08 March 2007

KENYATAAN MEDIA DPPNJ

KENYATAAN MEDIA

(8 Mac 2007)

TAJUK :

KEBERANIAN MOHAMAD RAMLI MENDEDAHKAN KELEMAHAN BPR DIPUJI

Firman Allah,

"Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar hanya kepada-Nya kamu berserah"


(Al-Baqarah: 172)

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah iaitu Mohamad Ramli Abdul Manan di atas kesanggupan dan keberanian beliau mendedahkan perbuatan rasuah yang melibatkan Ketua Pengarah BPR iaitu Datuk Seri Zulkipli Mat Noor.

Pendedahan beliau bukan sahaja dibuat selepas daripada persaraan wajibnya pada 8 Disember 2006 yang lalu tetapi sebelum itu beliau telah pun menghantar surat bertarikh 4 Julai 2006 kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar dan salinannya telah dihantar kepada Perdana Menteri, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Peguam Negara dan Ketua Audit Negara .


Sikap untuk menegakkan keadilan yang ditunjukkan beliau semakin terserlah apabila beliau tidak gusar dan bimbang apabila dipanggil untuk memberikan keterangan serta bukti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Integriti pada Isnin ini berhubung dakwaan rasuah dan salahguna kuasa Ketua Pengarah badan itu kerana beliau yakin dengan apa yang dilakukannya.


"Di pihak saya, bukti mencukupi. Maka saya tak perlu risau dan apa yang saya buat ini adalah untuk menegakkan keadilan"(Bernama, 7 Mac 2007).

DPPNJ juga menyokong penuh memorandum yang telah diserahkan oleh Pemuda Barisan Alternatif (BA) Malaysia, Gerakan Demokrasi dan anti Korupsi (GERAK) & Institut Pengembelingan dan Pembangunan Komuniti (IMPAK) yang mendesak Ketua Pengarah BPR:

i. Agar mengambil inisiatif meletakkan jawatan sementara sebagai memberi laluan kepada siasatan agar dijalankan dengan rapi dan telus;

ii. Dalam masa yang sama juga Zulkipli perlu mengambil inisiatif untuk mendedahkan semua penyiasatan kes-kes rasuah yang berada di bawah jagaan beliau termasuklah 18 kes berprofil tinggi sebagai mana yang pernah diwar-warkan oleh Datuk Seri Utama Rais Yatim, Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan tatkala beliau menjawat jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dahulu. Ini adalah penting untuk diketahui rakyat secara keseluruhannya kerana ianya melibatkan maruah dan integriti kerajaan dalam usaha memupuk ketelusan perkhidmatan yang diwar-warkan oleh kerajaan sendiri;

Isu yang melibatkan Ketua Pengarah BPR ini perlu ditangani segera kerana ia secara tidak langsung memberikan gambaran terhadap BPR secara keseluruhnnya.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor

019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: