah semuanya ini akan disambut oleh mereka yang berada di kawasan/bahagian seterusnya pemuda di cawangan-cawangan.

Marilah kita membina kekuatan sebenar yang mampu menerjah ke alam realiti bukan hanya berlegar-legar dalam alam fantasi yang akhirnya akan menikam diri sendiri.

Presiden Sukarno, pejuang kemerdekaan Indonesia pernah berkata : “Beri saya sepuluh orang pemuda, kami akan mengubah dunia.” Banyak perkara yang dikata atau dilakukan oleh Sukarno boleh kita pertikaikan. Akan tetapi, saya bersetuju dengan pandangan optimistik beliau tentang pemuda. Ia memberikan penilaian yang saya anggap tepat terhadap kekuatan tenaga muda itu. Dan saya yakin, apabila beliau menggunakan perkataan “pemuda”, beliau tidak maksudkan hanya lelaki, tetapi meliputi wanita.

NEGERI JOHOR SEMAKIN PARAH

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekelian,

Sepanjang setahun yang lalu, negeri Johor telah dilanda dengan beberapa isu sehingga mendapat perhatian daripada semua pihak. Isu gejala sosial, lambakan VCD lucah, pembuangan sisa toksik secara haram, penyalahgunaan dadah, krisis bekalan air serta pendedahan hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan pusat yang terlalu tinggi memperlihatkan lagi kelemahan kerajaan Johor.

Krisis sosial golongan remaja semakin membimbangkan kita. Harian Metro Edisi Selatan bertarikh 5 Julai 2005 pernah menyiarkan isu yang berkaitan dengan kejadian rogol yang bertajuk “Habuan nafsu kekasih”. Berita ini menyatakan bahawa semakin ramai golongan remaja perempuan terutama gadis bawah umur tempatan didapati menjadi mangsa kerakusan nafsu mahupun terlanjur bersama kekasih berikutan bersikap terlalu berani serta mudah percaya dengan janji manis teman lelaki masing-masing.

Gejala sosial seolah-olahnya semakin sukar dibendung. Malam sambutan tahun baru 2006 yang berlangsung di Dataran Danga Bay membuktikan betapa kerajaan Johor tidak memperdulikan masa depan sosial anak-anak remaja khususnya anak-anak melayu.

Lebih parah lagi, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Datuk Zainal Abidin Osman mendedahkan bagaimana kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta.

Pembunuhan anak-anak yang tidak berdosa seperti yang telah dialami oleh Allahyarham Syafiqah Borhan dan Nurulhuda Baharin menambahkan mimpi ngeri rakyat Johor. Laporan kejadian pergaduhan di sekolah-sekolah di Johor seperti yang dilaporkan dalam sidang DUN Johor menambahkan lagi kebimbangan ini.

Penjualan VCD Lucah

Dalam masa yang sama, penjualan VCD haram/lucah seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru. Bayangkan, masalah penjualan VCD haram yang berleluasa ini telah mendapat reaksi daripada Datuk Abdul Ghani sendiri yang membidas sendiri pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya. Ini secara tidak langsung menunjukkan betapa lemahnya kerajaan UMNO/BN Johor yang tidak mampu mengawal penjualan VCD lucah ini.

Penyalahgunaan dadah semakin ketara. Tahniah diucapkan kepada Jabatan Narkotik Polis Johor (JNPJ) kerana telah menjalankan tugas dengan baik khususnya didalam menangani masalah dadah yang melanda rakyat Johor khususnya di kalangan remaja. JNPJ telah mengadakan 532 serbuan di pusat hiburan seluruh negeri dengan mengarahkan 12,630 orang menjalani pemeriksaan air kencing sepanjang tahun 2005.

Krisis Air di Johor

Krisis bekalan air terutama yang melibatkan Daerah Batu Pahat dan Kluang telah memberikan kesan kepada rakyat. Langkah yang diambil oleh Pemuda BA Johor menangani masalah ini sekurang-kurangnya dapat mendedahkan kepincangan kerajaan Johor. Pencemaran air sungai serta krisis air takungan empangan sehingga pencatuan air terpaksa dilakukan menyebabkan rakyat mengalami kesulitan yang berpanjangan.

Hutang Kerajaan Negeri Johor

Pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil bahawa negeri Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan hutang kepada kerajaan Pusat iaitu RM 598.35 juta telah melahirkan rasa curiga di kalangan rakyat. Namun begitu, hutang sebenar kerajaan Johor bukanlah seperti yang dinyatakan. Rakyat mengucapkan tahniah kepada YB Dr Mohd Ramli berjaya mencungkil hutang sebenar kerajaan Johor di dalam sidang DUN Johor iaitu RM 932 juta.

Pembuangan Sisa Toksik Secara Haram

Isu pembuangan sisa toksik secara besar-besaran yang didedahkan di Johor mendedahkan kelemahan JAS dengan penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, yang dipercayai dibawa masuk dari Taiwan, di Pelabuhan Pasir Gudang pada 2004.

JAS sepatutnya telah mengambil pengajaran di atas penemuan 12,000 tan bahan sisa buangan industri di Simpang Renggam serta penemuan 386 kontena yang menyimpan bahan itu, di Pelabuhan Pasir Gudang. Peristiwa itu telah memalukan JAS sehingga masyarakat tertanya-tanya apakah pegawai-pegawai JAS mengambil tindakan sambil lewa sehingga tidak ternampak pun tong-tong sisa toksik di bawa ke dalam negara.

Ditambah lagi dengan penemuan lebih 5000 tan sisa toksik di Kampung Sungai Gatom yang menjadikan Johor telah menjadi pusat buangan sisa toksik secara HARAM yang terkemuka di Malaysia.

Pergolakan Masyarakat

Di Malaysia, fenomena politik yang melanda di negara ini semakin tidak seimbang. Kekeliruan konsep Islam Hadhari, amalan rasuah yang semakin membarah, peningkatan kadar jenayah, masalah sosial yang semakin mencemaskan, kegagalan dasar pendidikan negara melahirkan belia dan remaja yang tidak bertanggungjawab. Keadaan masyarakat hari ini amat membimbangkan kita khususnya anak-anak muda kita yang bakal mewarisi negara ini di masa akan datang. Usaha kerajaan memberikan ruang yang seluas-luasnya terhadap hiburan tanpa ada batas-batas yang jelas benar-benar menjerut diri anak-anak muda kita ke arah kehancuran. Negeri Johor merupakan antara negeri yang sentiasa dalam ‘top 5’ dalam kes-kes keruntuhan moral anak-anak muda. Mereka membentuk para belia dengan pelbagai strategi dan taktik yang mana akhirnya mampu memadamkan semangat juang anak-anak muda agar kekuasaan sentiasa berada di tangan mereka. Pemikiran materialistik yang dikagumi oleh anak-anak muda hari ini umpama kanak-kanak yang kagum melihat pakaian dan permainan yang berwarna warni dan terang warnanya.

Aktiviti penggalakan kemungkaran dan penularan tanpa kawalan ini menunjukkan masyarakat kita bukan sahaja berhadapan dengan masalah sosial tetapi terjebak dalam krisis nilai. Walaupun usaha Kerajaan mengadakan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama 3 bulan bagi melahirkan generasi yang mempunyai jatiditi namun persoalannya mampukah mereka bertahan dengan anasir keruntuhan moral yang memang ditaja sendiri oleh kerajaan. Kita harus ingat bahawa generasi muda inilah merupakan kumpulan sasar kita yang terbesar dan perlu kepada perhatian kita dan menjadi fokus dalam perjuangan kita.

Amalan rasuah yang telah membarah dalam masyarakat umpama api dalam sekam yang akan menghancurkan negara. Kita hargai usaha kerajaan yang cuba memerangi rasuah namun biarlah usaha tersebut dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh dan adil bukan setakat melepaskan batuk ditangga. Anak-anak bilis yang ditangkap sedangkan jerung-jerung dibiarkan bebas berkeliaran. Slogan-slogan “Saya Anti Rasuah” yang dipakai oleh polis bukan hanya laungan kosong tapi perlu kepada pembuktian. “Political Will” atau keazaman politik perlu ada untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi bukan hanya keazaman dibibir sahaja.

Sikap terbuka Islam Hadhari yang dilalung-laungkan juga telah membuatkan orang-orang yang bukan Islam berani mengkritik Islam secara terang-terangan. Laungan azan dianggap sebagai pencemaran dan usaha untuk menubuhkan IRC sebagai ruang untuk meminda ajaran Islam. Kerajaan sepatutnya memelihara Agama Islam yang telah termaktub sebagai agama rasmi namun tindakan keterbukaan mereka sendiri telah mengundang reaksi yang menyentuh sensitiviti umat Islam.

MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN PEMUDA BA JOHOR

Alhamdulilah, sehingga ke hari ini, Pemuda BA Johor dilihat sebagai pakatan yang paling efektif jika dibandingkan dengan pemuda BA di negeri-negeri lain. Tidak salah rasanya saya menyebut bahawa kita telah dijadikan contoh oleh rakan-rakan kita di negeri lain. Kerjasama yang dipupuk semasa kita berkerjasama dalam menangani krisis air di Johor pada tahun 2005 merupakan satu petanda bahawa kita mampu bekerjasama dengan baik. Walau bagaimanapun, perlu difikirkan bentuk kerjasama yang boleh kita lalui dan aktifkan bersama khususnya dalam menangani isu rakyat Johor.

Sebagai Pengerusi Pemuda BA Johor, saya yakin dan percaya kita mampu melangkah lebih jauh dan dengan pengukuhan perpaduan ini akan melahirkan satu sikap kebersamaan.

MENDEKATI GOLONGAN MUDA

Saudara dan saudari yang dihormati sekelian,

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa perubahan sikap pengundi muda dalam pilihan raya umum yang telah memberikan tamparan hebat kepada BA, sehingga ia menjadi satu faktor kejatuhan PAS/BA di Terengganu. Peralihan undi golongan muda telah mengubah sama sekali persepsi kita selama ini bahawa kita mempunyai keselesaan di saluran-saluran yang melibatkan pengundi muda. Soalnya, mengapakah ia berlaku dengan begitu mendadak sedangkan golongan muda inilah yang menjadi penggerak reformasi pada akhir 1990-an. Persoalan ini mesti dipandang serius oleh Pemuda BA Johor, khususnya untuk mencari punca dan pendekatan menanganinya.

Selepas pilihan raya 1999, Umno/BN telah merancang strategi dan melancarkan gerakan besar-besaran untuk merampas semula pengaruh yang terlepas ke tangan BA. Pengerahan semua jentera kerajaan yang disalahgunakan, penyekatan terhadap saluran-saluran maklumat kepada rakyat, mengekang kebebasan kakitangan awam, membudayakan kehidupan hedonisme kepada muda mudi dan mengongkong pemikiran muda-mudi. Mereka juga dengan bersungguh-sungguh menggerakkan Pemuda dan Puteri Umno untuk menawan semula hati pengundi muda. Ternyata strategi mereka membuahkan hasil apabila BA kehilangan negeri Trengganu dan semua kerusi Parlimen/DUN di Pahang, Perak dan Selangor.

Kerajaan pada masa yang sama mereka menaja dan membudayakan ‘kehidupan tanpa matlamat’ melalui pelbagai program hiburan. Mereka menjemput artis-artis asing dan mengadakan konsert-konsert muzik serta memperkenalkan bentuk hiburan baru menerusi program-program seperti Malaysian Idol, Who Will Win, Audition, Akademi Fantasia dan sebagainya.

Keruntuhan jati diri muda-mudi begitu jelas termasuk di IPTA-IPTA. Kemasukan Pemuda, Putera dan Puteri Umno serta proksi mereka seperti Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di universiti, penganjuran program hiburan dan sekatan ke atas program agama telah membunuh budaya intelektual secara terancang. Hasrat membina patriotisme melalui PLKN juga tidak berjaya sebaliknya menghasilkan pemuda-pemudi yang terlibat dengan pergaduhan, kecurian, perkauman, khalwat, zina, rogol dan sebagainya. Kerajaan BN juga cuba memperkenal idola baru kepada muda-mudi dengan memperkudakan ‘wira-wira negara’ atas nama patriotisme. Sesiapa yang tidak menyokong mereka diberikan label sebagai tidak patriotis.

Serangan menyeluruh terhadap cara hidup dan pemikiran muda-mudi ini memberikan impak yang begitu negatif sehingga muda-mudi yang berada dalam keseronokan berasa sangsi terhadap ketelusan perjuangan kita. Akibatnya telah kita lihat dan rasai dalam pilihan raya yang lalu. Pemuda BA Johor perlu merangka strategi dan melakukan perubahan pendekatan terhadap golongan anak muda untuk kembali mencapai kemenangan seperti tahun 1999 akan berulang.

PENUTUP BICARA

Walaupun perjalanan kita masih jauh tetapi bukan bermakna kita tidak mampu menggapai kejayaan. Jika kita berjaya mengaturkan pendekatan terbaik berasaskan kemantapan aqidah, saya penuh yakin dengan izin Allah SWT, tiada kuasa di atas muka bumi yang boleh menghalang kita mencipta keunggulan.

Sekali lagi saya mempertegaskan bahawa misi besar Pemuda BA Johor untuk menjadi “pembela dan penyelamat rakyat” akan dapat dilaksanakan dengan penuh kesungguhan oleh kepimpinan Pemuda BA di setiap peringkat. Marilah kita merapatkan diri kita dengan perjuangan rakyat, nasib rakyat dan denyutan nadi rakyat dengan jiwa besar dan keihklasan budi kita.

Sebagai akhir kalam, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong perjuangan Pemuda BA Johor khususnya kepimpinan Angkatan Muda Keadilan Johor yang sanggup bersama mengharungi perjuangan yang sengit. Marilah kita berazam dan menanamkan semangat untuk bekerja bersama dalam satu pasukan yang mantap untuk menjayakan hasrat dan matlamat kita untuk kesejahteraan dan kebaikan.

Kicauan Burung Menggamit Kenangan,
Sawah Bendang Kampung Halaman,
Kebersamaan Kita Membina Perpaduan,
Kesepaduan Kita Menjana Kebangkitan.

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Jawatankuasa Pemuda BA Negeri Johor
Konvensyen Pemuda BA Negeri Johor kali Pertama
Hotel Kelana, Skudai, Johor Bahru.
2 April 2006.

No comments: