05 February 2006

PENGAGIHAN RUMAH KOS RENDAH SEMEMANGNYA TIDAK ADIL

KENYATAAN MEDIA
(5 Februari 2006)

Saya merujuk kepada berita yang di petik daripada Laman Web Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama.com) pada 4 Februari 2006 bertajuk “Pemuda Umno Tanjong Anjur Demostrasi Bantah Agihan Rumah Kos Rendah”

Berita ini mendedahkan bagaimana kira-kira 30 anggota Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjong di sini hari Sabtu menganjurkan demonstrasi secara aman di hadapan Masjid Kapitan Keling di sini sebagai membantah pengagihan rumah kos rendah yang mereka dakwa dilakukan secara tidak adil.

Mereka yang membawa sepanduk dan kain rentang berdemonstrasi kira-kira lima minit sebelum disuraikan oleh anggota polis yang sedang mengawal sepanjang jalan masjid itu sempena majlis sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di jalan berkenaan pada petang ini.

Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Tanjong, Hamzah Mohd Ismail mendakwa pengagihan rumah kos rendah di Jalan Zainal Abidin di sini adalah tidak adil untuk bumiputera dan kaedah agihan rumah itu adalah mencurigakan.

Saya memuji kesungguhan dan keprihatinan Pemuda UMNO Tanjong kerana berjuang untuk mendapatkan pengagihan sebanyak 70 peratus rumah kos rendah untuk bumiputera dalam projek perumahan rakyat di Jalan Zainal Abidin sehingga sanggup mengadakan demonstrasi.

Cuma terdapat beberapa perkara yang perlu dilihat daripada peristiwa ini ;

i. Pemuda UMNO terpaksa mengadakan demonstrasi untuk mendapatkan hak kononnya untuk bumiputera sedangkan yang memerintah Pulau Pinang adalah Barisan Nasional (BN) dan bukannya diperintah oleh parti pembangkang.

ii. Pemuda UMNO telah menyampaikan mesej bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon tidak bersedia untuk berbincang dengan pemuda UMNO walaupun UMNO adalah parti yang paling dominan dalam BN. Bayangkanlah sekiranya UMNO tidak ada kuasa pemerintahan, ke mana pula UMNO hendak merempat dan meraih simpati.

Walau apapun, sepatutnya pembahagian rumah-rumah kos rendah haruslah mengutamakan pihak yang lebih memerlukan terutamanya mereka yang berpendapatan rendah yang tidak mempunyai rumah, bukannya mengikut kepentingan parti politik. Tetapi yang berlaku adalah pengagihan di kalangan bumiputera seringkali tidak adil kerana mengutamakan ahli UMNOPUTERA sahaja.


Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: