12 November 2005

KEMPEN KERAJAAN UNTUK MEMBENDUNG JUMLAH KEMATIAN DI JALAN RAYA SEMASA MUSIM CUTI PERAYAAN TERUS MENEMUI KEGAGALAN.

RENCANA
(12 November 2005)

Setiap kali tiba waktu musim cuti perayaan, pelbagai persiapan dilakukan untuk memeriahkan lagi suasana kegembiraan. Namun, kegusaran tetap mengiringi kegembiraan kerana pasti akan berlakunya kemalangan sehingga menyebabkan jumlah kematian yang tinggi. Seolah-olahnya aktiviti mengira jumlah kemalangan dan kematian sepanjang cuti perayaan telah dijadikan rutin harian. Bermula daripada 27 Oktober sehingga 10 November 2005, Ops Sikap IX selama 15 hari dilaksanakan sebagai kesinambungan Ops Statik dan Ops Pacak yang dilaksanakan sejak 1997.

Beberapa pendekatan dan ketegasan dilaksanakan sepanjang Ops Sikap IX. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis akan mengeluarkan saman serta-merta, kompaun maksimum RM300 dan tiada rayuan bagi lima kesalahan serius boleh mengakibatkan kemalangan dan kematian.

Kesalahan serius yang disenaraikan ialah ;-

i. melebihi had laju,
ii. memotong barisan,
iii. melanggar lampu isyarat,
iv. menggunakan lorong kecemasan dan
v. memotong di garisan berkembar.

Malah, orang ramai diminta membantu merakamkan aksi pemandu melakukan kesalahan seperti memotong di lorong kecemasan atau di garisan berkembar dan mengemukakan gambar itu kepada polis untuk diambil tindakan. Bagi kenderaan berat dan bas ekspres, ia mesti menggunakan lorong kiri lebuh raya setiap masa atau menerima akibat dikompaun RM300.

Bagi penguatkuasaan, pengawasan dan kawalan lalu lintas lain sepanjang Ops Sikap IX, prosedur yang dijalankan masih seperti biasa seperti pengawasan di menara kawalan.

Untuk memastikan bahawa kempen keselamatan jalanraya di musim perayaan berjaya, Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu menyatakan bahawa kerajaan telah membelanjakan RM 224 juta bagi tempoh lima tahun lepas untuk jalan-jalan persekutuan bagi mengurangkan kemalangan.

Samy Vellu menyatakan bahawa daripada RM224 juta dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia Kelapan, sebanyak RM126.7 digunakan untuk membina laluan khas motosikal di jalan-jalan persekutan utama termasuk laluan satu dan dua persekutuan. Beliau berkata pada tahun ini sahaja, 265 laluan yang berisiko kemalangan di sepanjang jalan-jalan persekutuan di seluruh negara telah dibaiki melibatkan kos RM60 juta.

Ops Sikap IX yang dilancarkan pada 27 Oktober lalu juga membabitkan kira-kira 2,200 polis trafik mengawasi perjalanan lalu lintas, terutama di 108 lokasi maut di lebuh raya dan 99 lagi di jalan persekutuan, negeri dan bandaran.

Begitu juga dengan pelbagai slogan dicipta untuk memberikan kesedaran kepada pengguna jalanraya seperti ‘Berhati-hati di jalan raya', `Ingatlah yang tersayang' atau `Biar lambat asal selamat' namun slogan-slogan ini hanya dijadikan hiasan di cermin-cermin kereta ataupun tidak diendahkan walaupun mudah dilihat di tepi-tepi jalan.

Mengibas kembali statistik kemalangan yang berlaku sejak tahun 1996, nampaknya masih jauh keberkesanan yang dapat dikecapi. Lihat statistik di bawah untuk dibuat perbandingan keberkesanan kawalan keselamatan jalanraya.

Tahun Nama Ops Bil hari Kemalangan Kematian
1996 -tiada- 15 hari 7,945 321
1997 Ops Pacak 15 hari 8,517 262
1998 Ops Statik I 15 hari 274
1999 Ops Statik II 15 hari 203
1999 Ops Statik III 15 hari 206
2000 Ops Statik IV 15 hari 220
2001 Ops Statik V 15 hari 215
2001 Ops Statik VI 15 hari 218

Ops Statik, yang diberi jolokan ‘Ops Statistik' berikutan kegagalan usaha menurunkan angka kematian di bawah 200 korban nyawa, digantikan pula dengan Ops Sikap. (Ops Sikap I, III, V dan VII adalah merujuk kepada operasi bagi musim perayaan Aidilfitri).


Tahun Nama Ops Bil hari Kemalangan Kematian
2001 Ops Sikap I 15 hari 11,063 223
2002 Ops Sikap III 15 hari 12,239 285
2003 Ops Sikap V 15 hari 12,165 241
2004 Ops Sikap VII 15 hari 11,609 200
2005 Ops Sikap IX 15 hari 13,462 233

Namun, segala apa yang dilakukan akhirnya memperlihatkan sekali lagi kegagalan pihak kerajaan untuk mendisiplinkan rakyat Malaysia untuk menjadi pemandu yang bertimbang rasa dan berhemat tinggi di jalan raya. Angka kemalangan, kemalangan maut dan kematian yang semakin meningkat amat mengejutkan. Bedasarkan kepada statistik di atas, jumlah kematian bertambah sebanyak 33 kes berbanding dengan Ops Sikap VII,peningkatan sebanyak 16.5 peratus. Begitu juga dengan jumlah kemalangan, sebanyak 13,462 kes telah dicatatkan berbanding dengan 11, 609 kes pada Ops Sikap VII, peningkatan sebanyak 16 peratus.

Kematian paling tinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal iaitu seramai 141 orang diikuti kereta (55), pejalan kaki (17), basikal (lapan), teksi (tiga), lori (tiga), masing-masing dua orang pemandu van dan jip, seorang penumpang bas dan satu penumpang lain-lain kenderaan.

Ops Sikap IX Gagal Mengurangkan Kadar Kemalangan dan Kematian.

Apabila kerajaan gagal membendung kemalangan, maka pelbagai pandangan dan candangan dikemukakan oleh oelbagai pihak termasuklah meminda atau bertambahlah pelbagai undang-undang dan peraturan jalanraya yang baru yang akhirnya menyusahkan pengguna yang berdisiplin sedangkan mereka yang bersikap ‘kurang ajar’ terus melakukan tindakan yang tidak bertamadun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa memperketatkan syarat pengeluaran lesen memandu sebagai usaha membendung kemalangan jalan raya. Pak Lah berpendapat bahawa syarat tambahan untuk mendapatkan lesen perlu diperkenalkan termasuk mewajibkan semua pemohon lesen memandu mengikuti kursus dan latihan memandu dalam tempoh yang panjang supaya lesen itu tidak diperoleh dengan mudah.

Selain itu, katanya, satu mata pelajaran wajib mengenai pemanduan perlu diwujudkan bagi pelajar menengah atas untuk diajar pada musim cuti sekolah sebagai persediaan untuk mereka memandu apabila mula bekerja. Beliau beranggaan bahawa tambahan latihan dan kursus adalah dalam segala aspek memandu supaya payah hendak dapat lesen dengan harapan pemandu akan menjadi pemandu yang baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula mencadangkan tindakan yang lebih keras dengan merampas lesen memandu serta-merta bagi pemandu yang melakukan kesalahan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain. Cadangan ini telah disambut oleh Kementerian Pengangkutan yang menegaskan akan meminda undang-undang untuk membolehkan pemandu yang terlibat dalam kemalangan serius akan ditahan lesennya serta-merta bagi tempoh 14 hari berkuat kuasa mulai tahun depan.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Emran Kadir memaklumkan bahawa prosedur lebih ketat dengan tambahan ujian amali di jalan lurus akan diperkenalkan di negara ini. Lebih banyak ujian amali pemanduan termasuk di litar akan dikenakan kepada pemohon-pemohon lesen memandu pada masa depan dalam usaha mengetatkan pengeluarannya berikutan peningkatan kadar kemalangan maut sejak kebelakangan ini.

Kenapa kemalangan terus berlaku

Lebih 70 peratus keseluruhan kes kemalangan maut dicatatkan dalam Ops Sikap IX, berpunca daripada kecuaian dan kegagalan pemandu mengawal kenderaan. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan berkata, keadaan tersebut menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah kematian secara mendadak sehingga 16.5 peratus pada musim perayaan kali ini yang berpenca daripada sikap manusia. Iaitu tidak sabar dan ingin cepat membuatkan pemandu hilang pertimbangan.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dikenal pasti punca utama kemalangan maut sepanjang Ops Sikap IX;

i. Tabiat `makan jalan' kenderaan lain (18.7 peratus),
ii. cuba memotong kenderaan lain (15.5 peratus),
iii. tidak menyedari kehadiran kenderaan lain (7.3 peratus),
iv. kecuaian semasa keluar dan masuk simpang (7 peratus),
v. dan kecuaian ketika melintas jalan (5.2 peratus),
vi. melawan aliran trafik (1.9 peratus),
vii. letih atau mengantuk (1.4 peratus),
viii. langgar isyarat lampu merah (1 peratus),
ix. berlumba (1 peratus) dan
x. lain-lain (7.5 peratus).

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Rozmi Ismail, beberapa perkara telah dikenalpasti sebagai punca kemalangan berlaku :

i. sikap yang terlalu berhati-hati ada kalanya lebih menyusahkan pemandu lain.
ii. Pertimbangan yang tidak tepat
iii. Faktor mengejar masa mungkin juga menyebabkan pemandu yang selama ini cukup `beretika' di jalan raya, tidak mampu berfikir secara waras lalu menimbulkan kesulitan kepada pemandu lain.

Pengerusi Institut Memandu Kenderaan Darat Malaysia yang juga bekas Presiden Persatuan Institut dan Sekolah Memandu Malaysia, Abu Kassim Said pula berpendapat bahawa apa juga perubahan yang dibuat tidak akan mengatasi masalah selagi masalah sikap tidak dapat ditangani. Beliau menyebut bahawa pernah satu cadangan aspek mematuhi peraturan jalan raya ini diajar sejak di sekolah rendah lagi.

Kesimpulan

Melihat kepada punca utama kemalangan yang dinyatakan di atas, pemandu di Malaysia masih lagi belum cukup bersedia untuk dinobatkan sebagai pemandu berhemah selagi mana sikap yang murni tidak dapat dibajai dengan sempurna. Kebanyakan pengguna jalan raya di negara kita lebih takut kepada surat saman daripada maut di jalan raya. Denda melalui saman yang dikeluarkan serta penggantungan lesen memandu terpaksa dilakukan sebagai salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan jumlah pemandu yang hilang susila di jalan raya.

Pihak kerajaan juga harus melihat persoalan untuk membina pemandu yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia di jalan raya bukan hanya terletak hanya di dalam kursus pemanduan berhemah seperti yang dibuat pada ketika ini tetapi mestilah disemai sejak daripada kecil lagi melalui sistem pendidikan negara. Penekanan terhadap disiplin untuk mematuhi undang-undang perlu dipertekankan.

Cadangan untuk menambah lagi peraturan jalanraya sebenarnya akan menyusahkan pemandu dan pengguna jalanraya yang berhemah. Setiap kali apabila kerajaan gagal membendung kadar kemalangan dan kematian di jalanraya khususnya semasa musim perayaan, pelbagai cadangan yang dikemukakan sedangkan masalah sikap sebahagian daripada pengguna jalanraya di Malaysia masih tidak dapat diperbaiki. Selagi sikap mereka tidak berubah, apa jua perubahan kepada peraturan jalanraya tidak akan membantu megurangkan kadar kemalangan.

Sekian


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: