10 November 2006

RASUAH SEMAKIN MEMBARAH, PAK LAH BERUNDURLAH...

Posted by Picasa RASUAH SEMAKIN MEMBARAH, PAK LAH BERUNDURLAH...

Pembuka bicara

Bibir pimpinan kerajaan pimpinan UMNO/BN seolah-olah terkunci rapat apabila indeks terbaru rasuah diumumkan oleh Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perception Index - CPI) pada 6 November lalu yang dikendalikan oleh Transparency International (TI). Keberanian untuk menyatakan bahawa mereka adalah juara memerangi rasuah sudah semakin pudar.

TI, yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di Berlin, Jerman, mula melakukan kajian ini pada tahun 1995. Kajian yang dibuat adalah berdasarkan pengumpulan data dari pelbagai pihak di berbagai tempat serta persepsi ahli-ahli perniagaan yang berurusan di sesebuah negara. CPI memberi fokus kepada elemen rasuah dalam sektor awam dan ahli politik dengan melihat kepada penyalahgunaan kemudahan awam untuk kepentingan atau keuntungan peribadi.

Seperti yang diumumkan oleh Presiden TI-Malaysia, Tan Sri Ramon V. Navaratnam kedudukan CPI Malaysia bagi 2006 sedikit menurun berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada tangga ke-39 daripada 158 negara pada tahun lalu kepada kedudukan 44 daripada 163 negara pada tahun ini. Begitu juga dengan skornya yang turun dari 5.1 mata pada 2005 kepada 5.0 tahun ini.

Menjadikan kemusykilan barangkali dikalangan rakyat Malaysia, apabila pelbagai usaha telah dilakukan untuk menghapuskan ataupun setidak-tidaknya mengurangkan gejala rasuah dalam negara. Apakah masih belum cukup dengan apa yang telah dilakukan selama ini untuk menghapuskan rasuah terus menemui kegagalan malahan bertambah buruk keadaannya.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi pernah memberikan contoh bagaimana orang yang menghidap kudis akibat hanya digigit nyamuk perlu diubati dengan segera bagi mengelaknya daripada terus merebak dalam usahanya untuk membasmi rasuah.

“Masa kecil nampak macam kudis, makin besar jadi tokak, jadi gangren lepas itu jadi beracun, lepas itu mungkin ke potong kaki, potong tangan lepas itu bawa maut”'

Memang ‘mengerikan’ perumpamaan yang diberikan oleh Pak Lah ini tetapi hakikatnya rasuah masih terus menjadi-menjadi.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Rakyat mula memberikan kepercayaan awal

Keyakinan rakyat terhadap keseriusan Pak Lah untuk memerangi rasuah pada peringkat awal perlantikan Pak Lah sebagai PM terserlah apabila dibuktikan dengan penangkapan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam dan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas tuduhan melakukan rasuah dan penipuan berhubung keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah yang dilakukan pada 1996.

Dua hari sebelum itu, bekas Pengarah Urusan Perwaja Rolling Mill and Development Sdn. Bhd., Tan Sri Eric Chia Eng Hock dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas tuduhan melakukan pecah amanah jenayah melibatkan wang RM76.4 juta pada 1994.

Datuk Seri Dr. Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah mengumumkan bahawa masih terdapat 18 kes rasuah berprofil tinggi membabitkan orang kenamaan termasuk menteri yang sedang dalam peringkat akhir siasatan untuk dihadapkan ke mahkamah.
Penangkapan dua individu ternama ini telah menyebabkan Pak Lah disanjung tinggi. Ucapan penghargaan dan terima kasih tidak putus-putus diucapkan. Pak Lah, yang dikatakan sebagai ‘Mr Clean’ turut sama membuat kenyataan-kenyataan terhadap isu ini.
Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Benarkah Pak Lah serius?

Benarkah Pak Lah betul-betul ingin memerangi rasuah atau ianya adalah hasrat pihak tertentu? Semasa lawatan kerja beliau ke negeri Perak untuk bertemu dengan anggota perkhidmatan awam pada 16 Februari 2004, Pak Lah menyebut bahawa tindakan tegas kerajaan dalam usaha memerangi sepenuhnya gejala rasuah adalah lahir daripada hasratnya sendiri walaupun tahap rasuah di negara ini tidak mencapai peringkat yang terlalu teruk.

"Apa-apa kenyataan yang dikeluarkan berkaitan usaha untuk membasmi rasuah adalah sebenarnya lahir daripada saya kerana saya menganggap bahawa rasuah itu jika dibenarkan, ia akan menjadi semakin parah"

Pak Lah terpaksa meyakinkan rakyat bahawa tindakannya ini bukanlah tindakan ‘gimik politik’. Ketika diwawancara oleh Agensi Berita Republik Islam Iran (IRNA) sempena lawatannya ke sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak D-8 pada 18 Februari 2004 di Iran, Pak Lah memberi amaran pihak berkuasa akan bertindak jika mempunyai bukti yang cukup serta berkeyakinan tindakan pendakwaan akan berakhir dengan pesalah rasuah menerima hukuman dan tindakannya itu bukan satu gimik politik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang (pilihanraya umum ke 11).

Perdana Menteri juga memberitahu bahawa beliau tidak akan melindungi sesiapa atau campur tangan dalam penguatkuasaan undang-undang berhubung rasuah dengan menegaskan bahawa tidak betul baginya berbuat demikian (campur tangan).

Ketika menjawab satu lagi soalan IRNA, Abdullah berkata, perang yang dilancarkannya ke atas rasuah itu bukan `satu propaganda untuk pilihan raya umum akan datang'.

“Memang akan ada sesetengah orang yang sentiasa bersikap sinis dan ragu-ragu terhadap motif di sebalik tindakan kita, tetapi, saya percaya sebilangan besar rakyat Malaysia berada di belakang saya dalam memerangi rasuah. Mesejnya amat mudah - jika pihak berkuasa mengumpul bukti yang cukup untuk meyakinkan bahawa dakwaan akan berakhir dengan pesalah menerima hukuman, mereka akan bertindak”

Semasa menyampaikan ucaptama bertajuk “Integriti: Asas Bagi Sebuah Kerajaan Yang Bersih” pada Forum Etika dan Integriti Sedunia 2005, pada 30 April 2005, PM Abdullah menegaskan bahawa rasuah akan terus diperangi tanpa mengira ‘bulu’ sebagai agenda utama pentadbirannya. Beliau berkata, dasar memerangi rasuah ialah bagi memastikan Malaysia mampu bersaing di peringkat global. Beliau berkata, kerajaan akan menggunakan dua pendekatan serentak iaitu langkah pencegahan dan hukuman dalam kempen habis-habisan memerangi rasuah.

“Mereka yang mengatakan kerajaan tidak berbuat apa-apa, sebenarnya silap kerana mereka menilai usaha itu hanya daripada segi tangkapan dan hukuman semata-mata”

Semasa menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 14 September 2005, PM Abdullah terus memberikan keyakinan bahawa kerajaan masih belum hilang tumpuan dalam memerangi rasuah dan akan terus berperang bagi memastikan tindakan itu berjaya sehingga akhirnya para pedagang antarabangsa akan lebih selesa untuk melabur di Malaysia.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Pak Lah berbangga tangkapan pesalah rasuah semakin tinggi

Dengan penuh bangga, Pak Lah pernah menegaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada 13 April 2005 bahawa sejak dasar itu dilaksanakan, jumlah aduan rasuah meningkat sebanyak 17 peratus antara tahun 2003 dan 2004. Jumlah tangkapan juga meningkat sebanyak 47 peratus membabitkan 497 kes pada tahun lepas berbanding 339 tangkapan pada tahun 2003. Jumlah kes yang dibawa ke mahkamah juga meningkat kepada 179 pada tahun lepas berbanding 171 kes pada tahun 2003, ini tidak termasuk 471 kes yang sedang dibicarakan pada tahun lepas.

Menurut Pak Lah, jumlah kes rasuah yang dibawa ke mahkamah bertambah 22 peratus pada tahun 2004 berikutan meningkatnya kualiti penyiasatan dan bukti yang dikumpulkan. Di samping itu, lebih tujuh peratus kes berjaya diselesaikan pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.

“BPR berjaya membuat tangkapan yang tertinggi sepanjang tahun lalu dan ini menunjukkan tekad serta keazaman saya untuk meneruskan kempen memerangi rasuah secara habis-habisan''

Pak Lah kata, kerajaan telah memberi peruntukan lebih besar kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi meningkatkan kecekapannya termasuklah menerima cadangan BPR untuk menubuhkan unit yang dianggotai pakar perakaunan dan audit

Pak Lah kata, kerajaan telah menubuhkan Institut Integriti Malaysia (IIM) yang berperanan memberi penerangan kepada pegawai serta kakitangan kerajaan tentang keburukan gejala rasuah agar mereka sentiasa menjauhi dari perbuatan keji itu.

Pak Lah kata, kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengurangkan kerenah birokrasi di jabatan-jabatan kerajaan untuk mengelakkan kemungkinan berlakunya perbuatan rasuah.

Pak Lah kata, kerajaan telah mewujudkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia bagi memerangi gejala rasuah di kalangan anggota polis.

Persoalannya, kenapa rasuah semakin meningkat dan Indeks Persepsi Rasuah Malaysia semakin menurun?

Pak Lah & UMNO punca rasuah terus berleluasa

Sebenarnya, kegagalan membasmi rasuah berpunca daripada kelemahan Pak Lah sendiri yang hanya serius ketika berkata tetapi lemah dalam tindakan.

Sebuah NGO di Malaysia yang terlibat dalam kempen memerangi rasuah, Gerakan Demokrasi dan anti-Korupsi (GERAK) membuat kenyataan bahawa pengumuman Transparensi Antarabangsa (TI) bahawa kedudukan Malaysia merosat dari tangga 39 ke tangga 44 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) bukanlah satu perkara yang memeranjatkan.
Pengerusi GERAK, Mohamad Ezam Bin Mohd Nor melahirkan kekecewaan kerana Pak Lah tidak pernah berusaha untuk memperkasakan institusi penguatkuasaan anti rasuah seperti Badan Pencecah Rasuah (BPR). Walaupun Pak Lah cuba menonjolkan imej sebagai pemimpin yang memerangi rasuah hakikatnya sepanjang tiga tahun pemerintahan beliau gejala rasuah terus berleluasa.

GERAK telah mendesak kerajaan supaya bertanggungjawab terhadap keadaan ini dan membuat penjelasan mengapa sehingga ke hari ini, sebuah pemerintahan yang dimulakan dengan janji untuk memerangi rasuah tidak melakukan sebarang tindakan konkrit dari sudut pindaan undang-undang dalam mempertingkat dan memperkasakan setiap elemen masyarakat dan institusi yang relevan dalam membenteras rasuah.

UMNO pula terus kebal daripada rasuah. Rasuah di dalam UMNO tidak ada sangkut-paut dengan kesalahan dalam undang-undang negara. Terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohammed Nazri Aziz yang disiarkan dalam Malaysia-Today telah memperakui dan bersetuju dengan pandangan bahawa ahli Umno memang kebal dari sudut rasuah dan undang-undang.

"Rasuah sememangnya penyakit dalam Umno dan kerajaan tetapi mereka seolah-olah kebal daripada pendakwaan dan penguatkuasaan kerana penguasaan politik dan BPR yang tidak bebas dan jika ada pendakwaan atau tindakan ke atas mana-mana ahli Umno kerana rasuah itupun dilakukan berdasarkan tindakan politik"

Sebagai contoh mudah, kes membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Isa Samad yang dikenakan tindakan penggantungan kerana rasuah wang dalam pemilihan Umno. Seluruh Negara malahan seluruh dunia tahu bahawa beliau digantung kerana terlibat dalam rasuah (politik wang) semasa pemilihan UMNO tetapi BPR tiada kuasa untuk membuat penyiasatan.

Sebab itulah presiden TI Malaysia ketika memberikan ucapan pada pelancaran global CPI 2006 di Institut Integriti Malaysia melahirkan kekecewaannya kerana ada ‘golongan’ tertentu yang seolah-olahnya kebal daripada rasuah.

“Tiada sesiapa pun yang seharusnya mengatasi undang-undang. Ahli politik, TI, sesiapa sahaja. Selagi kita boleh membuktikannya(berlaku rasuah) tiada sesiapa pun yang kebal daripada undang-undang”
Penutup bicara

Perhimpunan Agong UMNO yang akan berlangsung tidak lama lagi akan menjadi medan terdekat untuk Pak Lah menghuraikan permasalahan rasuah ini kerana beliau akan bercakap dengan perwakilan-perwakilan UMNO daripada seluruh negara yang sudah sebati dengan rasuah (politik wang).

Mampukah Pak Lah mendabik dada bahawa beliau berjaya menjadi juara memerangi rasuah ataupun akan berdiam diri daripada memperkatakan isu ini? Ataupun, mungkin juga Pak Lah akan mengambil langkah yang sama seperti mana yang pernah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir yang menangis di perhimpunan Agong UMNO kerana gejala rasuah (politik wang) semakin menjadi-jadi di dalam UMNO dan negara?

Perkara paling mudah sebenarnya, Pak Lah perlu jujur dengan memperakui kegagalannya dan kelemahannya. Langkah terbaik adalah berundur daripada memimpin Malaysia. Berundurlah…


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/
11 November 2006/19 Syawal 1427
11.10 pagi

No comments:

Sociable