01 August 2007

KENYATAAN MEDIA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong penuh keputusan kabinet yang melarang semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen daripada menyandang sebarang jawatan dalam badan-badan sukan (Bernama.com, 1 Ogos 2007)

Keputusan ‘bijak’ ini adalah langkah yang paling baik untuk meningkatkan prestasi sukan yang dilihat semakin bercelaru khususnya prestasi pasukan Bolasepak kebangsaan akhir-akhir ini.

Kabinet memberikan alasan bahawa arahan ini dibuat kerana :-

i. bertujuan menjaga imej mereka daripada dijadikan “kambing hitam” apabila pencapaian sukan yang diketuai mereka merosot.

ii. Ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

iii. Kabinet mengambil keputusan itu untuk memastikan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen dapat menumpukan seluruh perhatian mereka pada tugas masing-masing dan tidak terlalu dibebankan dengan masalah dalam persatuan.

Arahan itu berkuatkuasa serta-merta dan semua yang terbabit telah diarahkan agar meletakkan jawatan masing-masing bagi membolehkan pertubuhan yang mereka wakili mencari pengganti di kalangan yang sesuai dan berkebolehan.

Difahamkan bahawa lima menteri ketika ini sedang memegang jawatan dalam pertubuhan-pertubuhan sukan. Mereka ialah ;

i. Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Fong Chan Onn (presiden Persekutuan Bina Badan Malaysia),

ii. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy (presiden Persatuan Ping Pong Malaysia),

iii. Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Jamaludin Jarjis (presiden Persatuan Ekuestrian Malaysia),

iv. Menteri Tenaga Air dan Komunikasi Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik (naib presiden Persekutuan Wusyu Antarabangsa) dan

v. Menteri Pelancongan Datuk Tengku Adnan Mansor (presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan presiden Persatuan Bolasepak Melayu).

DPPNJ melihat bahawa penglibatan orang politik dalam menerajui badan sukan sebenarnya telah melemahkan dan memudaratkan sukan dalam negara. Walaupun keputusan kabinet ini diambil dalam suasana sukan terutamanya bolasepak yang telah parah tetapi setidak-tidaknya langkah ini telah membuktikan bahawa sukan tidak memerlukan campur tangan politik.

DPPNJ yakin bahawa kecaman demi kecaman terhadap prestasi pasukan bolasepak dalam Piala Asia baru-baru ini menjadi punca utama kabinet mengambil keputusan tersebut walaupun cuba dinafikan oleh Datuk Azalina Othman yang menyatakan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan pencapaian sukan-sukan tertentu sejak akhir-akhir ini.

Apa yang penting, sudah tiba masanya mereka yang mempunyai kelayakan dalam memimpin persatuan sukan diberikan keutamaan sebagai peneraju. Semoga perubahan ini akan memajukan sukan tanahair.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://dppnjohor.blogspot.com
019-7701830

No comments: