06 March 2007

SPM 2006 : TAHNIAH ADIK NADIAH AMIRAH JAMIL

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR

Pejabat Pentadbiran Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam, Johor Darul Ta’zim.

Tel / Faks : 07-7554693 e-mail : dppjohor@yahoo.com

No Rujukan : PAS/DPP.12/2.07(05/07)

KENYATAAN MEDIA

(6 Mac 2007)

TAJUK :

SPM 2006 : TAHNIAH ADIK NADIAH AMIRAH JAMIL

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mengucapkan tahniah kepada adik Nadiah Amirah Binti Jamil kerana telah mencapai keputusan yang sangat cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2006 dengan memperolehi keputusan 19 A 1 (Utusan Malaysia, 5 Mac 2007).

Keputusan yang akan diumumkan pada 12 Mac 2007 nanti bakal melenyapkan rekod yang telah diperolehi oleh rekod Nur Amalina Che Bakri dari Sekolah Menengah Ulu Tiram dekat Johor Bahru yang mendapat 17 1A dalam SPM 2004.

Kejayaan anak kelahiran Johor sememangnya adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai lebih-lebih lagi beliau terpaksa belajar sendiri lapan mata pelajaran daripada keseluruhan 19 mata pelajaran.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon ini adalah anak pendidik. Bapa Nadiah Amirah, Jamil Omar ialah guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Sardon manakala ibunya, Zakiah Zakaria mengajar di sebuah sekolah kebangsaan di Rengit.

Nadiah Amirah telah mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Sejarah, Pendidikan Islam serta Bahasa Inggeris dalam Sains dan Teknologi (EST).

Dia juga mengambil subjek Prinsip Akaun, Perdagangan, Ekonomi Asas, Tasaur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Sunah, Pendidikan Syariah Islamiah, Sains Teras, Geografi dan Sastera.

DPPNJ mengharapkan agar kejayaan yang dikecapi oleh adik Nadiah Amirah ini dapat dijadikan contoh oleh pelajar-pelajar yang lain. Sikap ingin berjaya dan mencipta rekod yang baru dalam peperiksaan SPM sudah cukup menggambarkan bahawa dimana ada kemahuan sudah tentu disitu ada jalan penyelesaiannya. Bersesuailah dengan motto anak gadis dari Kampung Sungai Tongkang Tambak, Rengit Batu Pahat ini iaitu “Keazaman dan cita-cita mengatasi segalanya”.

Adik Nadiah Amirah perlu berkongsi rahsia kejayaannya bersama golongan pelajar yang lain. DPPNJ yang selama ini tidak ketinggalan dalam aktiviti meransang motivasi pelajar bersedia untuk menjemput adik Nadiah Amirah untuk menyampaikan motivasi dalam kem motivasi yang akan datang.

DPPNJ mendoakan agar kejayaan lebih cemerlang akan dicapai oleh adik Nadiah dan akan menjadi contoh kepada generasi muda yang akan datang.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

019-7701830

http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: