09 October 2005

KEKURANGAN PEGAWAI PENGUAT KUASA JABATAN AGAMA JOHOR MEMBUKTIKAN UMNO TIDAK SERIUS MENCEGAH MAKSIAT DI JOHOR.

KENYATAAN MEDIA
(9 Oktober 2005)


Hari ini Mingguan Malaysia telah mendedahkan bahawa kerajaan Negeri Johor sedang menghadapi masalah kekurangan pegawai penguat kuasa untuk menjalankan dan menguatkuasakan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 di seluruh negeri. Ini disebabkan bilangan pegawai penguat kuasa JAJ ketika ini hanya 76 orang berbanding jumlah penduduk Islam di Johor iaitu seramai lebih 2.1 juta.

Perkara ini didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, Zainal Abidin Osman. Beliau berkata ketika ini jumlah pegawai penguatkuasa JAJ ialah 54 orang dan 22 lagi adalah pegawai sokongan. Katanya, daripada jumlah itu, hanya 18 pegawai yang berjawatan tetap, manakala 58 lagi adalah berjawatan kontrak, manakala jumlah penguat kuasa lelaki seramai 43 orang dan selebihnya perempuan.

Apabila dibandingkan dengan jumlah penduduk Islam di negeri ini iaitu lebih 2.1 juta, jumlah penguatkuasa yang sedia ada tidak mencukupi. Ini tidak termasuk tangkapan kes-kes yang membabitkan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Singapura, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Myanmar, Filipina dan Thailand yang ada di negeri ini.

Di dalam kenyataan ini juga, Zainal Abidin berkata empat perkara yang menjadi masalah yang paling ketara dikenalpasti adalah :

i. Kekurangan penguat kuasa wanita iaitu hanya seorang bagi setiap daerah.Keadaan ini menimbulkan beberapa masalah terutama apabila anggota cuti bersalin, sakit atau ada masalah keluarga.

ii. Kekurangan pemandu yang boleh menjejaskan kegiatan pencegahan maksiat.

iii. Masalah logistik seperti kurang peralatan komunikasi dan peruntukan terbatas yang dihadapi pegawai penguat kuasa.

iv. Kurangnya peruntukan elaun lebih masa, elaun perjalanan dan lain-lain elaun kepada pegawai penguat kuasa agama yang mengakibatkan aduan-aduan tidak dapat dilaksanakan

Pendedahan ini sebenarnya menggambarkan sikap sebenar kerajaan Johor terhadap keseriusan untuk membenteras maksiat dan gejala sosial. Mana mungkin dengan seramai 76 orang pegawai penguatkuasa JAJ mampu untuk mengawasi lebih 2.1 juta orang Islam di Johor. Jumlah pegawai seramai itu pun belum tentu mampu menjalankan amanah mereka jika ditugaskan mengawasi di sekitar Bandar Johor Bahru.

Realitinya dan tidak didedahkan di dalam kenyataan ini adalah masalah JAJ yang mempunyai sebanyak 75 peratus anggota kontrak dan mereka ini sering bertukar ganti sebenarnya tidak sepatutnya berlaku sekiranya JAJ melantik mereka sebagai pegawai berjawatan tetap.

Terdapat ramai daripada mereka ini telah bekerja bertahun-tahun lamanya sebagai penguatkuasa JAJ tetapi tidak dinaikkan taraf daripada kontrak kepada pegawai tetap walaupun ada dikalangan mereka yang mempunyai ijazah Sarjana Muda di pelbagai bidang. Paling menyedihkan, mereka yang berkelulusan ini hanya diberi gaji setaraf dengan pegawai yang berkelulusan SPM. Sebab itulah mereka terdorong untuk meletakkan jawatan dan berpindah ke tempat yang lebih meyakinkan.

Oleh itu, ini membuktikan bahawa kerajaan Johor pimpinan UMNO/BN sebenarnya tidak serius untuk mencegah maksiat dan gejala sosial. Lebih membimbangkan, tindakan tidak melantik pegawai penguatkuasa JAJ tambahan sebenarnya untuk membolehkan maksiat dan hiburan terlampau berleluasa di negeri Johor dan akhirnya merosakkan penduduk Islam di Johor.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable