29 December 2005

EKSPEDISI DAKWAH PERDANA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

KENYATAAN MEDIA

(29 Disember 2005)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ)
akan meneruskan aktiviti rutinnya iaitu Ekspedisi (XPDC) Dakwah sempena Tahun Baru 2006 yang akan disambut pada 31 Disember 2005 yang akan datang.

Pada XPDC dakwah kali ini, lapan (8) Daerah telah dikenal pasti oleh Lajnah Penerangan dan Dakwah DPPNJ untuk menjalankan aktiviti dakwah ini. Lapan lokasi itu adalah Daerah Johor Bahru, Pontian, Mersing, Batu Pahat, Kluang, Segamat, Muar dan Kota Tinggi. Pada tahun ini Daerah Johor Bahru telah dipilih sebagai tumpuan utama XPDC Dakwah Perdana.

Sebanyak 20 ribu risalah bertajuk “Dadah Haram Di Sisi Islam” telah dicetak dan akan diedarkan pada malam sambutan Tahun baru ini diadakan. Dadah telah dipilih menjadi fokus utama pada kali ini kerana DPPNJ melihat peningkatan penagih dadah khususnya di kalangan golongan muda semakin membimbangkan.

XPDC dakwah Perdana ini akan dimulakan dengan Ceramah Perdana Tahun Baru yang akan disampaikan oleh Naib Ketua DPP Pusat, Saudara Mazlan Aliman dan Ketua DPPN Johor Saudara Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil. Ceramah akan diadakan di Taman Dahlia, Tampoi.

Beberapa pendekatan baru akan digunakan sepanjang XPDC ini diadakan. Selain daripada menyebarkan risalah dakwah, para petugas yang akan terlibat dengan XPDV ini akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk bertemu dengan para pengunjung khususnya dikalangan remaja yang kebiasaannya tidak akan terus balik ke rumah tetapi berpeleseran di kawasan Bandar-bandar.

Di Johor Bahru contohnya, kawasan Danga Bay dan Legaran Seget telah dikenalpasti lokasi utama golonan remaja bermadu kasih dan melepak sebelum menunggu waktu siang hari untuk pulang ke rumah. Program XPDC Dakwah ini akan bersurai selepas sahaja solat subuh berjamaah.

DPPNJ berharap agar XPDC Dakwah kali ini akan lebih memberikan kesan kepada masyarakat lebih-lebih lagi keadaan sosial yang parah semakin membimbangkan lebih-lebih lagi ia melibatkan golongan remaja. XPDC Dakwah ini juga akan disertai oleh pimpinan PAS di peringkat kawasan-kawasan.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

24 November 2005

KELEMAHAN KERAJAAN NEGERI JOHOR MENJADIKAN JOHOR BAHRU SEBAGAI PUSAT JUALAN VCD HARAM DAN VCD LUCAH

KENYATAAN MEDIA
(24 November 2005)

Harian Metro (Edisi Johor) pada 23 November 2005 mendedahkan bagaimana seorang bapa terkejut apabila mendapati tiga anaknya yang berusia antara tiga sehingga sembilan tahun leka menonton cakera padat video (VCD) lucah yang dijual secara terbuka di pasar malam berhampiran kediamannya di Taman Perling.

Bapa kanak-kanak itu, ketika sedang mengemas bilik tidur, mulanya menyangka tiga anaknya sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya. Bagaimanapun dia terkejut apabila mengetahui mereka sebenarnya asyik menonton VCD lucah. Beliau yang enggan dikenali berkata, dia percaya anaknya tersilap beli VCD berharga RM4 itu yang disangka dokumentari perlumbaan kereta.

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian secara serius melalui pendedahan yang telah disiarkan oleh berita ini.

i. Kandungan VCD berkenaan berbeza daripada yang disangka berdasarkan kulit depan VCD itu memaparkan gambar beberapa kereta.

ii. Ramai kanak-kanak termasuk rakan sekolah pelajar-pelajar ini tertipu kerana turut membeli VCD berkenaan yang dijual secara terbuka di Pasar Malam Taman Perling.

iii. Walaupun membeli dan menyaksikan secara tidak sengaja, tabiat menonton VCD lucah berkenaan boleh mempengaruhi kanak-kanak.

iv. Kebanyakan pasar malam tempatan dijadikan lubuk penjualan VCD haram dan lucah oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melahirkan rasa kebimbangan dengan perkara ini khususnya penjualan dan penontonan VCD lucah yang melibatkan anak-anak yang masih kecil.

Penjualan VCD haram/lucah sekarang ini seperti sudah tidak dapat dibendung lagi khususnya di kawasan Bandaraya Johor Bahru. Bayangkan, masalah penjualan VCD haram yang berleluasa ini telah mendapat reaksi daripada Datuk Abdul Ghani sendiri yang membidas pegawai-pegawai kerajaan di bawahnya seperti yang disiarkan pada 18 November 2005 di dalam Berita Harian (Edisi Johor). Menteri Besar itu telah membidas tindakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan mempersoal tindakan MBJB membiar peniaga cakera padat video cetak rompak di Jalan Wong Ah Fook berleluasa. Beliau berkata, kerajaan negeri kesal dengan kegagalan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mengenakan tindakan tegas terhadap 14 peniaga terutama peniaga cakera padat video (VCD) cetak rompak di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru.

Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pihaknya mendapati MBJB tidak mengenakan tindakan sepatutnya ke atas peniaga tanpa lesen itu. Hanya sembilan daripada peniaga terbabit dikenakan kompaun manakala lima lagi tidak pernah dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Beliau meragui kenapa MBJB hanya mengenakan tindakan ke atas peniaga terbabit tetapi tidak mengambil tindakan yang lebih berkesan seperti menutup premis tidak berlesen.

Beberapa jam Abdul Ghani membangkitkan isu peniaga itu pada mesyuarat Exco, barulah sekumpulan 40 pegawai dan anggota pelbagai agensi kerajaan seperti MBJB dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang baru ‘diketuk kepala’ menjalankan operasi bersepadu di sekitar kawasan berkenaan, kira-kira jam 2 petang pada hari yang sama.

Lebih memeranjatkan lagi pada 19 November 2005, Harian Metro pula mendedahkan bahawa walaupun lima belas premis cakera padat video (VCD), cakera video digital (DVD) dan cakera padat (CD) di Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Stesen, di pusat bandar raya sudah gulung tikar, namun masih ada kira-kira lebih 100 premis seumpama itu beroperasi di pusat beli-belah di sekitar bandar raya ini yang belum diambil tindakan.

Ini kerana, kegiatan menjual VCD dan DVD di pusat beli-belah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan dikatakan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan yang masih berminat membeli produk berkenaan pada harga rendah. Selain Jalan Wong Ah Fook dan Jalan Stesen, sebuah pusat beli-belah di Jalan Dato’ Sulaiman, di sini, lebih dikenali sebagai syurga cetak rompak dengan menawarkan pelbagai VCD, DVD dan CD cetak rompak dan lucah.

Selain itu, hampir semua pasar raya besar (kira-kira 16 buah) di daerah ini mempunyai kedai yang menjual bahan cetak rompak, tidak termasuk sebuah menara yang turut menempatkan hotel di pusat bandar raya. Jumlah itu tidak termasuk gerai di pasar malam, di kaki lima dan bangunan rumah kedai di kawasan perumahan yang penjualnya menawarkan CD cetak rompak kepada pelajar.

DPPN Johor mendesak agar Menteri Besar Johor jangan hanya meletakkan kesalahan tersebut kepada MBJB atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja tetapi mestilah meletakkan kesalahan tersebut kepada kelemahan pentadbiran beliau. DPPN Johor melihat bahawa perkembangan premis dan aktiviti haram ini bukanlah perkara baru tetapi telah lama wujud terutama di bandaraya Johor Bahru tetapi apabila keadaan semakin parah barulah tindakan hendak dilaksanakan. Abdul Ghani selaku Menteri Besar Johor mestilah mengambil tanggungjawab sepenuhnya untuk membasmi penjualan VCD Lucah dan cetak rompak ini sepanjang masa, bukan hanya pada waktu-waktu tertentu kerana DPPN Johor yakin bahawa sikap mengambil tindakan seolah-olah “melepaskan batuk di tangga” tidak akan menyelesaikan masalah ini.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/


PENDEDAHAN SALAHUDDIN AYUB BERKAITAN ISU AIR MEMBUKTIKAN KERAJAAN BN JOHOR TIDAK PANDAI MEMERINTAH

KENYATAAN MEDIA
(24 November 2005)


Pendedahan secara rasmi yang telah dilakukan oleh YB Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) selaku Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat berkaitan dengan masalah air di Johor sebenarnya sangat ditunggu-tunggu oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor).

Harakahdaily pada 23 November 2005 menyiarkan berita bagaimana Salahuddin Ayub menyelar sikap beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di dalam sidang Parlimen yang sering mengaitkan Kelantan dengan masalah air, sedangkan fenomena itu turut berlaku di setiap negeri. Beliau yang bangkit sejurus selepas Shaari Hassan(BN-Tanah Merah) mengecam kualiti air di Kelantan, berkata ia merupakan satu tuduhan yang tidak adil dan bermotifkan politik semata-mata. Isu air ini adalah isu nasional dan perlu tindakan bijak dari kerajaan. Ia bukan isu negeri dan tak boleh tuding jari kepada mana-mana negeri yang menghadapi masalah air.

Salahuddin mendedahkan bagaimana beliau bersama Jawatankuasa Terpilih (Caucus) Parlimen pernah bertemu dengan Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman, berhubung isu air, di mana Ghani turut mengakui bahawa perjanjian yang termeterai antara kerajaan negeri dan syaikat pengurusan air terlalu berat sebelah dan hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja. Malah, untuk membersihkan tangki pun, terpaksa dibayar oleh kerajaan negeri Johor.

Sebelum itu pada 22 November 2005, harakahdaily juga telah menyiarkan bahawa Salahuddin mendedahkan pengakuan Menteri Besar Johor, Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, yang mengakui kegagalannya mengatasi masalah air di negeri ini akibat dari kelemahan perjanjian yang dibuat oleh Menteri Besar Johor sebelum ini. Perjanjian yang dibuat antara MB ini dengan Syarikat Air Johor Berhad (sekarang dikenali Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd - SAJH) langsung tidak memihak kepada Kerajaan Negeri.

DPPN Johor menyokong kenyataan Ketua DPPP bahawa masalah air di Johor akan tetap tidak dapat diselesaikan selagi mana perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini tidak dibatalkan. DPPN Johor telah menggunakan pelbagai cara untuk mendedahkan perkara yang sebenar sehingga terjadinya krisis air di Johor tetapi masih tidak mendapat apa-apa respon daripada MB Johor termasuklah laporan Polis terhadap beliau pada bulan September 2005 berkaitan dengan isu ini.

Begitu juga dengan memorandum yang telah diserahkan kepada Ghani Othman bersama dengan Jawatankuasa bertindak Selamatkan Air Johor (JBSAJ) pada 26 September 2005 sehingga kini masih belum mendapat reaksi daripada beliau.

Hari ini Berita Harian (Edisi Johor) telah melaporkan bahawa Kerajaan negeri Johor menyediakan peruntukan RM152 juta bagi menyalurkan air dari Empangan Bekok di Segamat untuk mengatasi masalah bekalan air yang sering dihadapi penduduk di kawasan Batu Pahat dan Ayer Hitam. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pemasangan paip untuk menyalurkan air ke tiga loji rawatan sedia ada iaitu Parit Raja, Sri Gading dan Yong Peng akan dimulakan awal tahun depan.

Abdul Ghani Othman masih lagi menggunakan hujah-hujah lemah beliau untuk menutup kelemahan yang dihadapi oleh Kerajaan negeri Johor. Beliau berkata, masalah bekalan air di Batu Pahat dan Ayer Hitam agak ganjil kerana ia berlaku ketika musim hujan. Keadaan ini berlaku kerana sebahagian besar kawasan ini adalah tanah gambut yang kandungan asidnya agak tinggi sehingga mencemarkan air. Abdul Ghani berkata beliau yakin masalah air yang sering dihadapi penduduk di Batu Pahat dan Ayer Hitam akan berakhir kerana kualiti air di Empangan Bekok dijamin tidak berubah walaupun ketika musim hujan.

DPPN Johor melahirkan rasa kesal dengan penggunaan sebanyak RM 152 juta wang rakyat Johor untuk menyelesaikan masalah air sedangkan perkara pokok kepada masalah ini tidak diselesaikan. Kita jangan lupa dengan pendedahan Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia pada 2 Oktober 2005 yang lalu menyatakan bahawa tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan iaitu RM 598.35 juta.

DPPN Johor mencabar agar Abdul Ghani Othman menafikan kenyataan yang telah dibuat oleh Salahudin Ayub sekiranya kenyataan tersebut palsu dan tidak berasas. Tetapi sekiranya beliau enggan bermakna kerajaan BN di Negeri Johor terlalu lemah sehingga masalah air untuk kegunaan rakyat tidak mampu diselesaikan.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

12 November 2005

KEMPEN KERAJAAN UNTUK MEMBENDUNG JUMLAH KEMATIAN DI JALAN RAYA SEMASA MUSIM CUTI PERAYAAN TERUS MENEMUI KEGAGALAN.

RENCANA
(12 November 2005)

Setiap kali tiba waktu musim cuti perayaan, pelbagai persiapan dilakukan untuk memeriahkan lagi suasana kegembiraan. Namun, kegusaran tetap mengiringi kegembiraan kerana pasti akan berlakunya kemalangan sehingga menyebabkan jumlah kematian yang tinggi. Seolah-olahnya aktiviti mengira jumlah kemalangan dan kematian sepanjang cuti perayaan telah dijadikan rutin harian. Bermula daripada 27 Oktober sehingga 10 November 2005, Ops Sikap IX selama 15 hari dilaksanakan sebagai kesinambungan Ops Statik dan Ops Pacak yang dilaksanakan sejak 1997.

Beberapa pendekatan dan ketegasan dilaksanakan sepanjang Ops Sikap IX. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan mengeluarkan saman serta-merta, kompaun maksimum RM300 dan tiada rayuan bagi lima kesalahan serius boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian.

Kesalahan serius yang disenaraikan ialah ;-

i. melebihi had laju,
ii. memotong barisan,
iii. melanggar lampu isyarat,
iv. menggunakan lorong kecemasan dan
v. memotong di garisan berkembar.

Malah, orang ramai diminta membantu merakamkan aksi pemandu melakukan kesalahan seperti memotong di lorong kecemasan atau di garisan berkembar dan mengemukakan gambar itu kepada polis untuk diambil tindakan. Bagi kenderaan berat dan bas ekspres, ia mesti menggunakan lorong kiri lebuh raya setiap masa atau menerima akibat dikompaun RM300.

Bagi penguatkuasaan, pengawasan dan kawalan lalu lintas lain sepanjang Ops Sikap IX, prosedur yang dijalankan masih seperti biasa seperti pengawasan di menara kawalan.

Untuk memastikan bahawa kempen keselamatan jalanraya di musim perayaan berjaya, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menyatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM 224 juta bagi tempoh lima tahun lepas untuk jalan-jalan persekutuan bagi mengurangkan kemalangan.

Samy Vellu menyatakan bahawa daripada RM224 juta dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, sebanyak RM126.7 digunakan untuk membina laluan khas motosikal di jalan-jalan persekutan utama termasuk laluan satu dan dua persekutuan. Beliau berkata pada tahun ini sahaja, 265 laluan yang berisiko kemalangan di sepanjang jalan-jalan persekutuan di seluruh negara telah dibaiki melibatkan kos RM60 juta.

Ops Sikap IX yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu juga membabitkan kira-kira 2,200 polis trafik mengawasi perjalanan lalu lintas, terutama di 108 lokasi maut di lebuh raya dan 99 lagi di jalan persekutuan, negeri dan bandaran.

Begitu juga dengan pelbagai slogan dicipta untuk memberikan kesedaran kepada pengguna jalanraya seperti ‘Berhati-hati di jalan raya', `Ingatlah yang tersayang' atau `Biar lambat asal selamat' namun slogan-slogan ini hanya dijadikan hiasan di cermin-cermin kereta ataupun tidak diendahkan walaupun mudah dilihat di tepi-tepi jalan.

Mengibas kembali statistik kemalangan yang berlaku sejak tahun 1996, nampaknya masih jauh keberkesanan yang dapat dikecapi. Lihat statistik di bawah untuk dibuat perbandingan keberkesanan kawalan keselamatan jalanraya.

Tahun Nama Ops Bil hari Kemalangan Kematian
1996 -tiada- 15 hari 7,945 321
1997 Ops Pacak 15 hari 8,517 262
1998 Ops Statik I 15 hari 274
1999 Ops Statik II 15 hari 203
1999 Ops Statik III 15 hari 206
2000 Ops Statik IV 15 hari 220
2001 Ops Statik V 15 hari 215
2001 Ops Statik VI 15 hari 218

Ops Statik, yang diberi jolokan ‘Ops Statistik' berikutan kegagalan usaha menurunkan angka kematian di bawah 200 korban nyawa, digantikan pula dengan Ops Sikap. (Ops Sikap I, III, V dan VII adalah merujuk kepada operasi bagi musim perayaan Aidilfitri).


Tahun Nama Ops Bil hari Kemalangan Kematian
2001 Ops Sikap I 15 hari 11,063 223
2002 Ops Sikap III 15 hari 12,239 285
2003 Ops Sikap V 15 hari 12,165 241
2004 Ops Sikap VII 15 hari 11,609 200
2005 Ops Sikap IX 15 hari 13,462 233

Namun, segala apa yang dilakukan akhirnya memperlihatkan sekali lagi kegagalan pihak kerajaan untuk mendisiplinkan rakyat Malaysia untuk menjadi pemandu yang bertimbang rasa dan berhemat tinggi di jalan raya. Angka kemalangan, kemalangan maut dan kematian yang semakin meningkat amat mengejutkan. Bedasarkan kepada statistik di atas, jumlah kematian bertambah sebanyak 33 kes berbanding dengan Ops Sikap VII,peningkatan sebanyak 16.5 peratus. Begitu juga dengan jumlah kemalangan, sebanyak 13,462 kes telah dicatatkan berbanding dengan 11, 609 kes pada Ops Sikap VII, peningkatan sebanyak 16 peratus.

Kematian paling tinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu seramai 141 orang diikuti kereta (55), pejalan kaki (17), basikal (lapan), teksi (tiga), lori (tiga), masing-masing dua orang pemandu van dan jip, seorang penumpang bas dan satu penumpang lain-lain kenderaan.

Ops Sikap IX Gagal Mengurangkan Kadar Kemalangan dan Kematian.

Apabila kerajaan gagal membendung kemalangan, maka pelbagai pandangan dan candangan dikemukakan oleh oelbagai pihak termasuklah meminda atau bertambahlah pelbagai undang-undang dan peraturan jalanraya yang baru yang akhirnya menyusahkan pengguna yang berdisiplin sedangkan mereka yang bersikap ‘kurang ajar’ terus melakukan tindakan yang tidak bertamadun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa memperketatkan syarat pengeluaran lesen memandu sebagai usaha membendung kemalangan jalan raya. Pak Lah berpendapat bahawa syarat tambahan untuk mendapatkan lesen perlu diperkenalkan termasuk mewajibkan semua pemohon lesen memandu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah.

Selain itu, katanya, satu mata pelajaran wajib mengenai pemanduan perlu diwujudkan bagi pelajar menengah atas untuk diajar pada musim cuti sekolah sebagai persediaan untuk mereka memandu apabila mula bekerja. Beliau beranggaan bahawa tambahan latihan dan kursus adalah dalam segala aspek memandu supaya payah hendak dapat lesen dengan harapan pemandu akan menjadi pemandu yang baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mencadangkan tindakan yang lebih keras dengan merampas lesen memandu serta-merta bagi pemandu yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. Cadangan ini telah disambut oleh Kementerian Pengangkutan yang menegaskan akan meminda undang-undang untuk membolehkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius akan ditahan lesennya serta-merta bagi tempoh 14 hari berkuat kuasa mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Emran Kadir memaklumkan bahawa prosedur lebih ketat dengan tambahan ujian amali di jalan lurus akan diperkenalkan di negara ini. Lebih banyak ujian amali pemanduan termasuk di litar akan dikenakan kepada pemohon-pemohon lesen memandu pada masa depan dalam usaha mengetatkan pengeluarannya berikutan peningkatan kadar kemalangan maut sejak kebelakangan ini.

Kenapa kemalangan terus berlaku

Lebih 70 peratus keseluruhan kes kemalangan maut dicatatkan dalam Ops Sikap IX, berpunca daripada kecuaian dan kegagalan pemandu mengawal kenderaan. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan berkata, keadaan tersebut menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kematian secara mendadak sehingga 16.5 peratus pada musim perayaan kali ini yang berpenca daripada sikap manusia. Iaitu tidak sabar dan ingin cepat membuatkan pemandu hilang pertimbangan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenal pasti punca utama kemalangan maut sepanjang Ops Sikap IX;

i. Tabiat `makan jalan' kenderaan lain (18.7 peratus),
ii. cuba memotong kenderaan lain (15.5 peratus),
iii. tidak menyedari kehadiran kenderaan lain (7.3 peratus),
iv. kecuaian semasa keluar dan masuk simpang (7 peratus),
v. dan kecuaian ketika melintas jalan (5.2 peratus),
vi. melawan aliran trafik (1.9 peratus),
vii. letih atau mengantuk (1.4 peratus),
viii. langgar isyarat lampu merah (1 peratus),
ix. berlumba (1 peratus) dan
x. lain-lain (7.5 peratus).

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozmi Ismail, beberapa perkara telah dikenalpasti sebagai punca kemalangan berlaku :

i. sikap yang terlalu berhati-hati ada kalanya lebih menyusahkan pemandu lain.
ii. Pertimbangan yang tidak tepat
iii. Faktor mengejar masa mungkin juga menyebabkan pemandu yang selama ini cukup `beretika' di jalan raya, tidak mampu berfikir secara waras lalu menimbulkan kesulitan kepada pemandu lain.

Pengerusi Institut Memandu Kenderaan Darat Malaysia yang juga bekas Presiden Persatuan Institut dan Sekolah Memandu Malaysia, Abu Kassim Said pula berpendapat bahawa apa juga perubahan yang dibuat tidak akan mengatasi masalah selagi masalah sikap tidak dapat ditangani. Beliau menyebut bahawa pernah satu cadangan aspek mematuhi peraturan jalan raya ini diajar sejak di sekolah rendah lagi.

Kesimpulan

Melihat kepada punca utama kemalangan yang dinyatakan di atas, pemandu di Malaysia masih lagi belum cukup bersedia untuk dinobatkan sebagai pemandu berhemah selagi mana sikap yang murni tidak dapat dibajai dengan sempurna. Kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut kepada surat saman daripada maut di jalan raya. Denda melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu terpaksa dilakukan sebagai salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang susila di jalan raya.

Pihak kerajaan juga harus melihat persoalan untuk membina pemandu yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia di jalan raya bukan hanya terletak hanya di dalam kursus pemanduan berhemah seperti yang dibuat pada ketika ini tetapi mestilah disemai sejak daripada kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Penekanan terhadap disiplin untuk mematuhi undang-undang perlu dipertekankan.

Cadangan untuk menambah lagi peraturan jalanraya sebenarnya akan menyusahkan pemandu dan pengguna jalanraya yang berhemah. Setiap kali apabila kerajaan gagal membendung kadar kemalangan dan kematian di jalanraya khususnya semasa musim perayaan, pelbagai cadangan yang dikemukakan sedangkan masalah sikap sebahagian daripada pengguna jalanraya di Malaysia masih tidak dapat diperbaiki. Selagi sikap mereka tidak berubah, apa jua perubahan kepada peraturan jalanraya tidak akan membantu megurangkan kadar kemalangan.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

08 November 2005

MENTERI BESAR JOHOR AKHIRNYA MENYOKONG KENYATAAN DATUK KAYVEAS BAHAWA PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) DI MALAYSIA BERMASALAH.

KENYATAAN MEDIA

(8 November 2005)


Harian Metro (edisi Johor) di bawah tajuk “Ghani Tak Tolak Kemungkinan Seleweng” hari ini menyiarkan kenyataan Menteri Besar Johor bahawa kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pembayaran lesen kedai serta lesen perniagaan hingga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sehingga mengalami kerugian besar.


Datuk Abdul Ghani Othman melahirkan rasa keraguan bagaimana beberapa PBT di negeri Johor boleh mengalami kerugian sehingga mencecah 40 peratus akibat kegagalan peniaga menjelaskan lesen perniagaan mereka. Beliau menyatakan bahawa ada kemungkinan bayaran tersebut sebenarnya telah dibuat tetapi tidak sah pembayaran tersebut (tidak diterima PBT). Beliau juga merasa hairan bagaimana banyak peniaga yang menjalankan perniagaan mereka sama ada kecil atau pun besar boleh berterusan berniaga secara tidak sah selama bertahun-tahun dengan tidak dikenakan sebarang tindakan oleh PBT.


Di dalam kenyataan ini juga, Ghani Othman mahu semua Yang Di Pertua (YDP) PBT untuk ‘turun
padang’ untuk membuat pemeriksaan sama ada peniaga-peniaga ini dilindungi oleh pihak tertentu dan tidak mustahil bahawa berlakunya penyelewengan di kalangan kakitangan PBT.


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melihat bahawa pendedahan yang di buat oleh Menteri Besar Johor ini sebenarnya sangat ditunggu-tunggu kerana kenyataan ini secara tidak langsung menyokong kenyataan yang telah dibuat sebelum ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas yang mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap' sehingga mengejutkan banyak pihak termasuklah di kalangan pemimpin kerajaan. Menurut Kayveas, PBT pada masa ini gagal untuk menjadi `kerajaan ketiga' selepas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Datuk M. Kayveas secara terbuka mencabar semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis untuk mengisytiharkan harta mereka. Menurutnya, beliau sedar ada pegawai penguat kuasa PBT yang memiliki empat buah kereta dan rumah mewah.

Pendedahan yang dilakukan oleh Ghani Othman seharusnya di ambil tindakan tegas oleh kerajaan dan pihak berwajib. Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya peka dengan isu ini dengan menyiasat seluruh PBT yang ada di negeri Johor khususnya PBT yang mengalami kerugian yang sangat tinggi peratusannya. DPPN Johor yakin rasuah berlaku dengan begitu berleluasa dan tidak hanya melibatkan kan pemberian dan pembayaran lesen tetapi juga meliputi pembahagian tender dan projek yang dijalankan oleh PBT. Siasatan perlu dilakukan untuk membersihkan nama baik PBT yang sekarang ini bukan sahaja tidak disenangi oleh rakyat tetapi juga telah membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan Menteri.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830/012-7811830

http://dppnjohor.blogspot.com/

09 October 2005

KEKURANGAN PEGAWAI PENGUAT KUASA JABATAN AGAMA JOHOR MEMBUKTIKAN UMNO TIDAK SERIUS MENCEGAH MAKSIAT DI JOHOR.

KENYATAAN MEDIA
(9 Oktober 2005)


Hari ini Mingguan Malaysia telah mendedahkan bahawa kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta.

Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainal Abidin Osman. Beliau berkata ketika ini jumlah pegawai penguatkuasa JAJ ialah 54 orang dan 22 lagi adalah pegawai sokongan. Katanya, daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai yang berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah berjawatan kontrak, manakala jumlah penguat kuasa lelaki seramai 43 orang dan selebihnya perempuan.

Apabila dibandingkan dengan jumlah penduduk Islam di negeri ini iaitu lebih 2.1 juta, jumlah penguatkuasa yang sedia ada tidak mencukupi. Ini tidak termasuk tangkapan kes-kes yang membabitkan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri ini.

Di dalam kenyataan ini juga, Zainal Abidin berkata empat perkara yang menjadi masalah yang paling ketara dikenalpasti adalah :

i. Kekurangan penguat kuasa wanita iaitu hanya seorang bagi setiap daerah.Keadaan ini menimbulkan beberapa masalah terutama apabila anggota cuti bersalin, sakit atau ada masalah keluarga.

ii. Kekurangan pemandu yang boleh menjejaskan kegiatan pencegahan maksiat.

iii. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi dan peruntukan terbatas yang dihadapi pegawai penguat kuasa.

iv. Kurangnya peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan dan lain-lain elaun kepada pegawai penguat kuasa agama yang mengakibatkan aduan-aduan tidak dapat dilaksanakan

Pendedahan ini sebenarnya menggambarkan sikap sebenar kerajaan Johor terhadap keseriusan untuk membenteras maksiat dan gejala sosial. Mana mungkin dengan seramai 76 orang pegawai penguatkuasa JAJ mampu untuk mengawasi lebih 2.1 juta orang Islam di Johor. Jumlah pegawai seramai itu pun belum tentu mampu menjalankan amanah mereka jika ditugaskan mengawasi di sekitar Bandar Johor Bahru.

Realitinya dan tidak didedahkan di dalam kenyataan ini adalah masalah JAJ yang mempunyai sebanyak 75 peratus anggota kontrak dan mereka ini sering bertukar ganti sebenarnya tidak sepatutnya berlaku sekiranya JAJ melantik mereka sebagai pegawai berjawatan tetap.

Terdapat ramai daripada mereka ini telah bekerja bertahun-tahun lamanya sebagai penguatkuasa JAJ tetapi tidak dinaikkan taraf daripada kontrak kepada pegawai tetap walaupun ada dikalangan mereka yang mempunyai ijazah Sarjana Muda di pelbagai bidang. Paling menyedihkan, mereka yang berkelulusan ini hanya diberi gaji setaraf dengan pegawai yang berkelulusan SPM. Sebab itulah mereka terdorong untuk meletakkan jawatan dan berpindah ke tempat yang lebih meyakinkan.

Oleh itu, ini membuktikan bahawa kerajaan Johor pimpinan UMNO/BN sebenarnya tidak serius untuk mencegah maksiat dan gejala sosial. Lebih membimbangkan, tindakan tidak melantik pegawai penguatkuasa JAJ tambahan sebenarnya untuk membolehkan maksiat dan hiburan terlampau berleluasa di negeri Johor dan akhirnya merosakkan penduduk Islam di Johor.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

07 October 2005

KAYVEAS DEDAHKAN PBT IBARAT KONGSI GELAP, APA TINDAKAN PAK LAH?

KENYATAAN MEDIA
(7 Oktober 2005)



Ramai yang terkejut dengan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas yang juga Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap'.

Menurut Kayveas, PBT pada masa ini gagal untuk menjadi `kerajaan ketiga' selepas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

Kenyataannya telah mendapat pelbagai pandangan dan kritikan kerana ia dikatakan tidak mencerminkan beliau sebagai pemimpin kerajaan dan membuat kenyataan melulu tanpa mendapat maklumat yang tepat.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Penguasa Tempatan (ANULAE), Md. Akhir Manshor telah mengeluarkan dua kali kenyataan membidas kritikan yang telah dikeluarkan oleh Kayveas. Kenyataan beliau yang pertama pada 3 Oktober 2005 yang menyatakan bahawa PBT sebagai pertubuhan `kongsi gelap' tidak mencerminkan beliau sebagai seorang pemimpin kerajaan.

Md Akhir menyebut, sebagai seorang pemimpin kerajaan beliau (Kayveas) tidak seharusnya melabelkan PBT sebagai kumpulan kongsi gelap. Menurutnya, kenyataan Kayveas itu dianggap sebagai tidak berbudi bahasa dan terlalu kasar. Menurut menurut beliau, kalau Kayveas katakan bahawa dia sayang PBT, beliau tidak sepatutnya berkata begitu, itu bukan sayang namanya. Perkara ini jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak mencerminkan perwatakan sebagai seorang pemimpin.

Kenyataan Md Akhir yang kedua dibuat pada 5 Oktober 2005. Kenyataan ini menyebut bahawa tindakan Kayveas itu telah mencemarkan imej kakitangan awam terutama kakitangan PBT.

Beliau menegaskan supaya kenyataan Kayveas ditarik balik dan sekiranya kenyataan itu tidak ditarik balik Kayveas seolah-olah telah meletakkan imej kakitangan PBT sebagai samseng di mata masyarakat.

Beliau juga menegur kayveas supaya menggunakan saluran yang betul untuk mengkritik PBT, bukannya membuat kenyataan yang terburu-buru dengan melabelkan sebagai kongsi gelap.

Hari ini, seperti mana yang disiarkan di dalam Utusan Malaysia, Datuk M. Kayveas secara terbuka mencabar semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis untuk mengisytiharkan harta mereka. Menurutnya, beliau sedar ada pegawai penguat kuasa PBT yang memiliki empat buah kereta dan rumah mewah.

Beliau menyatakan bahawa Perdana Menteri (PM) bertungkus-lumus dalam membanteras gejala rasuah tetapi perbuatan (rasuah) ini tetap berlaku dalam PBT, tiada siapa boleh menafikannya.

Beliau menegaskan bahawa imej PBT sudah tercemar di kalangan rakyat, saya hanya cuba memperbaiki imej PBT yang sudah pun tercemar dan berusaha untuk meningkatkan tahap kualiti di dalam pihak berkuasa tempatan ini.

Di dalam sidang Dewan Negara pada 13 Disember 2004, YB Siti Zailah Binti Mohd Yusoff telah bertanya apakah punca berlakunya rasuah terutamanya di kalangan kakitangan perkhidmatan awam dan sejauh manakah undang-undang yang ada pada hari ini dapat memberi kesedaran kepada pemberi dan penerima rasuah.

Saolan ini telah dijawab oleh Datuk M. Kayveas dengan mendedahkan bahawa bagaimana rasuah boleh terjadi di kalangan kakitangan awam. Contohnya, apabila pemberi rasuah ingin mempercepatkan proses dokumen dan penerima rasuah (kakitangan awam) mempunyai masalah kewangan. Beliau juga menyatakan bahawa undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk mengatasi rasuah kerana telah beberapa kali dibuat pindaan.

Ada beberapa perkara yang ingin saya nyatakan dan tegaskan di sini iaitu :

i. Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap' perlu disiasat oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) terutamanya tuduhan ini dibuat oleh pemimpin kerajaan.

ii. Semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis khususnya Setiausaha Agong ANULAE, Md. Akhir Manshor perlu menyahut cabaran Datuk M. Kayveas untuk mengisytiharkan harta mereka

iii. Kenyataan Datuk M. Kayveas di dalam sidang Dewan Negara pada 13 Disember 2004 sebenarnya telah mendedahkan bahawa bagaimana rasuah boleh terjadi di kalangan kakitangan awam. Bezanya pada kali ini secara khususnya ditujukan kepada PBT.

iv. Datuk M. Kayveas sebenarnya terpaksa menarik balik jawapan kepada Senator Zailah Yusoff yang mana beliau pernah menyatakan bahawa undang-undang yang sedia ada sudah cukup untuk mengatasi rasuah kerana telah beberapa kali dibuat pindaan tetapi terbukti kenyataan itu dibuktikan sendiri oleh beliau tidak berkesan selepas beliau menyatakan bahawa PM bertungkus-lumus dalam membanteras gejala rasuah tetapi perbuatan (rasuah) ini tetap berlaku dalam PBT.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

06 October 2005

KERAJAAN JOHOR BERHUTANG PALING TINGGI,

KENYATAAN MEDIA

(6 Oktober 2005)


Utusan Malaysia pada 2 Oktober 2005 telah mendedahkan bahawa semua kerajaan negeri gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan pusat mengikut jadual bernilai berbilion ringgit dengan tempoh tunggakan antara satu sehingga lapan tahun.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil dalam laporan tersebut menyatakan bahawa tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri meningkat kepada RM 2.61 bilion. Pada akhir tahun lepas berbanding RM 2.54 billion pada akhir 2003.

Yang memeranjatkan lagi apabila didedahkan bahawa Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan iaitu RM 598.35 juta diikuti oleh negeri Kedah sebanyak RM 450.96 juta dan Selangor sebanyak RM 377.33 juta.

Hari ini Utusan Malaysia telah menyiarkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, sebahagian besar hutang kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan Pusat berjumlah RM377 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2004, digunakan untuk projek perumahan rakyat. Beliau juga berkata hutang itu juga bukan hutang tertunggak kerana kerajaan negeri membayarnya secara berperingkat-peringkat dan telah membayar RM20 juta baru-baru ini.

Saya tidak mahu mempertikaikan sama ada kenyataan yang dikeluarkan yang dikeluarkan oleh MB Selangor itu benar ataupun tidak tetapi yang pastinya sehingga hari ini Datuk Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor masih belum membut apa-apa kenyataan terhadap laporan ini.

Saya percaya bahawa pendedahan ini telah memberikan tekanan kepada kerajaan negeri yang cuba untuk menutup maklumat sebenar hutang kerajaan negeri Johor. Mungkin Datuk Sri Khir Toyo berani mengumumkan bahawa Selangor adalah negeri maju 2005 walaupun mempunyai hutang yang banyak kepada kerajaan pusat kerana kewangan itu mengikut beliau diperuntukan kepada rakyat.

Berbeza dengan MB Johor yang menangguhkan pengistiharan Johor negeri Maju 2005. Utusan Malaysia pada 3 November 2004, Ghani menyebut bahawa Pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) bakal merealisasikan usaha kerajaan negeri untuk memajukan industri perdagangan dan pelancongan bagi membantu Johor mencapai status negeri maju pada 2005. Tetapi sehingga ke hari ini masih belum lagi kedengaran apa jua kenyataan sama ada di dalam sidang DUN Johor atau pun di dalam mana-mana kenyataan akhbar yang mengistiharkan bahawa Johor adalah merupakan negeri maju 2005.

Persoalannya, ke mana perginya hutang kerajaan negeri ini sehingga MB Johor tidak berani mengistiharkan Johor negara maju pada tahun ini. Sudahlah hutang negeri Johor semakin banyak dan tertinggi dalam Malaysia, krisis air di beberapa tempat di Johor semakin meruncing sehingga air di catu kepada penduduk di Kluang dan Batu Pahat.

DPPN Johor mendesak kerajaan Negeri Johor agar mendedahkan secara terpeinci kenapa begitu banyak hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan pusat dan ke mana peruntukan ini disalurkan.

DPPN Johor juga akan menggunakan saluran wakil Rakyat PAS di sidang DUN Johor iaitu YB Dr Ramli Bin Kari untuk mendesak kerajaan negeri Johor supaya telus di dalam setiap hutang dan perbelanjaan yang dibuat.
Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

AHLI PARLIMEN SRI GADING MEMBAWA ISU MENGHINA LAGU NEGARAKU, RAKYAT JOHOR MENANGGUNG MALU

KENYATAAN MEDIA

(6 Oktober 2005)


Pada 3 Oktober 2005 yang lalu, Dewan Rakyat digamatkan apabila YB Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) menyanyikan sebanyak dua kali baris akhir lagu Negaraku bagi menunjukkan kesalahan penyanyi Hattan yang didakwanya menyampaikan lagu kebangsaan tidak mengikut versi sebenar semasa perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu. Lebih mengejutkan apabila beliau berkata, penyanyi itu perlu dikenakan tindakan kerana perbuatan tersebut boleh dianggap satu penghinaan kepada lagu kebangsaan selain ia dipersembahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Di antara kata-kata beliau seperti mana yang disiarkan di dalam media massa yang cukup memalukan adalah :

``Saya rasa tersinggung apabila mendengarnya. Penyanyi itu patut dihukum, dia patut dihumban ke laut''

Perbahasan isu ini telah disambut oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya penyanyi itu mengubah versi asalnya dengan tujuan untuk menghina lagu kebangsaan.

Semalam, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan telah mengesahkan penyanyi Hattan tidak melakukan sebarang kesalahan ketika menyampaikan lagu Negaraku pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu. Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya sudah menyiasat dan meneliti rakaman video asal daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Nyanyian Hattan pada malam itu tidak dinafikan kurang berkesan seperti biasa. Tetapi melodi yang disampaikan pada malam itu masih mengikut rentak asal. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi itu tidak semestinya memberi sebab kepada Ahli Dewan Rakyat itu menuduh Hattan tidak patriotik atau menghina lagu kebangsaan kita.

Tetapi isu samada Hattan bersalah atau tidak bukanlah menjadi perkara yang ingin saya nyatakan di dalam kenyataan media ini. Sebagai Ahli Parlimen Sri Gading, kenyataan YB Mohamed Aziz sebenarnya telah memalukan penduduk Sri Gading dan Johor seluruhnya. Mungkin beliau teringin membuktikan bahawa beliau adalah jaguh rakyat di Parlimen tetapi cara dan tindakan yang telah dilakukan ini adalah sangat mendukacitakan. Terlalu remeh, ketandusan idea, hendak jadi hero di atas kelemahan orang lain seperti sudah tidak ada perkara lain hendak dibincangkan.

Ahli Dewan Rakyat sepatutnya menggunakan peluang yang ada dengan membawa masalah rakyat jelata atau membangkitkan isu yang lebih serius lagi. Adakah beliau tidak sedar bahawa sekarang ini kita sedang menghadapi pelbagai masalah yang menimpa rakyat?.

Isu gejala sosial semakin membimbangkan khususnya yang melibatkan orang melayu seperti yang pernah dilaporkan oleh Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, Menurut Setiausaha Kehormat YPJM, Superitendan Rosniah Ramli, statistik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu.

Begitu juga isu penagih dadah khususnya yang melibatkan orang melayu semakin meningkat, isu pengangguran khususnya yang melibatkan lebih 70 ribu siswazah, isu pembangunan tenaga kerja mahir tidak menyerlah dan isu kenaikan harga barang berikutan dengan peningkatan harga minyak.

Tetapi saya melihat isu yang paling utama yang perlu diberi tumpuan oleh Mohamed Aziz wakil Rakyat Parlimen Sri Gading adalah krisis air di Johor. Rakyat Johor hari ini sedang menghadapi krisis air yang cukup membimbangkan sejak bulan Mei 2005 yang lalu. Krisis air ini berpunca daripada kelemahan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN. Masalah ketiadaan air masalah pencemaran air dan masalah pencerobohan tanah di Empangan Semberong yang mengakibatkan penduduk di Batu Pahat, Kluang dan paling utama adalah penduduk Sri Gading yang masih ternanti-nanti apakah tindakan beliau sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Peristiwa ini membuktikan bahawa Ahli Parlimen BN sebenarnya tidak menjalankan amanah mereka sebagai wakil rakyat. Mereka tidak sedar dan mengerti yang mana satukah perkara yang perlu mereka perjuangkan di dalam Parlimen. Semoga tindakan mereka ini akan membuka mata rakyat khususnya di Parlimen Sri Gading dan Negeri Johor untuk memilih wakil mereka di dalam pilihanraya Umum yang akan datang.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

04 October 2005

PERDANA MENTERI TERSEPIT APABILA AHLI PARLIMEN BN SEMAKIN LANTANG MENGKRITIK KERAJAAN DI PARLIMEN

KENYATAAN MEDIA

(4 Oktober 2005)

Sidang Dewan Rakyat semalam telah digemparkan dengan keberanian dua Ahli Parlimen BN apabila mereka dengan penuh tanggungjawab telah menyokong usul Ketua Pembangkang, YB Lim Kit Siang mengenai isu permit import (AP) pada sidang Dewan Rakyat. YB Lim Kit Siang ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006, mengemukakan usul mendesak Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Seri Rafidah Aziz dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Sidek Hassan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen. Mereka adalah Ahli Parlimen Kinabatangan, YB Datuk Bung Mokhtar Raden dan YB Datuk Mohamed Aziz (Sri Gading) - kedua-duanya daripada Barisan Nasional (BN)

Lim ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2006, mempersoalkan tindakan Sidek menghantar surat bertarikh 30 September 2005 kepada setiap Ahli Dewan Rakyat bagi menjelaskan isu pengeluaran senarai Ahli Parlimen yang menerima AP. Usul Lim Kit Siang itu disokong Bung Mokhtar dan Mohamed Aziz yang menyifatkan tindakan Sidek sebagai menghina Dewan Rakyat.

Mohamed menegaskan, Rafidah sepatutnya menulis dan menandatangani surat berkenaan dan bukannya Sidek kerana menteri itu bertanggungjawab kepada Parlimen.Bagaimanapun, usul itu ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Yusof Yacob kerana berpendapat Sidek tidak berniat menghina Parlimen dan Ahli Parlimen boleh membangkitkannya ketika Rafidah menjawab isu itu atau pada perbahasan berhubung kementerian berkenaan.

Saya yakin bahawa rakyat Malaysia sedang menunggu-nunggu apakah tindakan yang bakal dikenakan terhadap kedua-dua AP tersebut. Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip BN, Datuk Seri Najib Razak sendiri dikatakan akan membawa kes dua Ahli Parlimen itu pada mesyuarat jemaah Menteri kerana perbuatan mereka bertentangan dengan dasar parti. Namun saya juga merasa hairan bagaimana Najib boleh menyatakan di dalam sidang media bahawa kedua-dua AP tersebut telah melahirkan rasa kesal serta meminta maaf selepas menyedari perbuatan itu menyalahi dasar parti, seolah-olahnya tindakan mereka itu sudah dimaafkan.

Ini terbukti dengan jawapan yang diberikan kepada media sama ada kedua-dua Ahli Parlimen itu akan menghadapi tindakan seperti yang dikenakan terhadap Sothinathan, Najib menyatakan bahawa tidak semua kes sama dan menyatakan bahawa Kabinet yang akan membuat keputusan.

Saya yakin tindakan yang dilakukan oleh kedua-dua AP tersebut akan dikaitkan dengan pergantungan Datuk Sothinathan selama 3 bulan sebagai AP yang mengkritik kerajaan. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika itu telah membuat keputusan mengejut menggantung jawatan, berkuat kuasa serta-merta. Menurutnya, tindakan itu diambil ekoran kelantangan Sothinathan mengkritik kerajaan berhubung isu Universiti Perubatan Crimea State (CSMU) di persidangan Parlimen semalam.

Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh Pak Lah ketika mengumumkan pergantungan jawatan Datuk S. Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli selama tiga bulan sebelum ini dilihat sebagai tindakan tegas yang tidak berkompromi. Di antara kenyataan beliau semasa sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pelabur 2005 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 Jun 2005 :

``Ya, kita telah membuat keputusan atas apa yang telah beliau lakukan di Parlimen.
``Sebagai seorang ahli kerajaan, beliau tidak sepatutnya mengambil tindakan itu.”
``Ini telah jelas melanggar disiplin sebagai seorang ahli kerajaan.''


Tindakan kedua AP ini sebenarnya menguji kewibawaan Pak lah yang sebelum ini dilihat begitu tegas terhadap S. Sothinathan. Sekiranya tindakan yang sama dikenakan terhadap mereka maka Pak Lah telah meneruskan episod malang bagi demokrasi di Malaysia yang menyekat kebebasan rakyat. Sekiranya tindakan tegas tidak diambil maka kreadibiliti beliau akan dipersoalkan rakyat khususnya daripada kaum India yang menganggap bahawa S. Sothinathan adalah wira mereka kerana memperjuangankan nasib kaumnya.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

01 October 2005

RAKYAT KECEWA MB JOHOR ENGGAN BINCANG MASALAH AIR

Rakyat kecewa MB Johor enggan bincang masalah air
Date: Friday, September 30 @ 13:16:07 MYT
Topic: Local News
Oleh SALMAN HUSEIN
JOHOR BAHRU, 30 Sept (Hrkh) - Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor (JBSAJ) merasa amat kesal dengan sikap Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, yang menolak permintaan untuk mengadakan perbincangan berhubung krisis bekalan air yang berlaku di Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu.Keengganannya sangatlah dikesali dan tidak sewajarnya berlaku sekiranya beliau seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa rakyat, kata Setiausaha JBSAJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan memorandum Krisis Bekalan Air di Daerah Kluang dan Batu Pahat kepada Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman, di Bukit Timbalan, dekat sini.

Ghani yang menerima memorandum ini sebaik selesai menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri bagaimana pun enggan melayan permintaan JBSAJ bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung krisis bekalan air ini sebaliknya beliau menyatakan penjelasan berhubung isu ini telah pun dibuat di akhbar.
"Kita terima langkah yang akan diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah air ini walau pun ianya akan mengambil masa yang agak lama serta membabitkan kos yang cukup tinggi tetapi apa yang hendak kita bangkitkan ialah isu pencerobohan tanah yang berlaku di kedua-dua kawasan tadahan air di empangan Semberong dan Bekok," katanya.
Dalam satu kenyataan baru-baru ini, Ghani menjelaskan, dalam usaha untuk mengatasi krisis bekalan air di Kluang dan Batu Pahat, kerajaan negeri akan melakukan proses pemindahan bekalan air dari sungai lain untuk disalurkan ke kedua-dua empangan ini dan dijangka proses ini akan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk siap dan akan menelan belanja lebih RM100 juta.
"Sebenarnya perkara yang kita mahukan jawapan dari Ghani ialah soal pencerobohan tanah ini, kita mahu tahu sejauhmana tindakan yang diambil kerajaan terhadap pihak-pihak yang melakukan pencerobohan ini dan rakyat juga ingin tahu siapa atau pihak mana yang terbabit dengan pencerobohan tanah ini," kata Faizi.
Menurut Faizi lagi, dalam satu kenyataannya baru-baru ini Ghani telah mendedahkan berlaku pencerobohan ke atas 718 hektar (1774 ekar) tanah di empangan Semberong yang ditanam kelapa sawit sejak 10 tahun lalu.

Selain itu berlaku juga pembalakan haram serta penanaman sayur-sayuran secara meluas berhampiran empangan Semberong ini.
"Ini yang menjadi persoalan dan tanda tanya di kalangan rakyat yang ingin tahu siapa dia yang terbabit dengan pencerobohan tanah ini sebab sehingga kini masih tiada kedengaran sebarang tindakan diambil oleh kerajaan," katanya.
Selanjutnya menurut beliau, keengganan MB mengadakan pertemuan dengan JSAJ yang mewakili kepentingan seluruh rakyat khususnya di Kluang dan Batu Pahat menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang beliau cuba disembunyikan dari pengetahuan rakyat.
"Rakyat merasa amat kesal dengan sikap yang ditunjukkan beliau selaku pemimpin kerajaan yang sepatutnya berani bersemuka dengan rakyat secara jujur sebaliknya dengan sikap yang ditunjukkan ini maka kita mendesak agar beliau melepaskan jawatan kerana beliau bukanlah pemimpin yang jujur dan berjiwa rakyat," katanya.
Berhubung langkah kerajaan negeri mengambil bekalan air dari sumber lain bagi memenuhi keperluan air di Kluang dan Batu Pahat yang menelan kos lebih RM 100 juta, JSAJ berharap tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan dalam pengendalian projek ini, tegas Faizi lagi. -zs

MEMORANDUM KRISIS AIR JOHOR


Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Air Johor

29hb. September, 2005

Kepada,

Y.A.B DATUK ABDUL GHANI BIN OTHMAN
Menteri Besar
Negeri Johor Darul Takzim

Y.A.B DATUK,


MEMORANDUM KRISIS BEKALAN AIR DI DAERAH KLUANG & BATU PAHAT

Air adalah merupakan salah satu daripada keperluan asasi kehidupan manusia. Ketiadaan bekalan air yang tetap dan berterusan akan mengundang pelbagai masalah kepada kehidupan manusia samada dari segi kesihatan, ekonomi, sosial, psikologi dan sebagainya. Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, air seharusnya diuruskan secara sistematik, efektif dan berkualiti.

Sebagaimana yang dimaklumi, krisis bekalan air di Kluang dan Batu Pahat telah berlaku sekian lama tanpa proses penyelesaian yang konkrit dan berkesan. Tidak dinafikan kemarau adalah salah satu dari sebab berlakunya kejatuhan paras air di bawah paras kritikal (7.4 meter) di Empangan Sembrong tetapi disana terdapat banyak lagi faktor-faktor kesilapan manusia (human error) dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Johor yang perlu diperbaiki dan diperbetulkan.

Maksud firman Allah SWT ;

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut di sebabkan kerana perbuatan tangan manusia supaya Allah SWT merasakan kepada mereka sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali ke jalan yang benar” (Ar-Rum : 41)


JAWATANKUASA BERTINDAK SELAMATKAN AIR JOHOR (JBSAJ) berpendirian bahawa kesilapan besar yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Johor dalam menguruskan bekalan air bermula daripada dua (2) perjanjian yang ditandatangani sebagaimana berikut :


1. PERJANJIAN DENGAN EQUIVENTURES SDN. BHD

Perjanjian ini ditandatangani pada 28 Jun 1992 bagi membina 2 loji rawatan air iaitu;
a) Loji Rawatan Air Sg. Layang (Johor Bahru)
b) Loji Rawatan Air Sg. Johor (Kota Tinggi)

Berdasarkan kepada perjanjian ini Kerajaan Negeri terpaksa menjelaskan bayaran tetap secara bulanan sebanyak purata RM47 juta setahun bagi tempoh 20 tahun ke atas perbelanjaan modal yang dikeluarkan oleh Equiventures. Bayaran pada tahun 1998 adalah sebanyak RM58 juta.

Selain itu Kerajaan Negeri perlu menjelaskan bayaran balik pembelian air bersih (bulk sales rate) kepada Equiventures sebanyak purata RM31 juta setahun bagi tempoh 20 tahun. Tahun 1998 bayarannya adalah sebanyak RM48 juta. Kerajaan Negeri sebenarnya terpaksa membeli air dengan harga 25% lebih tinggi daripada harga sebenar seperti yang dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air (JBA).

Beban bayaran yang berat ini telah menyebabkan Kerajaan Negeri berhutang dengan Kerajaan Persekutuan, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia.


2. PERJANJIAN DENGAN SOUTHERN WATER CORPORATION (SWC)

Perjanjian ini ditandatangani pada 31 Mei 1994 dengan memberikan SWC konsesi selama 20 tahun untuk mengendalikan 14 loji rawatan air di Batu Pahat, Muar, Segamat dan Kluang. Kerajaan Negeri melalui Syt. Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) perlu membeli air bersih (bulk sales rate) sebanyak purata RM35 juta setahun. Kerajaan Negeri melalui SAJ sekali lagi perlu membayar harga yang lebih tinggi berbanding kos sebenar jika SAJ kendalikannya sendiri.

Bebanan hutang berterusan telah menyebabkan Kerajaan Negeri meminjam RM300 juta dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pada tahun 2000 bilamana Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) diswastakan kepada SAJ Holdings Sdn. Bhd. (SAJH), hutang Kerajaan Negeri atau SAJ adalah seperti berikut :

Hutang kepada Kerajaan Persekutuan dan KWSP – RM1.105 bilion
Tunggakan bayaran balik kepada Kerajaan Persekutuan & KWSP – RM116.7 juta
Tunggakan kepada Equiventures & SWC – RM65 juta

Menurut Kerajaan Negeri, penswastaan Syarikat Air Johor Sdn. Bhd. (SAJ) pada tahun 2000 kepada SAJ Holdings Sdn. Bhd. (SAJH) adalah bermatlamatkan ;

Menyelesaikan masalah pembayaran pinjaman
Meningkatkan keupayaan bagi memenuhi keperluan bekalan air pada masa hadapan.
Mengendalikan operasi pengeluaran dan agihan bekalan air secara bersepadu pada paras kos perbandingan yang effisen lagi kompetatif.
Membangunkan pengurusan bekalan air yang cekap dengan penggunaan teknologi terkini.
Menjamin mutu bekalan air yang tinggi di Negeri Johor.


PUNCA KRISIS AIR :

JAWATANKUASA BERTINDAK SELAMATKAN AIR JOHOR (JBSAJ) berpendirian bahawa punca utama kepada berlakunya krisis air di Kluang dan Batu Pahat adalah seperti berikut ;

1. Pencerobohan Kawasan Tadahan Air (Water Catchment Area)
2. Pencemaran sungai
3. Penguatkusaan yang lemah
4. Kegagalan Kerajaan/JBA/SAJ/SAJH mengabil langkah-langkah pencegahan.


1) PENCEROBOHAN KAWASAN TADAHAN AIR

Y.A.B Menteri Besar Johor dalam kenyataan di dalam akhbar Berita Harian bertarikh 4hb. Mei, 2005 menyatakan seluas 718 hektar (1,774 ekar) tanah di Empangan Sembrong diceroboh lebih 10 tahun lalu untuk aktiviti penanaman kelapa sawit. Aktiviti pembalakan secara haram juga dikesan disekitar kawasan tadahan air Empangan Sembrong seperti di Bukit Jintan. Terdapat juga aktiviti penanaman sayur-sayuran secara meluas berhampiran dengan Empangan Sembrong. Terdapat juga sebuah Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) berhampiran Empangan Sembrong.

Apabila pokok-pokok di kawasan tadahan air di tebang untuk aktiviti pembalakan atau pertanian maka fungsi kawasan tadahan air akan terganggu. Secara idealnya bila berlaku hujan maka hanya 30% air hujan akan masuk kedalam sungai atau empangan manakala 70% lagi akan jatuh di kawasan tadahan air yang kemudiannya meresap kedalam tanah. Bila berlaku kemarau, air yang berada di kawasan tadahan akan mengalir melalui mata air kedalam sungai atau empangan. Proses ini akan melambatkan air sungai atau empangan daripada kering. Antara implikasi lain bilamana kawasan tadahan air diceroboh ialah ;

1) Kesukaran pembentukan awan di kawasan empangan.

2) Air empangan akan cepat kering. Sebagai contoh setiap pokok kelapa sawit memerlukan air sebanyak 5 gelen sehari

3) Berlakunya pencemaran daripada aliran sisa baja, racun serangga dan najis binatang ke dalam empangan. Kadar kandungan amonia di dalam air akan meningkat.


2) PENCEMARAN SUNGAI – SG. BEKOK

Daripada lawat periksa yang dilakukan di dapati pencemaran sungai berlaku daripada sumber-sumber berikut ;

a) Ladang kelapa sawit secara besar-besaran Parit Ngamarto terletak lebih kurang 8 km daripada pekan Yong Peng dan merintangi Sg. Bekok. Di kawasan rizeb sepanjang sungai kampung ini terdapat tanaman kelapa sawit penduduk setempat yang ditanam secara haram dan secara sah. Untuk mendapatkan hasil buah kelapa sawit yang bermutu penduduk di sini akan meletakan baja ammonia. Baja ini akan menyerap ke dalam tanah dan sebahagianya dialirkan ke dalam Sungai Bekok.

b) Sistem peparitan dan penyaliran air buangan daripada pengguna di sekitar bandar Yong Peng mengalirkan bahan buangan ke dalam sungai bekok.

c) Kewujudan penternakkan ayam, lembu dan kambing secara komersial

d) Pusat Pelupusan Sampah di Yong Peng berdekatan (500 meter) dari Sg. Bekok

e) Kilang-kilang yang dibina berdekatan dengan Sg. Bekok


3) KEGAGALAN KERAJAAN MENGAMBIL LANGKAH-LANGKAH
PENCEGAHAN

Empangan Bekok (1984) dan Empangan Sembrong (1990) dibina untuk tujuan tebatan banjir. Pada tahun 1985 Syt. Sepakat Setia Perunding Sdn. Bhd. dan Snowy Mountains Engineering Corporation (SMEC) telah menjalankan kajian dan mendapati 71% dari Lembangan Batu Pahat dilapisi oleh tanah “pyrite” setebal 50cm yang mengandungi besi berat yang boleh menghasilkan asid sulfurik.


Demi menyedari bahawa air adalah merupakan keperluan asasi kepada kehidupan manusia dan menyedari bahawa ketiadaan bekalan air yang bersih dan berterusan boleh mengundang pelbagai masalah kepada kesihatan, perniagaan, produktiviti, pelaburan dan sebagainya, maka JAWATANKUASA BERTINDAK SELAMATKAN AIR JOHOR (JBSAJ) mendesak Kerajaan Negeri Johor supaya dengan SEGERA :


TINDAKAN JANGKA PENDEK (SEGERA) :

1) JADUAL CATUAN AIR HENDAKLAH DILAKSANAKAN SECARA SISTEMATIK DAN EFEKTIF

Mendesak supaya SAJH memastikan jadual catuan air yang telah ditetapkan dipatuhi sepenuhnya tanpa pengecualian khususnya menjelang bulan Ramadhan dan Syawal yang akan datang. Mana-mana jadual catuan air yang gagal disempurnakan oleh SAJH maka penghantaran air dengan menggunakan lori hendaklah disediakan secepat mungkin bagi mengelakkan pengguna dibebankan dengan lebih banyak masalah.


2) MEMBERHENTIKAN SERTA MERTA SEBARANG AKTIVITI PERTANIAN, PENTERNAKAN ATAU PEMBALAKAN DI SG. SEMBRONG, SG. BEKOK DAN EMPANGAN SEMBRONG SERTA KAWASAN TADAHAN AIR.

Tindakan ini perlu bagi memastikan kawasan tadahan air tidak terus dimusnahkan. Mengikut siasatan Jawatankuasa Bertindak Kawasan Tadahan Empangan Sembrong sepatutnya diwartakan seluas 136.4 km persegi manakala Kawasan Tadahan Empangan Bekok 354 km persegi.


3) MENINGKATKAN PENGUATKUASAAN

Perkara 25 - PBN boleh membuat peraturan-peraturan untuk melarang atau mengawal dari berlakunya pencemaran, kecemaran atau pemendakan mana-mana sungai, empangan atau kawasan tadahan.

Kerajaan Negeri melalui agensi penguatkuasa seperti Pejabat Tanah & Galian (PTG), Pejabat Tanah Daerah, Jabata Alam Sekitar (JAS) hendaklah meningkatkan penguatkuasaan serta pemantauan khususnya aktiviti pencerobohan kawasan tadahan (seperti pembalakan, penamana kelapa sawit, penanaman sayur-sayuran dan pemeliharaan binatang) dan penyaluran bahan buangan ke sungai. Hukuman yang berat hendaklah dikenakan kepada pihak-pihak yang melakukan kesalahan supaya kesalahan yang sama tidak akan berulang di masa hadapan.

Kilang Johmewah Paper Mill Sd. Bhd. sebelum ini telah melakukan 2 kesalahan dan telah dibawa ke Mahkamah oleh JAS dan dikenakan denda RM1,500 (1994) dan RM5,000 (1995).


4) MENUTUP TEMPAT PELUPUSAN SAMPAH DI YONG PENG

Kerajaan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan supaya Majlis Daerah Yong Peng menutup dengan segera tapak pelupusan sampah yang terletak berdekatan dengan Sg. Bekok iaitu lebih kurang 500 meter. Tempat pelupusan sampah ini akan menjadi sumber pencemaran kepada air Sg. Bekok.


5) PEMINDAHAN AIR MENTAH

Salah satu dari strategi Kerajaan Negeri. Bina paip sepanjang 10 km dari Sungai Sembrong Timur ke Empangan Sembrong Barat dengan kos RM45 juta. Bermula akhir tahun dan akan siap dalam tempoh 9 bulan. Pemasangan paip dari Empangan Bekok ke loji rawatan air di Yong Peng, Parit Raja dan Sri Gading sejauh 17 km dengan kos RM160 juta pula dijangka siap awal tahun hadapan. Jawatankuasa Bertindak bersetuju dengan strategi yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri tetapi dengan syarat projek-projek tersebut dilaksanakan secara tender projek dibuat secara terbuka dan kos projek hendaklah pada paras yang munasabah dan kompetatif.


TINDAKAN JANGKA PANJANG :

1) MEWARTAKAN KAWASAN TADAHAN AIR

Perkara 24, Enakmen Bekalan Air, 1993 - PBN boleh mewartakan mana-mana tasik atau sungai atau mana-mana bahagiannya atau persekitarannya menjadi kawasan tadahan sesuatu kolam takungan atau pengambilan bekalan air jika ternyata kepada PBN bahawa pengisytiharan itu adalah perlu untuk tujuan memeliharakan atau melindunginya.


2) MEWUJUDKAN SISTEM PENGURUSAN KAWASAN TADAHAN

Kerajaan hendaklah melaksanakan system “INTEGRATED WATER RESOURCES MANAGEMENT (IWRM)” yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Mineral & Geosains, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), SAJH, SWC dll. Dengan ujudnya Task Force ini maka kesemua perkara boleh diambilkira secara menyeluruh di samping mampu untuk menjangkakan masalah yang akan timbul di masa hadapan dengan mengambil langkah-langkah pencegahan yang bersesuian dan berkesan daripada sekarang.


3) MENGGUNAKAN TEKNOLOGI TERKINI

Meneruskan rawatan air sediada dengan mengadaptasi teknologi terkini seperti teknologi “Membrance & Reverse Osmosis” yang digunakan di Singapura sehingga kos rawatan air se meter padu lebih rendah dari Malaysia.

2003 – Singapura telah mengitar semula air kumbahan (NeWater)

2005 – Singapura telah membina loji pemprosesan air laut antara terbesar di dunia dengan kos S$200 juta (RM446 juta) dengan keupayaan menghasilkan 136,380 meter padu air tawar sehari. Ini adalah bersamaan 10% keperluan air Singapura.


4) MEWUJUDKAN PELBAGAI SUMBER AIR MENTAH

Seperti air bawah tanah yang ditemui di Bukit Permai dan Ulu Belitong. Singapura jika dahulu bergantung sebanyak 50% bekalan air dari Malaysia tetapi sekarang hanya bergantung sebanyak 30% sahaja. Bekalan air Singapura adalah Kawasan Tadahan Air (50%), Air Kumbahan (10%) dan Air Laut (10%).


5) MENGADAKAN PROJEK PEMULIHARAAN SUNGAI

Sungai-sungai yang membekalkan air kepada loji-loji di Johor hendaklah diberikan keutamaan dalam aspek pemuliharaan yang kini sedang menghadapi pencemaran yang teruk. Kempen yang diadakan selama ini masih belum mencapai tahap yang memberansangkan terutamanya yang dihadapi oleh air di Sungai Bekok.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama jabatan yang lain seperti Jabatan Pertanian, Jabatan Haiwan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) perlu lebih bertanggung jawab dalam mengawal kawasan pengambilan air dan takungannya serta memelihara kualiti sumber air mentah yang digunakan sebagai bekalan air.

6) MENGKAJI SEMULA TERMA-TERMA PERJANJIAN PENSWASTAAN AIR JOHOR

Antara perkara yang perlu dikaji semula adalah;

a. Kerajaan Negeri Johor sepatutnya tidak boleh memiliki saham dalam SAJH kerana ini akan menimbulkan “conflict of interest” membantutkan proses pemantauan dan pengutkuasaan dari pihak kerajaan keatas SAJH. Setakat ini Kerajaan Negeri memegang 15% saham dalam SAJH melalui Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan satu saham istimewa ‘Golden Share’.


b. Projek-projek besar SAJH hendaklah dilaksanakan secara Tender Terbuka bukan seperti amalan sekarang dibolot oleh Ranhill Bhd iaitu pemegang saham utama SAJH. Ranhill boleh memanipulasi kos sesuatu kontrak kerana ianya dibuat secara Tender Tertutup.



“Air Bersih Asas Kehidupan Sihat”



Sekian, terima kasih.

27 September 2005

Tahanan ISA Johor bebas perintah sekatan

Oleh Salman Hussin
SIMPANG RENGGAM, 26 Sept (Hrkh) – Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Noor Asid Sakib, yang dikenakan perintah sekatan (RO) sejak empat tahun lalu telah dibebaskan sepenuhnya berkuatkuasa mulai 23 September lalu.Noor Asid, 37, yang didakwa terbabit dengan kumpulan militan sebelum ini telah ditahan di bawah ISA selama 54 hari, selepas itu beliau dikenakan perintah sekatan di bawah seksyen 8 (5) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 selama empat tahun bermula 24 Sept 2001 hingga 23 Sept 2005.

Surat pembebasan beliau telah diserahkan pegawai cawangan khas di Balai Polis Simpang Renggam, dekat sini, tengahari 23 September lalu.
Di bawah seksyen 8 (5) perintah sekatan ini Noor Asid hanya dibenarkan bergerak di Daerah Kluang sahaja dan sekiranya beliau mahu keluar dari daerah Kluang maka permohonan perlu dibuat dua minggu lebih awal.
Selain itu beliau juga perlu mematuhi arahan untuk berada di rumah mulai 9.00 malam hingga 6.00 pagi serta melapur diri di Balai Polis Simpang Renggam seminggu sekali.
Noor Asid yang ditemui dalam kunjungan Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, sebaik saja mengetahui berita pembebasan ini kelihatan begitu gembira dan ceria dengan pembebasan beliau ini.
Menurut Faizi, seluruh warga pemuda dan ahli PAS Johor amat bersyukur kepada Allah SWT dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau dengan pembebasan ini.
Selepas ini Noor Asid dan keluarganya boleh bebas bergerak ke mana saja tanpa sebarang sekatan lagi.
"Sebelum ini kita merasa amat simpati kerana beliau sekeluarga terpaksa berkurung di rumah disebabkan perintah sekatan ini," kata Khairul Faizi.
Ketika ditanya apakah rancangan beliau selepas ini, Noor Asid memberitahu, antara perkara utama yang akan dilakukan ialah mengadakan ‘road show’ ke seluruh negara bagi memperomosi Madrasah Al—Masriyyah.
Promosi ini bertujuan menarik minat ibu bapa bagi menghantar anak-anak mereka mengikuti pendidikan yang lebih Islamik yang disediakan di madrasah ini di mana pelajar juga berpeluang mendapatkan pendidikan akademik selain pendidikan dalam bidang agama.
Usaha untuk mengembalikan semula kecemerlangan madrasah ini perlu dilakukan memandangkan sejak akhir-akhir ini bilangan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke madrasah ini sangat berkurangan, katanya.
Mutu pendidikan yang diajar di madrasah ini dikira setanding jika dibandingkan dengan institusi pendidikan lain terutama institusi pendidikan milik kerajaan.
Ini terbukti bilamaa terdapat ramai pelajar lepasan madrasah ini berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Al-Azhar Mesir dan juga institusi pendidikan tinggi lainnya, kata beliau.
Justeru kerana itu tambah beliau lagi, promosi, kempen yang bersepadu secara berterusan perlu dibuat supaya masyarakat khususnya orang Islam lebih berminat untuk menghantar anak mereka belajar di madrasah ini.
Faizi mengucapkan tahniah kepada Noor Asid yang dibebaskan dari perintah sekatan bermula hari ini.

Ceroboh kawasan tadahan air, Pemuda PAS dan PKR buat laporan polis

Oleh Salman Hussin
JOHOR BAHRU, 26 Sept (Hrkh) – Berikutan kegagalan Kerajaan Negeri bertindak terhadap penceroboh kawasan tadahan hujan di Empangan Semberong yang mengakibatkan berlakunya krisis bekalan air yang begitu teruk di Kluang dan Batu Pahat sejak beberapa bulan lalu, satu lapuran polis dibuat. Lapuran polis ini dibuat oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia telah dibuat ekoran dari kenyataan Menteri Besar Johor, Dato’ Abdul Ghani Othman pada 4 Mei lalu yang mengakui berlakunya pencerobohan tanah seluas 718 hektar di kawasan tadahan hujan di empangan Semberong.
Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, pada sidang media selepas membuat lapuran di Balai Polis Central, dekat sini, kelmarin berkata, laporan itu dibuat selepas tiada tindakan terhadapnya.
Hadir sama Ketua Angkatan Muda PKR Johor, Nurin Aina Abdullah serta beberapa Exco Pemuda PAS Johor dan Angkatan Muda PKR Johor.
Menurut Faizi, lapuran polis ini dibuat setelah tiada sebarang tindakan dilakukan kerajaan negeri terhadap pihak terbabit yang didakwa melakukan pencerobohan tanah di empangan Semberong ini.
"Kegagalan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit ini amat dikesalkan dan kita melihat seolah-olah semacam ada sesuatu yang cuba disembunyikan kerajaan dalam isu ini, sebab itu sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan," kata Faizi.
Berdasarkan kepada maklumat yang terkandung dalam lapuran yang dibuat, Pemuda PAS meminta polis melakukan siasatan dengan telus dan terperinci, walau pun mungkin kes ini membabitkan MB Johor sendiri kerana ianya membabitkan kepentingan rakyat.
"Justeru kerana itu kita meminta polis melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kenapa kerajaan negeri yang dipimpin Ghani sehingga hari ini tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan pencerobohan ini,"katanya.
Selanjutnya menurut Faizi, beliau sangat bimbang sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan yang menyebabkan berlakunya pencerobohan terhadap kawasan tadahan hujan di empangan Semberong ini.
Pencerobohan tanah di kawasan yang sangat penting ini tidak mungkin boleh berlaku sekiranya tidak mendapat ‘lampu hijau’ daripada pihak yang berkuasa dan ini menunjukkan seolah-olah apa yang berlaku ini mempunyai kaitan dengan pihak terbabit khususnya kerajaan negeri, dakwanya.
Dalam kenyataannya baru-baru ini, kata Faizi, Ghani cuba mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar iaitu isu pencerobohan tanah kepada usaha yang sedang dilakukan bagi mengatasi masalah bekalan air ini.
Kenyataan beliau menyebut, tindakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Kluang sedang dilakukan dengan menukar punca bekalan air, kalau sebelum ini air diperolehi dari empangan Semberong Barat tetapi sekarang ini akan diambil dari empangan Semberong Timur.
"Persoalan sebenar yang sepatutnya menjadi tanggungjawap utama kerajaan negeri untuk diselesaikan sekarang ini bukan masalah dari mana dan bagaimana punca bekalan air ini diperolehi tetapi isunya adalah kenapa penceroboh tanah kawasan tadahan hujan ini sehingga kin masih tidak didakwa, ini yang menjadi tanda tanya di kalangan rakyat.
"Soal bagaimana dan dari mana sumber bekalan air ini boleh diperolehi biarlah perkara ini diatasi oleh pihak yang telah diberi amanah untuk menguruskan perkara ini sebaliknya kerajaan yang mempunyai bidang kuasa yang penuh terhadap tanah di negeri ini hendaklah menguatkuasakan undang-undang ini sekiranya berlaku pencerobohan ke atas tanah milik kerajaan," tegasnya lagi. -zs

24 September 2005

LAPORAN POLIS : ADUAN TENTANG PENCEROBOHAN KAWASAN TADAHAN HUJAN EMPANGAN SEMBERONG DAN KELEWATAN KERAJAAN NEGERI JOHOR

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Tarikh :


23 September 2005

Daripada
:

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No 17 Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya
86200 Simpang Renggam
Johor Darul Takzim

Kepada :


KETUA POLIS DAERAH JOHOR BAHRU
Balai Polis Central Johor Bahru

Tuan,

ADUAN POLIS TENTANG PENCEROBOHAN KAWASAN TADAHAN HUJAN EMPANGAN SEMBERONG DAN KELEWATAN KERAJAAN NEGERI JOHOR BERTINDAK TERHADAP PENCEROBOH TANAH KERAJAAN.

Saya Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil nombor kad pengenalan 730111-01-6625 di alamat Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor, No 17 Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya, 86200 Simpang Renggam, Johor Darul Takzim; berbangsa Melayu; beragama Islam dengan ini mengemukakan laporan polis seperti mengikut kata-kata aduan berikut:

Saya seorang warganegara Malaysia ingin mengemukakan aduan saya ke atas perkara-perkara yang mana pada pandangan dan anggapan saya adalah penyelewengan dan salah guna kuasa :

1. Kenyataan Menteri Besar Johor bahawa telah berlaku pencerobohan kawasan tadahan hujan di Empangan Semberong.

· Berita Harian pada 4 Mei 2005 telah melaporkan bahawa Datuk Abd Ghani Bin Haji Othman selaku Menteri Besar Johor telah mendakwa bahawa berlaku pencerobohan kawasan tadahan hujan seluas 718 hektar di Empangan Semberong dan diceroboh untuk penanaman Pokok Kelapa Sawit.

2. Ekspidisi Selamatkan Air Johor oleh Dewan Pemuda PAS Johor

· Bagi membuktikan bahawa sememangnya telah berlaku pencerobohan ini, Dewan Pemuda PAS Johor (DPPN Johor) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan lawatan ke Empangan Semberong pada 13 Mei 2005 dan melihat sendiri kawasan yang didakwa telah diceroboh sehingga menyebabkan berlakunya krisis Air.

· DPPN Johor juga dapat mengesan beberapa kawasan yang diteroka untuk penempatan seperti Kampung Banjir Bersatu dan Kampung Sri Semangat yang terletak berhampiran kawasan tadahan hujan.

· Terdapat penebangan pokok hutan tanpa kawalan disekitar Empangan Semberong sehingga dapat dilihat dengan jelas bukit-bukit yang gondol disekitarnya. Fenomena ini telah menjejaskan pembenihan awan di dalam kawasan empangan dan menjadikan hujan yang lebat tidak turun di sekitar empangan ini . Penebangan hutan secara rakus ini juga telah menyebabkan hakisan tanah dan meningkatkan pendedahan permukaan tanah kepada matahari. Fenomena ini telah mempercepatkan sejatan air seterusnya menyebabkan empangan menjadi kering. Sebagai catchment area, Empangan Semberong yang menyalurkan air ke Loji Air Semberong adalah bergantung sepenuhnya kepada punca air daripada hujan sahaja.

· Aktiviti Pertanian Secara Haram. Kawasan tanah yang telah diceroboh di sekitar empangan telah di tanam dengan tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran seperti penanaman lada Tanaman secara haram ini menggunakan baja secara intensif. Baja ini akan menyerap ke dalam tanah dan sebahagiannya masuk ke dalam empangan dan seterusnya mencemarkan air di dalamnya.

3. Penyerahan Memorandum kepada Menteri Besar Johor

· DPPN Johor telah menyerahkan memorandum kepada MB Johor pada 20 Mei 2005 beserta dengan pelbagai maklumat dan bukti dengan harapan Datuk Abd Ghani Bin Haji Othman dapat mengambil tindakan segera termasuklah mendakwa mereka yang menceroboh tanah kerajaan di sekitar empangan semberong.

Atas beberapa keadaan inilah maka saya berpandangan bahawa:

· DPPN Johor tidak berpuas hati kerana memorandum yang telah diserahkan kepada Menteri Besar Johor telah dihantar lebih daripada 4 bulan yang lalu dan sehingga kini tidak ada jawapan ataupun tindakan daripada pihak beliau.

· Kerajaan Negeri Johor sepatutnya mengambil tindakan segera di atas aduan yang telah diserahkan oleh DPPN Johor kerana ia melibatkan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan pengadu sebagai rakyat Johor semata-mata.

· Sikap tidak serius yang ditunjukkan oleh kerajaan negeri telah menyebabkan krisis air di Kluang, Sri Gading, Batu Pahat dan Air Hitam semakin membimbangkan.

· Kelewatan MB Johor mengambil tindakan terhadap penyelewengan dan peneroka haram di sekitar Empangan Semberong adalah kerana terdapat kepentingan pertubuhan parti politik pemerintah.

Oleh yang demikian, saya menggesa pihak tuan supaya menyiasat dengan segera aduan saya di atas bagi menentukan ketelusan Menteri Besar Johor dalam menjalankan tugas beliau dan menyelamatkan rakyat daripada terus diselubungi masalah ketiadaan air.

Sekian, inilah aduan saya.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL

Jawatan : Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
No Telefon : 019-7701830 / 012-7811830

15 September 2005

KEGAGALAN BANK NEGARA MALAYSIA (BNM) MENGAWAL PEMALSUAN WANG SYILING RM1 MERUGIKAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
(15 September 2005)

Utusan Malaysia hari ini memaklumkan bahawa penarikan semula penggunaan syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu. Bank Negara Malaysia (BNM) menjelaskan bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara. Bank pusat itu berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan polis dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang kegiatan pemalsuan wang itu.

Di antara sebab-sebab lain penarikan semula ini adalah disebabkan oleh permintaan yang rendah dan kegunaannya tidak lagi popular dalam pembelian barangan dan membayar perkhidmatan di negara ini.

Sebelum ini BNM dalam satu kenyataan pada 5 September lalu mengumumkan orang ramai diberi tempoh tiga bulan untuk menjalankan urus niaga menggunakan syiling berkenaan dan mereka boleh menukarnya pada nilai muka tanpa sebarang caj.

Semalam (14 September 2005) laporan muka depan Utusan Malaysia menggemparkan masyarakat kerana diberitakan bahawa hampir separuh daripada RM34 juta syiling RM1 yang kini berada di dalam pasaran dipercayai wang palsu. Ini bermakna terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM 1 palsu berada di pasaran. Senario itu, kata sumber itu, mungkin antara sebab utama mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah drastik menghentikan penggunaannya selepas 7 Disember ini. Jika tidak dibendung, menurut sumber tersebut, ia boleh menjejaskan ekonomi negara.

Apa yang pelik, kata sumber itu, BNM sudah menghentikan pengeluaran syiling RM1 sejak tahun 2000 namun masih banyak kepingan syiling di pasaran yang mempunyai tahun cetakan 2004.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Ng Yen Yen pula berkata, sejak kebelakangan ini syiling RM1 itu banyak dipalsukan dan ia sukar dikesan (Utusan Malaysia, 7 September 2005). Tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) menarik balik penggunaan duit syiling RM1 berkuat kuasa 7 Disember ini bertujuan mengelak berlakunya sindiket mengeluarkan syiling palsu.

Bukti bahawa telah berlakunya pengeluaran wang syiling RM 1 palsu setelah beberapa tangkapan telah dilakukan pada tahun ini yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

1. Pada 22 Januari 2005, satu sindiket pengeluaran wang syiling RM1 palsu turut dibongkar di Klang dan Seri Kembangan selain rampasan sejumlah RM20,000 dipercayai baru dibuat di sebuah kedai yang ditinggalkan kosong

2. Pada 24 Mac 2005, polis melumpuhkan satu sindiket memproses wang syiling RM1 palsu serta merampas kira-kira 30,000 keping syiling bersama dua mesin memproses dalam serbuan di Puchong, Selangor. Difahamkan, wang syiling tersebut diproses untuk dijual dengan harga RM200 bagi setiap 1,000 keping kepada sindiket dan dipercayai digunakan untuk pembayaran wang menggunakan mesin termasuk di pusat permainan dan kasino. Sebahagian wang syiling palsu yang dirampas itu masih belum siap dicetak.

3. Pada 7 April 2005 pula, seorang lelaki dari Sarawak yang baru lima hari bekerja di sebuah kilang memproses wang syiling palsu dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah mengaku bersalah atas dua tuduhan memproses dan memiliki mesin membuat wang syiling RM1 palsu. Dalam serbuan yang dijalankan, polis menemui sebanyak 900 keping duit syiling RM1 Malaysia palsu yang telah siap dan 22,000 kepingan logam dalam bentuk serta saiz duit syiling yang belum siap dicetak.

4. 14 April 2005 pula tujuh lelaki termasuk seorang juvenil masing-masing dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memproses wang syiling RM1 palsu sebanyak 22,097 keping. Pertuduhan mengikut Seksyen 232 Kanun Keseksaan membolehkan mereka dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Tertuduh turut didakwa atas tuduhan memiliki empat peralatan iaitu mesin mencetak wang syiling RM1 yang mereka ketahui boleh digunakan untuk tujuan memalsu.

Tindakan menarik semula penggunaan syiling RM1 daripada pasaran sememangnya dapat menghentikan sama sekali sindiket memproses wang palsu ini. Namun kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa kes pemalsuan wang syiling RM1 adalah terpencil dan tidak melibatkan jumlah yang ketara perlu diteliti semula.

Sekiranya benar dakwaan bahawa terdapat lebih kurang RM 17 juta syiling RM1 palsu berada di pasaran, perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana RM 17 juta adalah merupakan jumlah wang yang banyak. Adakah kerana untuk menutup kelemahan BNM maka perkara ini dilihat sebagai kejadian terpencil?.

BNM mestilah mengambil tanggungjawab terhadap pemalsuan syiling RM 1 ini bukan sekadar menyalahkan sindiket yang mengambil kesempatan di atas kelemahan BNM. BNM sepatutnya telah mengambil langkah kawalan lebih awal terutamanya telah berlaku beberapa tangkapan yang melibatkan sindiket memproses wang syiling palsu.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830