Tue Feb 07, 06 12:02:29 PM
Oleh Salman Hussin
Oleh Salman Hussin
JOHOR BAHRU, 6 Feb (Hrkh) – Seluruh umat Islam diseru mengadakan solat hajat khusus sebagai tanda simpati terhadap perbuatan kejam yang dilakukan ke atas Syafiqah Mohd Borhan yang dirogol dan dibunuh baru-baru ini.
Solat hajat ini juga bertujuan bagi membantu polis menyelesaikan masalah ini kerana sehingga kini penjenayah terbabit masih belum dapat ditangkap lagi,kata Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini.
"Walau pun kita percaya sekarang ini polis sedang bertungkus lumus melakukan siasatan bagi mengesan penjenayah terbabit dengan menggunakan segala kepakaran dan kemampuan yang mereka ada namun untuk mempermudah dan mempercepatkan lagi tugas ini maka kita semua perlulah memberikan bantuan yang sewajarnya supaya kes ini dapat diselesaikan segera.
"Semua pihak wajar merasakan bahawa insiden malang yang menimpa mangsa terbabit sebagai satu tanggungjawab bersama dan tidak sepatutnya beban ini diletakkan di atas bahu anggota polis semata-mata sebaliknya masyarakat juga berperanan membantu polis menangani kes-kes jenayah ini," katanya semasa berceramah di Taman Dahlia Tampoi, dekat sini, kelmarin.
Syafiqah, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Temenggong Ibrahim (SIGS), ditemui mati tidak jauh dari rumahnya di Taman Skudai Kanan Bandar Baru Uda (BBU) dekat sini Jumaat minggu lalu.
Terdahulu keluarga mangsa telah membuat lapuran polis setelah mangsa tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk ke sekolah, bagaimana pun penantian ini terjawap apabila mayat mangsa ditemui tiga hari kemudian di dalam longkang kira-kira 200 meter dari rumah mereka.
Menurut Faizi lagi, sebagai umat Islam sudah tentulah tempat mengadu hanya kepada Allah SWT, apatah lagi dalam situasi tertentu yang begitu sulit untuk diselesaikan melalui kemampuan manusia maka jalan terbaik hanyalah dengan memohon pertolongan Allah SWT.
"Justeru kerana itu kita merayu seluruh umat Islam di negara ini mengadakan solat hajat khusus bagi membantu polis menangani masalah ini, bagi umat Islam inilah sebenarnya kelebihan yang kita ada maka keistimewaan ini perlulah dimanfaatkan terutama dalam keadaan yang begitu mendesak," katanya.
Selanjutnya menurut Faizi, Pemuda PAS Johor meminta semua pimpinan dan ahli PAS di peringkat kawasan dan cawangan di seluruh negeri ini mengadakan solat hajat ini secara berterusan sehinggalah penjenayah terbabit ditangkap.
"Ini kerana kita merasakan perbuatan penjenayah ini begitu zalim dan tidak boleh dimaafkan sama sekali, selain itu kita juga mengharapkan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi di masa depan lebih-lebih lagi yang membabitkan kanak-kanak," katanya. - zs
No comments:
Post a Comment