24 April 2006

Kes bunuh pelatih PLKN perlu siasatan menyeluruh

Posted by Picasa KUALA LUMPUR, 24 Apr (Hrkh) - Kes kematian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kluang, baru-baru ini bukan merupakan kes terpencil serta memerlukan siasatan menyeluruh berhubung keberkesanan program berkenaan.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Mazlan Aliman, berkata penyisatan itu perlu di semua kem di seluruh negara, di samping menilai sejauhmana matlamat PLKN berjaya tercapai.

"Masalah yang dialami ini merupakan masalah pengurusan yang lemah. Kawalan terhadap pelatih dan barangan larangan longgar. Bagaimana rokok yang jadi bahan pertikaian itu boleh lepas masuk? Jika pihak pengurusan bagus, perkara sebegini tidak akan berlaku," tegas Mazlan, yang juga telah melawat keluarga mangsa, Haziq Jaafar, 17, di rumah ibu bapa mangsa, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Haziq pengsan ditendang di tengkuknya oleh seorang pelatih lain ketika mereka berehat menonton televisyen.

Dia yang dikejarkan ke Hospital Kluang, bagaimanapun disahkan meninggal dunia jam 11.55 malam dengan kesan lebam dan calar di leher.

Menurut Mazlan, pihaknya mencadangkan JLKN menutup sementara semua kem-kem latihan sepanjang penyiasatan dibuat bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

"Masalah pengurusan ini boleh dikatakan berlaku di setiap kem di seluruh negara. Adalah lebih wajar jika semua kem ditutup untuk sementara bagi memudahkan siasatan. Kita tidak mahu perkara di Kluang ini akan tersebar ke kem-kem lain," tegas beliau.

Mazlan turut melahirkan rasa bimbang sekiranya kes ini akan dikaitkan dengan soal perkauman, walaupun ia bukanlah sebab utama pergaduhan itu berlaku.

Katanya, sekiranya keadaan itu berlaku masalah ini tidak kan berakhirdan boleh merebak ke kem-kem lain.

Justeru, katanya siasatan perlu dilakukan di seluruh negara supaya satu jawatankuasa ditubuhkan untuk menilai semula tujuan dan matlamat PLKN ini dilaksanakan.

"Jika ia ditubuhkan untuk memupuk semangat patriotisme, kejadian ini menggagalkan matlamat itu. Jika untuk memupuk integrasi kaum pun, nampaknya tidak berjaya.

"Begitu juga untuk memupuk sikap disiplin dalam diri pelatih. Nampaknya, semua telah gagal mencapai matlamat," katannya. - lanh

No comments:

Sociable