07 August 2007

Runtuhnya Akhlak Pelajar Sekolah di Malaysia


Harian Metro bertarikh 4 Ogos 2007 menyiarkan berita bertajuk “9 pelajar menangis minta maaf”. Berita ini berkaitan dengan isu bagaimana seorang pelajar perempuan telah dibelasah dan dirakamkan aksi bogel di Felda Keratong baru-baru ini. Dilaporkan bahawa Sembilan pelajar yang terlibat dalam ‘keganasan’ ini telah memohon maaf sambil menitis air mata keinsafan sebaik mengulurkan sepuluh jari kepada mangsa.

Majlis penuh pilu itu diadakan di Sekolah Menengah Felda Keratong I, di sini, dengan disaksikan ibu bapa sembilan pelajar terbabit dan Shashim Shah Harun, Pegawai Khas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar kira-kira jam 3.30 petang semalam (3 Ogos 2007).


Saya tidak pasti apakah punca sebenar pelajar-pelajar perempuan ini bertindak ganas sebegitu rupa tetapi alasan yang diberikan bahawa tindakan mereka kerana terdorong kerana sikap panas baran meninggalkan pelbagai tanda-tanya kepada saya dan mungkin juga kepada masyarakat umum.

Harian Metro pada 31 Julai 2007 melaporkan bagaimana kronologi kejadian ini ;

i. mangsa dikunjungi dua rakan sebelum dipelawa minum air batu campur di sebuah warung, kira-kira jam 4 petang. Tanpa mengesyaki sesuatu, mangsa kemudian menunggang motosikal manakala dua rakan menaiki kereta Perodua Kancil ke rumah seorang lagi rakan tidak jauh dari rumah mangsa untuk mengajaknya keluar.

ii. Sebaik tiba di rumah itu, tujuh rakan menunggu di ruang tamu manakala ibu bapanya tiada di rumah.

iii. Mereka kemudian bertanya kepada mangsa sama ada mengejek seorang daripada mereka dengan gelaran ‘gemuk’ dan apabila mangsa mengakuinya, kumpulan pelajar sangseng ini menarik rambut, menumbuk dan menyepak mangsa sehingga tersungkur.

iv. Kumpulan pelajar samseng ini bertindak ganas seperti `singa betina’ terlepas sangkar terus membuka baju-T dan seluar jeans dipakai mangsa sebelum memotong tali baju dalam dan seluar dalam mangsa.

v. Mangsa cuba meronta dan menangis serta merayu tidak diperlakukan sedemikian dan dilepaskan tetapi sembilan rakan itu tidak mempedulikan mangsa.

vi. Ketika dibogelkan, tiga daripada mereka merakamkan gambar mangsa tanpa pakaian menggunakan telefon bimbit sebelum diugut tidak menceritakan kejadian itu kepada keluarga.

vii. Jika mangsa ingkar, mereka mengancam menyebarkan gambar bogel itu selain mengupah lelaki merogol mangsa di depan mereka.

Peristiwa hitam ini bukannya berlaku di New York, Manhattan atau di Los Angeles tetapi berlaku di Felda Keratong di negeri Pahang yang melibatkan anak-anak melayu beragama Islam yang juga generasi kedua FELDA. Sudahlah dibelasah tanpa belas kasihan, pakaian ditanggalkan, pakaian dalam dipotong dan dirakamkan perbuatan terkutuk itu melalui kamera telefon bimbit.

Ustazah seks?

Sebelum itu, pada 2 Ogos 2007 Harian Metro telah melaporkan mengenai ketua kumpulan yang membelasah dan merakamkan gambar bogel ini digelar ‘ustazah seks’. Gelaran itu dilabelkan kepada beliau kerana perangai dan perwatakkan beliau yang berbeza diluar dan di dalam waktu sekolah.

Difahamkan, ketika di sekolah, ketua kumpulan samseng terbabit dikatakan begitu baik termasuk bertudung seperti ‘ustazah’, sebaliknya berubah perangai dan gaya seperti ‘bohsia’ dan gemar bertukar teman lelaki di luar waktu sekolah. Pelajar terbabit didakwa :-

i. gemar bergaul dengan ramai lelaki tanpa mengira usia tidak kira siang atau malam selain dikatakan sering bertukar teman lelaki.

ii. semua lelaki muda dikatakan mengenali pelajar terbabit berikutan perangainya itu selain memiliki daya ‘penarik’ untuk menggoda lelaki terbabit sebelum diajak keluar bersama.

iii. watak penggodanya mampu memanggil beberapa lelaki lain supaya merogol mangsa jika mangsa menceritakan kejadian malang itu kepada keluarganya.

iv. mengugut mangsa membuktikan pelajar itu tidak takut dengan undang-undang kerana yakin perbuatannya akan dimaafkan ibu bapa mangsa selain dapat meneruskan semula persekolahan seperti biasa.

Inikah ertinya kemerdekaan kita?

Mungkin inilah nilai kemerdekaan kita dibawah kepimpinan UMNO/Barisan Nasional sejak 50 tahun yang lalu. Rakyat didesak untuk meraikan kemerdekaan tetapi terlalu banyak kepincangan yang menghantui rakyat termasuklah isu ekonomi, keselamatan dan masa depan generasi muda.

Kita mungkin tidak dapat pernah menyangka bahawa pada ketika ini kita akan berhadap dengan masalah sosial generasi muda yang runtuh akhlaknya. Kisah yang melibatkan penderaan terhadap seorang pelajar perempuan oleh rakannya sendiri di Felda Keratong ini sudah pastinya menggusarkan kita.

Apa yang cukup bimbang adalah kejadian ini melibatkan sekumpulan pelajar perempuan yang merupakan anak-anak melayu daripada generasi kedua FELDA. Bayangkan, anak-anak perempuan kini mampu dilabelkan sebagai ‘samseng’ bukan sekadar mengugut tetapi sanggup memukul, membogelkan dan merakamkan gambar bogel rakan mereka sendiri.

Saya tidak nafikan ramai generasi anak-anak melayu FELDA berjaya dalam akedemik dan kehidupan mereka tetapi ramai juga yang tercicir dan akhirnya menimbulkan masalah kepada keluarga dan masyarakat.

Gelaran ‘ustazah seks’ sudah tentu merosakkan imej golongan ustazah di dalam negara kita. Bila digelar seperti itu, kita boleh bayangkan bagaimana hebatnya ‘lakonan’ pelajar bermasalah ini, ibubapa, keluarga dan guru-guru tentu telah terpedaya dengan watak yang waraknya sedangkan hakikatnya segala-galanya adalah muslihat belaka.

Pergaulan bebas tanpa batasan merangsang sikap buruk anak-anak muda dan akhirnya mencambahkan sikap degil dan kurang ajar serta biadap. Mengugut untuk mengupah kumpulan lelaki merogol mangsa dihadapan mereka sekiranya perbuatan keji mereka ini dilaporkan kepada ibubapa sudah tentunya menggambarkan kebiadapan pelajar-pelajar ini.

Saya percaya bahawa peristiwa ini meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada mangsa. Rakaman gambar mangsa yang didera dan dibogelkan telah disebarkan dan bukan mudah untuk menghilangkannya. Mangsa terpaksa bertukar sekolah kerana tidak sanggup berhadapan dengan keadaan.

Sebab itulah apabila saya membaca berita “9 pelajar menangis minta maaf” saya tidak percaya bahawa peristiwa ini telah menginsafkan kumpulan pelajar ini. Tindakan pelajar-pelajar ini perlu diambil tindakan disiplin yang tegas. Kesemua pelajar-pelajar ini mesti dihantar ke pusat pemulihan akhlak supaya mereka sedar bahawa tindakan mereka ini bukannya perkara kecil yang mampu dilupuskan dengan linangan air mata.

Selamatkan masa depan anak-anak kita

Kejadian ini juga mesti dipandang serius oleh pihak-pihak berwajib termasuklah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa sistem yang ada pada hari ini perlu dikaji semula. Walaupun kejadian ini berlaku di luar waktu sekolah tetapi mereka yang terlibat adalah merupakan golongan pelajar. Alasan ‘kes yang terpencil’ yang sering menjadi jawapan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Hishamudin Tun Hussien tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan kelemahan yang berlaku.

Saya pernah menyarankan agar kuasa mendisiplinkan pelajar mesti diserahkan semula kepada guru. Berilah kepercayaan kepada guru untuk membentuk jati diri anak-anak yang masih bersekolah kerana guru adalah insan yang paling hampir dengan pelajar serta mampu memahami psikologi mereka.

Keprihatinan ibubapa terhadap perlakuan dan aktiviti anak-anak juga mesti dipertingkatkan kerana cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pada hari ini sangat tinggi dan tidak cukup dengan hanya memberikan sepenuhnya kepercayaan kepada anak-anak.
Masa depan anak-anak muda ini adalah masa depan kita bersama. Runtuhnya akhlak mereka akan meruntuhkan masa depan negara.

Sekian

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://minda-kembara.blogspot.com/
7 Ogos 2007

No comments: