21 February 2006

KENAIKAN TANBANG BAS SEKOLAH, KERAJAAN WAJAR BERI SUBSIDI

Berita daripada Harakahdaily.
Tue Feb 21, 06 10:34:27 AM
Oleh Salman Hussin

KLUANG, 21 Feb (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) mencadangkan kerajaan memberi subsidi harga minyak diesel kepada pengusaha bas sekolah sepertimana yang diberi kepada nelayan sebelum ini.

"Pemberian subsidi ini wajar dilakukan bagi meringankan beban pengusaha bas sekolah berikutan kenaikan bahan api itu, jika ini dilakukan maka ianya dapat mengelakkan kenaikan tambang bas yang sekaligus tidak membebankan orangramai," kata Ketua DPP NJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini baru-baru ini..

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Khaled Nordin, baru-baru ini yang mengarahkan pengusaha bas sekolah menangguhkan dahulu kenaikan tambang bas sekolah.

Katanya, berdasarkan perjanjian yang dimeterai antara persatuan pengusaha bas sekolah dengan kementerian, kenaikan tambang bas boleh dibuat lima tahun sekali dan kali terakhir kenaikan ialah pada Februari 2000 sebanyak 25 peratus dan kenaikan seterusnya akan berlaku pada Mac 2006 pada kadar 20 peratus.
Terdahulu pada November 2005 menteri berkenaan dalam satu kenyataannya mengarahkan pengusaha bas sekolah untuk tidak menaikkan kadar tambang sehingga Januari 2006.

Katanya lagi, kerajaan perlu melihat faktor kenaikan harga minyak ini hanya akan menambahkan lagi beban pengguna kerana kenaikan harga minyak ini akan mempengaruhi kenaikan harga barangan keperluan lain.

Penangguhan kenaikan tarif elektrik disebabkan kenaikan harga minyak patut dijadikan sebagai contoh walaupun tidak tahu setakat mana masa penangguhan ini tetapi sekurang-kurangnya pengguna tidak terus dibebani berbagai kenaikan kos sara hidup.

"Berikutan kenaikan harga bahan api ini yang dianggarkan kira-kira sembilan kali sejak 2000 telah menyebabkan pengusaha bas mengalami kerugian.

"Bagi mengatasi kerugian ini kita difahamkan terdapat sebahagian pengusaha bas sekolah di Johor bertindak menaikkan tambang bas walaupun belum mendapat kebenaran kementerian,"jelasnya.

Faizi yang juga Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar PAS Johor, selanjutnya berkata, kerajaan perlu memikirkan pemberian subsidi kepada pengusaha bas ini, jika ini tidak dilakukan maka mereka akan menaikkan tambang bas sekolah dan kesannya pengguna akan lebih teruk lagi.

"Justeru kerana itu kita menggesa kerajaan menangguhkan dulu kenaikan tambang bas ini dan pada masa yang sama memikirkan soal pemberian subsidi kepada pengusaha bas ini,"katanya. - mks.

No comments: