07 October 2007

Ihya' Ramadhan bersama Imam Muda Negara China

Petang semalam, Lujnah Perpaduan Nasional DPPNJ dengan kerjasama DPPK Tebrau telah mengadakan Program Ihya' Ramadhan bersama-sama dengan 3 orang Imam Muda dari Tanah Besar China. Mereka seramai 30 orang dihantar ke sini bagi menghidupkan lagi karnival ibadah sempena bulan Ramadhan dengan menjadi imam terawih dan pentazkirah di seluruh Malaysia.

Johor merupakan antara negeri yang mereka lawati sepanjang bulan Ramadhan ini. Dan, pada petang semalam, kami sempat menjemput 3 daripada 30 orang imam ini untuk bersama-sama dengan pemuda PAS bagi menyemarakkan lagi sambutan bulan puasa ini. Sebelum ini mereka menyebut bahawa mereka telah melawat Kelantan dan amat bergembira kerana negeri itu dipimpin oleh Hizbi Islami saat ini.

Dari kiri, Akhi Uthman, Akhi Huda dan hujung sekali adalah Imam Muda yang paling muda iaitu Akhi Adam.
Sewaktu Akhi Huda memberi tazkirah, beliau banyak kali menyebutkan kekesalannya kerana ramai orang Cina di Malaysia langsung tidak tahu mengenai Islam. Mereka berkata bahawa Islam di sini yang mereka fahami adalah agama yang semata-mata khusus untuk orang Melayu sahaja. Lantas, ramai yang terus berada dalam kesesatan dan menyembah berhala.

Ini merupakan satu musibah dan masalah yang amat besar apabila golongan Cina merasakan bahawa Islam hanyalah untuk orang Melayu semata-mata.
Beliau juga menyebut bahawa orang Islam di negara ini khasnya orang Melayu perlu menampilkan akhlak yang baik untuk menyeru golongan Cina ini kepada Islam. Bagaimana mereka boleh dan mampu tertarik kepada Islam seandainya akhlak muslim sendiri adalah sama ataupun lebih teruk daripada mereka.
Khairul Faizi yang hadir sebagai Ketua DPPNJ dan juga Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional DPPP sempat memberikan sedikit kata-kata harapan dan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha untuk membentuk gerak kerja dakwah yang lebih berkesan pada masa yang akan datang.
Saudara Adam menjadi wakil menerima sedikit cenderamata daripada DPPNJ berbentuk kain samarinda.
Saudara Uthman pula menerima tiga naskhah Tafsir Al-Quran dalam bahasa Cina.

---------------------------------------------------------

Admin : DPPNJ mengucapkan tahniah kepada sdr Nazman yang terus proaktif dalam menggerakkan Lajnah Perpaduan Nasional DPPNJ.

No comments:

Sociable