28 November 2006

KENYATAAN MEDIA - RASUAH

Kenyataan Media
(28 November 2006)

TAJUK :

BADAN PENCEGAH RASUAH (BPR) PERLU DIBERI KUASA MENDAKWA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) menyokong terhadap cadangan dan usaha untuk memberikan kuasa kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk mendakwa terhadap kes-kes yang disiasat oleh BPR. Ketika ini, BPR hanya diberikan kuasa untuk melakukan penyiasatan tetapi pendakwaan hanya boleh dilakukan oleh Peguam Negara.

Perkara ini telah dilontaran oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azmi Kamaruddin supaya kerajaan memperluaskan kuasa mendakwa kepada BPR. Tan Sri Azmi menyatakan bagaimana BPR melalui zaman kegemilangan semasa ia diketuai oleh allahyarham Tan Sri Harun Hashim daripada tahun 1967 sehingga ke tahun 1971 (Mingguan Malaysia, 26 November 2006).

“Ketegasannya itu sampai menyebabkan dia menerima tekanan daripada orang politik. Saya masih ingat lagi pada waktu itu kalau sebut saja nama beliau, semua orang takut. Kaki rasuah cukup benci kepada beliau.
Beliau bukannya zalim dan keras tetapi seorang yang tinggi integritinya. Beliau juga diberi kuasa yang penuh untuk menjalankan tugasnya termasuk kuasa untuk mendakwa. Tetapi tekanan-tekanan itu akhirnya, maaf cakaplah, diterima”.

Cadangan ini juga disokong oleh Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman yang menyatakan bahawa memberi kuasa mendakwa kepada BPR dilihat boleh mempercepatkan proses siasatan kes rasuah sekali gus memastikan keadilan dapat ditegakkan secepat mungkin (Utusan Malaysia, 28 November 2006).

Beliau juga menyebut bahawa sekiranya siasatan dan dakwaan dibuat oleh satu badan sahaja, maka sebarang isu penangguhan dalam siasatan dan pendakwaan kes akan dapat diatasi.

Kerajaan perlu melihat secara serius terhadap cadangan yang telah dinyatakan ini kerana tahap indeks terbaru rasuah diumumkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) pada 6 November lalu yang dikendalikan oleh Transparency International (TI) menunjukkan bahawa Malaysia terus menerima episod malang sehingga jatuh ke tangga ke 44 pada tahun ini berbanding tangga ke 39 tahun lalu.

DPPNJ melihat bahawa apabila BPR tidak diberikan kuasa untuk mendakwa terhadap apa jua kes yang disiasatnya maka BPR akan dijadikan sasaran apabila kes-kes rasuah tidak dapat diselesaikan sedangkan BPR telahpun selesai menjalankan tugas mereka. Sebagai contoh, kes rasuah yang melibatkan dua lelaki yang cuba menawarkan wang sogokan kepada calon PAS DUN Pasir Raja, Encik Sanip Ithnin di kediaman beliau di Felda Sungai Sayong pada 16 Mac 2004. BPR telahpun menyiasat dengan bukti yang cukup termasuk merampas sejumlah RM5 ribu daripada kedua-dua lelaki itu yang didakwa merupakan 10 peratus daripada bayaran keseluruhan untuk Sanip menarik diri.

Sehingga kini, hasil siasatan tersebut masih belum dilaporkan kepada pengadu kerana BPR mendakwa kertas siasatan telahpun diserah kepada Peguam Negara. Sikap berlengah untuk mendakwa kes ini di mahkamah menyebabkan Encik Sanip Ithnin telah memfailkan saman pemula terhadap Peguam Negara berikutan kegagalannya mendakwa pihak yang terbabit dalam kes rasuah pada pilihan raya umum lalu melalui Tetuan Hanipa & Associates yang telah memfailkan writ saman kepada Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada bulan Julai yang lalu.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable