27 November 2006

ADUN PAS DINAFIKAN HAK...SEKALI LAGI

Posted by Picasa Kenyataan Media
(27 November 2006)

TAJUK :

DOKUMEN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR (WPI) : ADUN PAS DINAFIKAN HAK

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa kekesalan di atas penafian hak terhadap wakil rakyat daripada PAS iaitu YB Dr Mohd Ramli Bin Mohd Kari apabila sehingga kini masih lagi belum menerima apa-apa dokumen yang berkaitan dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).

DPPNJ difahamkan bahawa dokumen tersebut yang mengandungi pelbagai maklumat berkaitan dengan pelan rancangan WPI yang sebelum ini telah dilancarkan pada 4 November 2006 oleh Sultan Johor di Danga Bay, Johor Bahru.

DPPNJ merasa bimbang kerana WPI yang dikatakan 2.5 kali ganda besarnya daripada Singapura dan 48 kali ganda besar daripada Putrajaya, tidak dibahas dalam sidang dewan DUN Johor sebelum daripada pelancaran dibuat.

Lebih memeranjatkan, setiap wakil rakyat telah dibekalkan dokumen lengkap WPI dalam sidang DUN Johor yang sedang berlansung ketika ini dan akan berakhir pada 12 Disember 2006 yang akan datang tetapi hanya YB Dr Mohd Ramli sahaja yang dinafikan hak.

Penafian hak ini menunjukkan kerajaan pimpinan UMNO/BN di Johor cukup bimbang sekiranya maklumat berkaitan WPI ini akan diketahui oleh rakyat. Sehingga kini, rakyat di Johor khususnya masyarakat melayu tertanya-tanya apakah akan berlaku kepada nasib mereka yang terlibat dengan pembangunan WPI ini. Dikatakan bahawa WPI akan meliputi 221,634 hektar yang merentasi bandar raya Johor Baharu, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sebelah timur, Kulai di utara dan Mukim Serkat, Pontian di sebelah barat dengan membabitkan lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Banda Raya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian.

Rakyat Johor juga tertanya-tanya dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (Upen), Mohd Noorazam Osman bahawa dua lokasi Zon Akses Bebas yang membenarkan pergerakan keluar masuk rakyat asing tanpa menggunakan pasport dicadang diwujudkan di Johor bagi membantu pembangunan WPI bertujuan memudahkan rakyat asing khususnya warga Singapura memasuki negara ini tanpa membawa dokumen perjalanan.
Menteri Besar Johor menyebut bahawa WPI akan merancakkan ekonomi Johor, akan mewujudkan kekayaan dan akan melibatkan semua rakyat Johor. DPPNJ bimbang bahawa kekayaan akhirnya akan hanya dinikmati oleh segelintir pimpinan UMNO/BN sahaja dengan peruntukan dengan anggaran sebanyak RM 2.3 billion sudah tentu membuka selera pimpinan UMNO/BN untuk merebut peluang terlibat secara langsung. Perlu kita ingat bahawa peruntukan kewangan untuk membiayai projek WPI ini sebahgian besarnya adalah daripada wang rakyat iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pagi tadi, YB Dr Mohd Ramli telah mengeluarkan Kenyataan Media di luar sidang DUN Johor di Bukit Timbalan Johor Bahru berkaitan dengan ketidakadilan yang telah berlaku. DPPNJ juga mengharapkan agar YB Dr Mohd Ramli tidak akan berputus asa walaupun keseorangan dalam sidang DUN Johor dan sememangnya sering dinafikan hak sebagai wakil rakyat.

DPPNJ dan PAS Johor akan terus komited untuk merungkai pelbagai persoalan yang timbul berkaitan dengan WPI ini kerana ia melibatkan masa depan rakyat di negeri Johor. Walaupun harapan untuk mendapatkan dokumen rasmi WPI semakin tipis tetapi ia bukanlah halangan untuk PAS meneruskan agenda memperjuangan keadilan dan kebenaran.

Sekian, wassalam


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable