02 August 2006

WILAYAH EKONOMI JOHOR SELATAN (SJER)

Posted by Picasa
Apakah kesan kepada Islam dan orang Melayu apabila projek SJER dilaksanakan?

1 comment:

Dr Al-Bakistani said...

ISLAM HADHARI DAN PERJUANGAN EKONOMINYA : “JIHAD EKONOMI” ATAU “JAHAT EKONOMI”?

Perbincangan berkenaan kekuatan ekonomi selalu dibincangkan oleh setiap pemimpin di negara ini. Perbincangan tersebut menjadi menarik apabila mereka sudah mula bercakap bahawa dengan kekuatan ekonomi itu, umat Islam akan menjadi umat yang terkuat.

Kenyataan itu dikeluarkan, ekoran bandingan mereka lakukan terhadap kekuatan tamadun amerika dikala ini, yang mereka melihat kekuatan Amerika adalah kerana, kuasa ekonomi amerika bukan sekadar di negara amerika bahkan sudah menguasai dunia maya ini.

Tetapi yang memelikkan kita, melihat kepada kekuatan para sahabat terdahulu, kekuatan mereka bukanlah terletak kepada ekonomi, tetapi kemantapan mereka adalah kerana aqidah yang didokong oleh mereka menyebabkan Madinah menjadi sebuah negara yang digeruni dimata dunia.

Setelah dilihat dan diselidiki, pemikiran Maddiyyah ini sudah meresap dalam pemikiran umat Islam, dan akhirnya, kita dapat melihat umat Islam sudah menjadi bangsa yang berfikiran kapitalis yang sebenarnya pemikiran ini diciplak dari barat.

Dengan kelahiran Islam Hadhari pula, bermulalah pemimpin-pemimpin secular UMNO memperkatakan ekonomi, yang kononya berteraskan Islam.

Slogan “Jihad Ekonomi” sudah menjadi kata-kata keramat yang disudah dianggap “Hadis Pak Lah” bagi menguatkan dakwaan mereka bahawa perjuangan Islam Hadhari dalam menguatkan ekonomi itu sebagai “Jihad ekonomi”.

Kemudian dari itu, keluarlah “ustaz-ustaz mangkuk hayun” yang mula mengulas tentang kekuatan jihad ekonomi tersebut, yang kononnya bersesuaian dengan Islam.

Walaubagaimanapun, selayakkah kita mengatakan perjuangan mereka dalam menguatkan ekonomi itu dikira sebagai jihad ekonomi atau sekadar jahat ekonomi sahaja?

Bagi memastikannya, mari kita lihat perbahasan berkenaan bandingan antara “jihad ekonomi” dibawah Hadharah Islamiyyah dan “jahat ekonomi” dibawah Islam Hadhari, supaya kita dapat memastikan kebenaran yang sebenarnya.

EKONOMI HADHARAH ISLAMIYYAH

Hadharah Islamiyyah mengemukakan prinsip ekonomi Negara yang berdasarkan kepada konsep Negara kebajikan, bukan Negara business (peniagaan).

Konsep Negara kebajikan itu, tersebut dalam firman Allah;



Maksudnya;
“Mereka berkata: “Wahai Zulqarnain, sesungguhnya yakjuj dan makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi, oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?”. Dia menjawab: “(Kekuasaan dan kekayaan) yang tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu), oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai), aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh” (Surah Al-Kahfi : 94-95)

Dalam firman Allah ini, jelas menunjukan Zulqarnain tidak mengambil apa-apa cukai yang hendak diberikan oleh rakyat, tetapi apa yang diminta oleh ZulQarnian adalah bantuan dari rakyatnya tanpa balasan. Inilah konsep Negara kebajikan yang dinyatakan oleh Allah .

Gabenur Omar Abdul Aziz di Mesir, mengutuskan surat kepada Omar bin al-Khattab, mengadukan kepadanya tentang ramainya manusia memeluk Islam yang menyebabkan gugurnya kewajipan jizyah terhadap mereka. Zakat juga tidak wajib ke atas mereka melainkan setelah satu tahun daripada kemasukan mereka ke dalam Islam. Gabenor itu mahu kewajipan jizyah dikenakan kepada mereka demi menjaga kepentingan khazanah Negara dan memperolehi kemasukan harta.

Menerima surat tersebut, Saidina Omar bin Al-Khattab menjawab dengan sepotong kata-kata yang ringkas sebagai menggambarkan tentang risalah Negara Islam. Saidina Omar bin Al-Khattab berkata kepada Omar Abdul Aziz;

“Semoga Allah memburukan pandangan kamu. Sesungguhnya Allah mengutuskan Muhammad sebagai pembawa hidayah, bukannya sebagai pemungut cukai”

Melihat kepada isi surat itu, jelas kepada kita bahawa Negara Islam adalah Negara hidayah (memimpin manusia kepada Allah), bukan Negara jibayah (memungut cukai).

Ekonomi Islam di tegakkan oleh semangat hubbu wal ihsan (cinta dan buat kebajikan), iaitu setiap orang mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri. Ekonomi Islam berjiwa infaq wal birr (berani berkorban dan membuat kebajikan) kepada segala makhluk yang miskin dn fakir.

Ekonomi Islam mempunyai karakteria ithar (sanggup menerima kesukaran dan kepahitan) kerana mengutamakan kepentingan orang ramai dan umum.

Sistem ekonomi Islam memegang teguh system taawun (hidup tolongan menolong), sehingga tidak mungkin timbul sikap rakus dan tamak dipihak mampu dan rasa putus asa bagi pihak yang lemah (tidak berkemampuan).

Negara Islam ialah Negara yang menjaga hak golongan yang lemah (dhoif), bukannya untuk menjaga kepentingan mereka yang berkuasa, ini jelas dengan kewajipan zakat yang dikenakan kepada golongan kaya untuk diserahkan kepada fakir miskin.

Pembelaan itu, tidak sekadar melalui pungutan zakat sahaja, bahkan disana ada sumber-sumber yang lain Negara seperti al-faie , kharaj , usyur dan sebagainya, menjadi hak yang tetap untuk golongan anak yatim, orang miskin dan Ibnu Sabil .

Pembelaan golongan lemah di bawah naungan Hadharah Islamiyyah, bertambah lagi terserlah di zaman pemerintahan Omar Abdul Aziz, yang mana seorang gabenornya di Afrika telah mengutuskan surat yang menyatakan bahawa beliau tidak menemui seorang fakir pun yang berhak menerima zakat, lalu Omar Abdul Aziz berkata kepadanya;

“Gunakan ia untuk membeli hamba, lalu merdekakanlah hamba tersebut”

Inilah dia konsep ekonomi di bawah naungan Hadharah Islamiyyah, ini menyalahi dengan konsep Islam Hadhari yang di pelopori oleh UMNO.

REALITI EKONOMI ISLAM HADHARI

Ekonomi di bawah naungan Islam Hadhari menjadikan Negara sebagai Negara business (perniagaan), bukan Negara kebajikan. Ini terbukti dengan kenaikan harga minyak pada 28 februari 2006 dengan kadar kenaikan harga runcit petrol sebanyak 18.5 % dan diesel sebanyak 23.4 % . Apa yang mengejutkan, kenaikan harga minyak pada tahun ini adalah sesuatu yang tidak relevan, ini kerana, pihak petronas telah mencatat keuntungan besar di tahun lepas iaitu RM 58.03 Bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 mac 2005.

Di zaman pemerintahan Perdana Menteri terdahulu, terengganu adalah negeri yang mempunyai hasil bumi yang terbanyak, namun begitu, terengganu merupakan negeri yang kedua termiskin di dalam Malaysia, ini kerana tiadanya sikap hubbi wa ehsan (kasih sayang dan berbuat kebajikan) dalam ekonomi UMNO Islam Hadhari.

Walaupun ianya berlaku dizaman sebelum Islam Hadhari, tetapi kekesalan tersebut tidak pernah diluahkan oleh program yang dilancarkan oleh Islam Hadhari. Ini menunjukan Islam Hadhari redha dengan tekanan yang telah di lakukan oleh Perdana Menteri yang terdahulu.

Konsep ekonomi Islam Hadhari adalah mengkayakan golongan yang sudah kaya dan memiskinkan golongan yang sudah miskin.

Ini amat jelas dengan tindakan Perdana Menteri dan Timbalannya yang telah mengisytiharkan kenaikan harga minyak dan menggalakan kepada rakyat supaya berjimat, tetapi dalam masa yang sama mereka sedang membaiki rumah sehingga mencapai 5 hingga 10 juta ringgit .

Hadharah Islamiyyah menafikan sistem ekonomi yang berteraskan kepada sistem yang merupakan gagasan fahaman ekonomi yang percaya kepada ekonomi dan perdagangan bebas di mana setiap orang dibenarkan bersaing dalam aktiviti ekonomi dan mengaut sebanyak mana keuntungan termasuklah melakukan amalan riba dan laba yang melampau. Fahaman ekonomi ini tidak berasaskan kepada prinsip agama yang menyebabkab ia mengizinkan penindasan terhadap golongan yang lemah dan miskin.

Allah melarang sistem sebegini didalam firman-Nya;



Maksudnya;
“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu” (surah Al-Hasyr : 7)

Berdasarkan kepada kamus dewan : kapitalisme didefinisikan sebagai “sistem ekonomi dan politik yang pemilikan harta benda, industri dan perniagaannya lebih banyak tertumpu pada sektor swasta daripada kerajaan, dan syarikat-syarikat digalakan bersaing antara satu dengan lain untuk membuat keuntungan”

Dalam sistem kapitalis, kepentingan syarikat-syarikat swasta lebih diutamakan berbanding kepentingan ekonomi rakyat. Sistem ini beralasan, sekiranya syarikat-syarikat swasta maju, maka ia akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat disamping membanyakkan kemasukan kerajaan dalam bentuk cukai.

Sistem ekonomi business dan kapitalis ini sememangnya menjadi dasar ekonomi Islam Hadhari. Ini terbukti dengan usaha pengswastaan yang dilancarkan oleh pihak kerajaan pada tahun 1983 sehinggakan pada ketika itu 11.4 % tenaga kerja awam telah dialihkan kepada sektor swasta. Usaha pengswastaan di Malaysia diperhebatkan lagi di dalam RMK-7. kebahayaan dalam program penswastaan ini banyak memberi kesan kepada rakyat, sehinggakan rakyat bukan lagi bergantung di kaki mereka sendiri, bahkan “hidup dan mati” mereka bergantung kepada kekuatan pada kerajaan yang bergantung pula kepada syarikat-syarikat swasta.

Walaupun usaha-usaha ini dilakukan oleh “pemandu kerajaan” terdahulu, tetapi system ini telah diredhai oleh kerajaan Islam Hadhari yang dibawa oleh regim UMNO ini.

Dalam system ekonomi Islam Hadhari, tidak ada istilah halal dan haram, ini terbukti dengan mereka tidak pernah mengharamkan dan “berpening kepala” dengan sistem bank ribawi yang merekabak dalam Negara. Mereka tidak mengendahkan firman Allah;




Maksudnya;
“orang-orang yang makan (mengambil) riba, tidak dapat berdiri melainkan berdirinya orang-orang yang kemasukan Syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, pada hal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba” (surah Al-Baqarah : 257)

Sebagai sesuatu organisasi yang berkuasa, sepatutnya mereka mengharamkan sistem perbankan yang berusurkan riba, tetapi ini tidak di lakukan oleh kerajaan Islam Hadhari.

KESIMPULAN

Membaca ulasan di atas, kita memahami bahawa ekonomi yang diperjuangkan oleh Islam Hadhari itu merupakan “Jahat ekonomi” berbanding “jihad ekonomi” dibawah Hadharah islamiyyah.

Kejahatan Islam Hadhari dalam bidang ekonomi adalah kerana, mereka mengamalkan system ekonomi kapitalis yang sebenarnya menguntungkan golongan-golongan kroni, berbanding menguntungkan rakyat secara menyeluruh.

Mudah-mudahan dengan makalah ringkas ini dapat menyedarkan kita terhadap “kata-kata manis yang menipu” yang diperjuangkan oleh Islam Hadhari Pak Lah Badawi itu

Wallahu ‘Alam

One_G
abu_abdillah_azzam@yahoo.com
http://laptopdarulfiqh.blogspot.com

Sociable