05 August 2006

KRISIS GULA TERUS BERPANJANGAN : KERAJAAN TERUS GAGAL DALAM TINDAKAN DAN PEMANTAUAN

Kenyataan Media
(5 Ogos 2006)

TAJUK :

KRISIS GULA TERUS BERPANJANGAN : KERAJAAN TERUS GAGAL DALAM TINDAKAN DAN PEMANTAUAN

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kecewa di atas krisis kekurangan gula yang masih berlarutan walaupun pihak kerajaan telah menaburkan pelbagai janji untuk menyelesaikan masalah ini yang telah berlaku sejak beberapa bulan yang lalu.

Dalam tinjauan DPPNJ ke beberapa lokasi di dalam negeri Johor, di dapati bahawa kawasan Batu Pahat dan Kluang adalah di antara daerah dalam negeri Johor yang sangat terkesan dengan masalah kekurangan gula.

Di Kluang, bekalan gula pasir tidak dijumpai di mana-mana pasaraya. Peniaga-peniaga makanan pula merungut kerana kekurangan bekalan gula telah menyebabkan perniagaan mereka terjejas teruk.

Krisis kekurangan gula sebelum ini pernah berlaku beberapa bulan yang lalu. Pelbagai janji telah dibuat bagi meyakinkan rakyat bahawa isu ini akan dapat diatasi. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau masalah kekurangan bekalan gula di seluruh negara.(Utusan Malaysia, 6 Jun 2006)

Jawatankuasa khas ini berfungsi untuk menyiasat aktiviti penyeludupan dan kes menyorok bekalan gula oleh pemborong dan peniaga. Hukumannya, peniaga dan pemborong yang didapati menyorok bekalan gula, boleh didenda maksimum sebanyak RM25,000 termasuk dihukum penjara mengikut Akta Kawalan Bekalan 1991. Talian bebas tol kementerian 1-800-886-800 telah diwujudkan untuk menerima sebarang bentuk maklumat untuk menyelesaikan kes ini.

Yang menariknya, KPDNHEP dengan penuh yakin bahawa masalah kekurangan gula akan dapat diatasi dalam masa satu atau dua hari lagi.

Sistem pengangkutan juga pernah dijadikan sebab masalah bekalan gula berlarutan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Datuk Mohd. Shafie Apdal menyatakan bahawa kekurangan gula disebabkan sistem penghantaran yang tidak cekap oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).(Utusan Malaysia, 6 Julai 2006).

Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pula mencadangkan kenaikan harga gula sebanyak 30 sen daripada harga asalnya RM1.40 sebagai langkah yang dilihat dapat mengatasi masalah ini.

Cadangan untuk menaikkan harga gula bagaimanapun telah ditolak oleh kerajaan dengan alasania akan memberi kesan kepada peningkatan kos hidup rakyat.

Selepas itu, KPDNHEP memperkenalkan sistem pembekalan gula oleh pemborong mengikut zon bagi mengatasi masalah bekalan bahan itu yang tidak seimbang di seluruh negara (Utusan Malaysia, 12 Julai 2006) dan perkara yang sama diulangi oleh Datuk Mohd. Shafie Apdal pada 17 Julai 2006.

Semalam, KPDNHEP terpaksa mengakui bahawa masih belum dapat mengatasi masalah kekurangan gula di negara ini walaupun pelbagai mekanisme digunakan.

Cuma kali ini bukannya masalah pengangkutan yang menjadi alasan tetapi disebabkan oleh sikap pengilang yang lebih cenderung mengeluarkan gula halus berbanding gula kasar kerana harganya tidak dikawal. Gula halus dikatakan boleh dijual sehingga lebih RM2 sekilogram sedangkan gula kasar RM1.45 sekilogram..

DPPNJ mengingatkan bahawa krisis kekurangan gula perlu diatasi dengan segera, bukannya dengan memberikan pelbagai alasan untuk menutup kelemahan kerajaan. Paling terkesan sudah tentunya pengguna. Harga barangan keperluan yang menggunakan gula sudah pasti akan meningkat. Peniaga akan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga gula.

Dengan perkembangan ini, bermakna kerajaan GAGAL untuk menyelesaikan masalah kekurangan gula. Apa yang dibimbangi, kerajaan akan mengambil keputusan untuk menaikkan harga gula seperti mana yang pernah dilakukan terhadap krisis kekurangan minyak diesel satu masa dahulu. Dalam apa jua keadaan, kerajaan mesti bertegas dengan keputusan untuk tidak menaikkan harga gula. Jangan jadikan rakyat/pengguna sebagai mangsa.


Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830 /013-7257085
http://dppnjohor.blogspot.com/
8.11 pagi

No comments: