06 October 2005

AHLI PARLIMEN SRI GADING MEMBAWA ISU MENGHINA LAGU NEGARAKU, RAKYAT JOHOR MENANGGUNG MALU

KENYATAAN MEDIA

(6 Oktober 2005)


Pada 3 Oktober 2005 yang lalu, Dewan Rakyat digamatkan apabila YB Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) menyanyikan sebanyak dua kali baris akhir lagu Negaraku bagi menunjukkan kesalahan penyanyi Hattan yang didakwanya menyampaikan lagu kebangsaan tidak mengikut versi sebenar semasa perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu. Lebih mengejutkan apabila beliau berkata, penyanyi itu perlu dikenakan tindakan kerana perbuatan tersebut boleh dianggap satu penghinaan kepada lagu kebangsaan selain ia dipersembahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Di antara kata-kata beliau seperti mana yang disiarkan di dalam media massa yang cukup memalukan adalah :

``Saya rasa tersinggung apabila mendengarnya. Penyanyi itu patut dihukum, dia patut dihumban ke laut''

Perbahasan isu ini telah disambut oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya penyanyi itu mengubah versi asalnya dengan tujuan untuk menghina lagu kebangsaan.

Semalam, Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Warisan telah mengesahkan penyanyi Hattan tidak melakukan sebarang kesalahan ketika menyampaikan lagu Negaraku pada perlawanan akhir Piala Malaysia, Sabtu lalu. Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pihaknya sudah menyiasat dan meneliti rakaman video asal daripada Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Nyanyian Hattan pada malam itu tidak dinafikan kurang berkesan seperti biasa. Tetapi melodi yang disampaikan pada malam itu masih mengikut rentak asal. Mungkin ada sedikit perubahan tetapi itu tidak semestinya memberi sebab kepada Ahli Dewan Rakyat itu menuduh Hattan tidak patriotik atau menghina lagu kebangsaan kita.

Tetapi isu samada Hattan bersalah atau tidak bukanlah menjadi perkara yang ingin saya nyatakan di dalam kenyataan media ini. Sebagai Ahli Parlimen Sri Gading, kenyataan YB Mohamed Aziz sebenarnya telah memalukan penduduk Sri Gading dan Johor seluruhnya. Mungkin beliau teringin membuktikan bahawa beliau adalah jaguh rakyat di Parlimen tetapi cara dan tindakan yang telah dilakukan ini adalah sangat mendukacitakan. Terlalu remeh, ketandusan idea, hendak jadi hero di atas kelemahan orang lain seperti sudah tidak ada perkara lain hendak dibincangkan.

Ahli Dewan Rakyat sepatutnya menggunakan peluang yang ada dengan membawa masalah rakyat jelata atau membangkitkan isu yang lebih serius lagi. Adakah beliau tidak sedar bahawa sekarang ini kita sedang menghadapi pelbagai masalah yang menimpa rakyat?.

Isu gejala sosial semakin membimbangkan khususnya yang melibatkan orang melayu seperti yang pernah dilaporkan oleh Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) bahawa perlakuan jenayah membabitkan kanak-kanak atau pelajar bukan sahaja kesalahan ringan seperti mencuri atau pecah rumah malah jenayah berat termasuk bunuh, rogol, samun bersenjata api dan keganasan, Menurut Setiausaha Kehormat YPJM, Superitendan Rosniah Ramli, statistik yang menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah ini seawal usia tujuh tahun. Dalam tempoh tujuh bulan pertama, 76 kes melibatkan mereka yang berusia 7 tahun, 668 kes melibatkan di antara 13 dan 15 tahun manakala 1,008 kes melibatkan pelajar yang berusia 16 sehingga 18 tahun. Daripada 1,591 kes yang dilaporkan, 1,295 kes atau 79 peratus melibatkan pelajar melayu.

Begitu juga isu penagih dadah khususnya yang melibatkan orang melayu semakin meningkat, isu pengangguran khususnya yang melibatkan lebih 70 ribu siswazah, isu pembangunan tenaga kerja mahir tidak menyerlah dan isu kenaikan harga barang berikutan dengan peningkatan harga minyak.

Tetapi saya melihat isu yang paling utama yang perlu diberi tumpuan oleh Mohamed Aziz wakil Rakyat Parlimen Sri Gading adalah krisis air di Johor. Rakyat Johor hari ini sedang menghadapi krisis air yang cukup membimbangkan sejak bulan Mei 2005 yang lalu. Krisis air ini berpunca daripada kelemahan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO/BN. Masalah ketiadaan air masalah pencemaran air dan masalah pencerobohan tanah di Empangan Semberong yang mengakibatkan penduduk di Batu Pahat, Kluang dan paling utama adalah penduduk Sri Gading yang masih ternanti-nanti apakah tindakan beliau sebagai Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

Peristiwa ini membuktikan bahawa Ahli Parlimen BN sebenarnya tidak menjalankan amanah mereka sebagai wakil rakyat. Mereka tidak sedar dan mengerti yang mana satukah perkara yang perlu mereka perjuangkan di dalam Parlimen. Semoga tindakan mereka ini akan membuka mata rakyat khususnya di Parlimen Sri Gading dan Negeri Johor untuk memilih wakil mereka di dalam pilihanraya Umum yang akan datang.

Sekian.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: