06 October 2005

KERAJAAN JOHOR BERHUTANG PALING TINGGI,

KENYATAAN MEDIA

(6 Oktober 2005)


Utusan Malaysia pada 2 Oktober 2005 telah mendedahkan bahawa semua kerajaan negeri gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman kepada kerajaan pusat mengikut jadual bernilai berbilion ringgit dengan tempoh tunggakan antara satu sehingga lapan tahun.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan A. Jalil dalam laporan tersebut menyatakan bahawa tunggakan bayaran balik pinjaman kerajaan negeri meningkat kepada RM 2.61 bilion. Pada akhir tahun lepas berbanding RM 2.54 billion pada akhir 2003.

Yang memeranjatkan lagi apabila didedahkan bahawa Johor adalah merupakan negeri yang paling banyak tunggakan iaitu RM 598.35 juta diikuti oleh negeri Kedah sebanyak RM 450.96 juta dan Selangor sebanyak RM 377.33 juta.

Hari ini Utusan Malaysia telah menyiarkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, sebahagian besar hutang kerajaan negeri Selangor kepada kerajaan Pusat berjumlah RM377 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2004, digunakan untuk projek perumahan rakyat. Beliau juga berkata hutang itu juga bukan hutang tertunggak kerana kerajaan negeri membayarnya secara berperingkat-peringkat dan telah membayar RM20 juta baru-baru ini.

Saya tidak mahu mempertikaikan sama ada kenyataan yang dikeluarkan yang dikeluarkan oleh MB Selangor itu benar ataupun tidak tetapi yang pastinya sehingga hari ini Datuk Abdul Ghani Bin Othman, Menteri Besar Johor masih belum membut apa-apa kenyataan terhadap laporan ini.

Saya percaya bahawa pendedahan ini telah memberikan tekanan kepada kerajaan negeri yang cuba untuk menutup maklumat sebenar hutang kerajaan negeri Johor. Mungkin Datuk Sri Khir Toyo berani mengumumkan bahawa Selangor adalah negeri maju 2005 walaupun mempunyai hutang yang banyak kepada kerajaan pusat kerana kewangan itu mengikut beliau diperuntukan kepada rakyat.

Berbeza dengan MB Johor yang menangguhkan pengistiharan Johor negeri Maju 2005. Utusan Malaysia pada 3 November 2004, Ghani menyebut bahawa Pembinaan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor (Persada Johor) bakal merealisasikan usaha kerajaan negeri untuk memajukan industri perdagangan dan pelancongan bagi membantu Johor mencapai status negeri maju pada 2005. Tetapi sehingga ke hari ini masih belum lagi kedengaran apa jua kenyataan sama ada di dalam sidang DUN Johor atau pun di dalam mana-mana kenyataan akhbar yang mengistiharkan bahawa Johor adalah merupakan negeri maju 2005.

Persoalannya, ke mana perginya hutang kerajaan negeri ini sehingga MB Johor tidak berani mengistiharkan Johor negara maju pada tahun ini. Sudahlah hutang negeri Johor semakin banyak dan tertinggi dalam Malaysia, krisis air di beberapa tempat di Johor semakin meruncing sehingga air di catu kepada penduduk di Kluang dan Batu Pahat.

DPPN Johor mendesak kerajaan Negeri Johor agar mendedahkan secara terpeinci kenapa begitu banyak hutang kerajaan negeri Johor kepada kerajaan pusat dan ke mana peruntukan ini disalurkan.

DPPN Johor juga akan menggunakan saluran wakil Rakyat PAS di sidang DUN Johor iaitu YB Dr Ramli Bin Kari untuk mendesak kerajaan negeri Johor supaya telus di dalam setiap hutang dan perbelanjaan yang dibuat.
Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: