11 February 2006

Pandangan Ulama' Dicerca dan Dihina, Siapa Yang Untung?

Apabila Majlis Mufti-Mufti Malaysia (MMM) pada 30 Julai 2004 telah memutuskan bahawa konsert Sure Heboh TV3 adalah haram kerana ia melalai dan menggalakkan maksiat di kalangan anak-anak muda, banyak pihak yang memberikan pelbagai pandangan termasuklah yang mengkritik mufti dan ulama’ di Malaysia yang kononnya membuat fatwa tanpa melihat kepada realiti yang sebenarnya.

Keputusan yang telah diumumkan oleh Mufti Kerajaan Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria itu setelah Majlis Mufti mempelbincangkan perkar tersebut dari pelbagai aspek dan berpendapat konsert Sure Heboh TV3 adalah sesuatu yang melalaikan dan ia wajar dihentikan.

Keputusan MMM telah melegakan umat Islam di Malaysia dan disokong oleh pelbagai pihak termasuk PAS. Lima badan bukan kerajaan (NGO) telah menyerahkan memorandum menyokong Majlis Mufti Malaysia yang memutuskan bahawa program Karnival Sure Heboh anjuran TV3 sebagai menyalahi agama.

NGO berkenaan ialah Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia (Isra'), Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Persatuan Ulama Kedah (PUK), Institut Pengembelengan dan Pembangunan Komuniti (Impak) dan Nadwah Guru-Guru Sekolah Agama Rakyat Kedah (Nadwah).

Namun terdapat juga yang menentang keputusan ini. Perdana Menteri Malaysia ketika diminta mengulas mengenai isu pengharaman Konsert Karnival Sure Heboh, Abdullah meminta perdebatan mengenai isu ini dihentikan. Kenyataan beliau sebenarnya tidak berpihak kepada MMM apabila beliau menyatakan bahawa

``Itu bukan fatwa, itu hanya pandangan dan setiap orang boleh beri pandangan. Kita nak pegang adalah fatwa dan proses untuk membuat fatwa itu diketahui oleh semua orang Islam di negara ini.”
Hari ini Berita Harian menyiarkan berita bertajuk “300,000 dijangka ke Sureheboh“.

Siri pertama jelajah Sureheboh 2006 anjuran TV3 yang diadakan di sini bermula semalam hingga esok dijangka dikunjungi kira-kira 300,000 orang.

Ia diadakan di Taman Tema Bandar Darulaman, Jitra, muncul dengan konsep baru yang turut menggabungkan penyertaan semua stesen televisyen dan radio milik Media Prima Bhd. Selain TV3, turut serta ntv7, TV8 dan saluran radio barunya, HOT.fm.Pelbagai program diadakan sempena Sureheboh 2006 ini dan apa yang menyedihkan adalah apabila konsert tetap dijadikan sebagai acara kemuncaknya.

“Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Ahmad Farid Ridzuan berkata, acara kemuncak Sureheboh 2006 ialah Konsert Sureheboh yang akan berlangsung jam 8 malam esok, menampilkan artis Flop Poppy, Pop Shuvit, Raihan, Ning Baizura, Jaclyn Victor, Nurul, Ajai, Jamal Abdillah, Nash, Shazzy dan Elyana.”

Inilah nasib ulama’ dan Islam di Malaysia. Nasihat dan teguran untuk kebaikan umat Islam dibakulsampahkan, dihina dan ditertawakan. MMM bukannya tidak terdiri daripada golongan yang cerdik agama. Keputusan yang mereka lakukan adalah untuk kepentingan Islam.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga turut dikecam kerana dilihat terlalu kolot setelah memfatwakan bahawaperaduan melalui SMS yang berunsur perjudian adalah haram.

DPPNJ tidak bermaksud untuk menolak hiburan bahkan PAS sangat prihatin dengan program hiburan khususnya untuk gologan muda-mudi. Ketika program perasmian Bandar Raya Islam Kota Baru, Mawi, M Nasir, Kumpulan Rabbani dan Ustaz Akil Hai telah dijemput untuk menghiburkan para pengunjung. Baru-baru ini di Johor semasa program Sambutan 2 Tahun DUN Senggarang, Konsert Sayangi Senggarang yang dipersembahkan oleh Ustaz Akil Hai, Kumpulan Dikir Barat Sri Kenangan dan Sdr Azhan Atan telah diadakan dan mendapat sambutan yang luar biasa.

Tetapi konsert-konsert seperti ini diadakan mengikut lunas-lunas Islam seperti mengasingkan tempat duduk mengikut jantina dan lagu-lagu yang disampaikan mengingatkan kita kepada Allah.

No comments: