17 April 2006

ISU JAMBATAN : UMNO/BN MESTI BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN RM 100 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA

Kenyataan Media
(17 April 2006)

TAJUK :

ISU JAMBATAN : UMNO/BN MESTI BERTANGGUNGJAWAB DI ATAS KERUGIAN RM 100 JUTA WANG RAKYAT MALAYSIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita di atas kecuaian yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia yang telah terpaksa membayar pampasan sebanyak RM 100 juta kepada syarikat Gerbang Perdana Sdn Bhd (GPSB) kerana ketetapan yang telah diambil untuk proses pembatalan pembinaan jambatan yang dicadangkan dapat menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

DPPNJ menegaskan bahawa RM 100 juta bukanlah satu jumlah yang sedikit kerana dengan RM 100 juta ini dapat digunakan untuk membina 4000 buah rumah kos rendah diseluruh Malaysia.

Untuk menutup malu dan kelemahan ini, pimpinan kerajaan khususnya pemimpin UMNO melemparkan pelbagai jawapan dan mengalihkan isu untuk mengelakkan tindakan mereka dikritik oleh rakyat.

Isu-isu lain cuba dibangkitkan untuk mengalih pandangan rakyat terhadap isu pembatalan pembinaan jambatan ini khususnya daripada Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar yang dilihat tidak konsisten dan tidak bermaya dalam memperjelaskan isu ini.

Bayangkan, isu berkaitan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pusat (CPF) yang telah dipinda pada tahun 1995 yang tidak memerlukan pencarum yang bukan rakyat Singapura untuk mencarum cuba dibangkitkan kembali.

Kenapa tidak dijelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan pada tahun ini sahaja telah membelanjakan RM 2.4 Billion untuk pembiayaan Formula One Sepang dan promosinya sebanyak RM 98 juta. Sekarang ini ditambah lagi dengan bayaran pampasan sebanyak RM 100 juta kepada GPSB yang akhirnya rakyatlah yang dijadikan mangsa.

Semalam, dalam ruangan rencana di Mingguan Malaysia telah disiarkan wawancara bersama tokoh sejarah yang disegani iaitu Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim dan Ahli Parlimen Johor Bahru, YB Datuk Shahrir Samad yang memberikan pandangan berkaitan dengan isu pembinaan jambatan ini.

Prof. Emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim berkata;

“ Kita perlu membuat kajian yang mendalam. Hubungan antara Malaysia dan Singapura tentunya tidak sama dengan hubungan antara kita (Malaysia) dengan Thailand dan Indonesia. Kita mesti mengenali jiran-jiran kita, dan lebih penting sekali mengenali diri sendiri. Tetapi kita sendiri tidak memberikan keutamaan kepada pengajian tentang negara kita sendiri.

Daripada kenyataan Dr Khoo Kay Kim ini, saya melihat bahawa beliau ingin mengingatkan kepada pemimpin UMNO/BN supaya lebih berhati-hati pada masa akan datang. Kepentingan untuk mengenali diri sendiri lebih bersifat untuk menyalahkan diri sendiri. Pemimpin UMNO/BN lebih meletakkan setiap kesalahan khususnya di dalam isu jambatan ini kepada Singapura sedangkan segalanya berpunca daripada sikap pemimpin yang tidak berhati-hati dalam mengambil tindakan.

Manakala YB Datuk Shahrir Samad menyatakan bahawa ;

“Pendapat tentang masalah undang-undang itu telah disampaikan semasa zaman Dr Mahathir oleh menteri luar/ Tetapi tidak sesiapa menganggap ia sesuatu yang serius sama ada di peringkat kerajaan negeri atau UMNO Johor. Saya mengutarakan pendapat itu tetapi saya diketepikan sehingga ada media yang panggil saya tidak patriotik. Mereka menolak tepi pandangan saya da melihat saya sebagai penentang UMNO Johor”

Daripada kata-kata Datuk Shahrir ini kita boleh membuat kesimpulan bahawa :

i. masalah undang-undang yang dijadikan alasan untuk membatalkan pembinaan jambatan ini sebenarnya telah diketahui tetapi UMNO/BN menganggap ia tidak serius. Mungkin kerajaan UMNO/BN yakin bahawa mereka mampu ‘menundukkan’ kerajaan Singapura dalam isu ini.

Sebenarnya bukanlah perkara yang pelik kerana UMNO/BN adalah pengamal ‘undang-undang rimba’ dan undang-undang digubal dan dipinda untuk kepentingan mereka sahaja.

ii. Menentang keputusan kerajaan adalah tidak patriotik walaupun pandangan kita di pihak yang benar termasuklah pandangan daripada pemimpin UMNO sendiri.

Perkara seperti ini selalu dilemparkan kepada parti pmbangkang di Malaysia terutamanya PAS walaupun PAS selalu memberikan pandangan yang membina kepada kerajaan.

iii. Kerajaan negeri Johor dan UMNO Johor menyokong pembinaan jambatan Malaysia – Singapura walaupun telah pasti bahawa mereka akan berhadapan dengan masalah undang-undang.

Jadi, apa ertinya UMNO Johor membantah pembinaan jambatan ini? Hujah bahawa tuntutan tambahan Singapura sebenarnya dijadikan alasan untuk menarik balik penyokongan mereka sebelum ini.

Di atas kelemahan ini, kerajaan di bawah pimpinan UMNO/BN mestilah bertanggungjawab sepenuhnya di atas kerugian wang rakyat dan perlu meminta maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia yang semakin hari semakin tertekan dengan sikap pemimpin UMNO/BN.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: