08 November 2005

MENTERI BESAR JOHOR AKHIRNYA MENYOKONG KENYATAAN DATUK KAYVEAS BAHAWA PIHAK BERKUASA TEMPATAN (PBT) DI MALAYSIA BERMASALAH.

KENYATAAN MEDIA

(8 November 2005)


Harian Metro (edisi Johor) di bawah tajuk “Ghani Tak Tolak Kemungkinan Seleweng” hari ini menyiarkan kenyataan Menteri Besar Johor bahawa kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pembayaran lesen kedai serta lesen perniagaan hingga pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sehingga mengalami kerugian besar.


Datuk Abdul Ghani Othman melahirkan rasa keraguan bagaimana beberapa PBT di negeri Johor boleh mengalami kerugian sehingga mencecah 40 peratus akibat kegagalan peniaga menjelaskan lesen perniagaan mereka. Beliau menyatakan bahawa ada kemungkinan bayaran tersebut sebenarnya telah dibuat tetapi tidak sah pembayaran tersebut (tidak diterima PBT). Beliau juga merasa hairan bagaimana banyak peniaga yang menjalankan perniagaan mereka sama ada kecil atau pun besar boleh berterusan berniaga secara tidak sah selama bertahun-tahun dengan tidak dikenakan sebarang tindakan oleh PBT.


Di dalam kenyataan ini juga, Ghani Othman mahu semua Yang Di Pertua (YDP) PBT untuk ‘turun
padang’ untuk membuat pemeriksaan sama ada peniaga-peniaga ini dilindungi oleh pihak tertentu dan tidak mustahil bahawa berlakunya penyelewengan di kalangan kakitangan PBT.


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melihat bahawa pendedahan yang di buat oleh Menteri Besar Johor ini sebenarnya sangat ditunggu-tunggu kerana kenyataan ini secara tidak langsung menyokong kenyataan yang telah dibuat sebelum ini oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M. Kayveas yang mengkritik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana mendakwa ia ditadbir seperti pertubuhan `kongsi gelap' sehingga mengejutkan banyak pihak termasuklah di kalangan pemimpin kerajaan. Menurut Kayveas, PBT pada masa ini gagal untuk menjadi `kerajaan ketiga' selepas Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. Datuk M. Kayveas secara terbuka mencabar semua kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ahli majlis untuk mengisytiharkan harta mereka. Menurutnya, beliau sedar ada pegawai penguat kuasa PBT yang memiliki empat buah kereta dan rumah mewah.

Pendedahan yang dilakukan oleh Ghani Othman seharusnya di ambil tindakan tegas oleh kerajaan dan pihak berwajib. Badan Pencegah Rasuah (BPR) sepatutnya peka dengan isu ini dengan menyiasat seluruh PBT yang ada di negeri Johor khususnya PBT yang mengalami kerugian yang sangat tinggi peratusannya. DPPN Johor yakin rasuah berlaku dengan begitu berleluasa dan tidak hanya melibatkan kan pemberian dan pembayaran lesen tetapi juga meliputi pembahagian tender dan projek yang dijalankan oleh PBT. Siasatan perlu dilakukan untuk membersihkan nama baik PBT yang sekarang ini bukan sahaja tidak disenangi oleh rakyat tetapi juga telah membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan Menteri.


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830/012-7811830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: