14 February 2006

KECUAIAN DALAM URUSAN PERNIKAHAN; PEGAWAI YANG TERLIBAT PERLU DIKENAKAN TINDAKAN

KENYATAAN MEDIA
(14 Februari 2006)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa simpati terhadap pasangan Muhammad Nazirul Azman Nasaruddin, 24, dan isterinya, Zanariah Abdullah, 24, yang yang dinikahkan setahun lalu oleh kadi daerah Muar telah diarahkan `berpisah' (farakh) kerana diiktiraf tidak sah oleh Mufti Johor, Datuk Noh Gadut. Mereka yang telah dinikahkan pada 2 Februari 2005 hanya boleh bernikah semula selepas tiga kali suci.

Perpisahan itu terpaksa dilakukan kerana berlaku kekhilafan semasa pengendalian urusan pernikahan itu.

Kontroversi farakh di antara pasangan ini sepatutnya tidak akan berlaku jika Pejabat Agama Daerah Muar membenarkan adik lelaki pengantin perempuan, Mohd. Shafiq, menjadi wali.

Terdapat beberapa perkara yang DPPNJ ingin bangkitkan di dalam kontroversi ini.

Pertama, pendaftar nikah atau jurunikah sepatutnya mengutamakan adik lelakinya sebagai wali, bukan wali hakim. Zanariah telah melahirkan rasa kesalnya kerana sewaktu majlis pernikahan itu berlangsung, beliau sekeluarga telah membangkitkan persoalan kenapa adik lelaki beliau tidak dijadikan wali. Namun pegawai pendaftar nikah Mukim Parit Bakar menjelaskan bahawa dia lebih arif dalam menjalankan urusan pernikahan itu dan tidak perlu menggunakan wali adik lelaki Zanariah.

Sepatutnya jika berlaku kes bapa perempuan meninggal dunia, keutamaan wali perlu diberikan kepada datuk atau bapa kepada datuk.Kemudian ia turun kepada saudara lelaki iaitu abang ke bawah diikuti peringkat ketiga iaitu bapa saudara sebelah bapa, sebelum beralih kepada wali hakim sebagai penyelesaian terakhir.

Perkara yang kedua, keputusan Jabatan Agama Islam daerah itu dibuat oleh tiga orang pegawai di jabatan itu secara lisan dan tanpa sebarang hitam putih. Tindakan ini telah menyebabkan pasangan tersebut tidak keruan dan keliru dengan status mereka.

Sekiranya Jabatan Agama Johor melihat perkara ini sebagai satu perkara yang serius, makluman secara bertulis perlu disegerakan. Namun setelah didedahkan di dalam media, barulah semalam Zanariah Abdullah akhirnya menerima surat `hitam-putih' daripada Jabatan Agama Johor yang mengarahkannya berpisah secara `farakh' dengan suaminya.

Ketiga, apa yang lebih mengecewakan, pegawai jabatan terbabit memaklumkan kepadanya bahawa kejadian seperti itu pernah berlaku di Perak, dan beliau tidak sepatutnya memperbesar-besarkan hal itu ke pengetahuan pihak umum.

Dalam hal ini, DPPNJ mendesak agar pegawai pendaftar nikah Mukim Parit Bakar yang cuai menjalankan amanah ini disoal siasat dan dikenakan tindakan sekiranya beliau bersalah. DPPNJ juga mahu satu penjelasan secara terbuka daripada Jabatan Mufti Johor terhadap isu yang berlaku ini.

Esok, mahkamah akan memutuskan status pasangan ini dan DPPNJ akan melihat perkembangan seterusnya terutamanya keputusan yang bakal dibuat esok. DPPNJ juga bersedia menawarkan khidmat guaman kepada pasangan tersebut sekiranya mereka tidak diadili dengan sebaik mungkin.

Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: