Oleh Salman Hussin KLUANG, 20 Julai (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) mendesak Timbalan Perdana Menteri (TPM), Dato’ Seri Najib Tun Razak, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Felda supaya segera campurtangan bagi mengatasi kemelut yang berlaku di Felda Air Hitam, dekat sini.Berbagai perkara yang membabitkan penyelewengan dalam pengurusan tanah rancangan yang berlaku sejak 1962 ini perlu diselesaikan segera demi kepentingan serta kebajikan 336 peneroka generasi pertama Felda ini.
Ketua Pemuda PAS Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan wakil peneroka terbabit di Felda Air Hitam, semalam.
Katanya, memandangkan majoriti peneroka generasi pertama yang masih hidup tidak begitu ramai maka sewajarnya kemelut yang berlaku sejak 43 tahun lalu ini segera diselesaikan supaya tidak timbul masalah kepada generasi kedua yang bakal mengambilalih kelak.
Walau pun sebelum ini peneroka terbabit telah membawa perkara ini ke pengetahuan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya kes ini disiasat namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan dilakukan pihak terbabit dan peneroka merasa amat kecewa dengan sikap acuh tak acuh pihak-pihak terbabit dalam menangani kemelut yang melanda mereka.
Katanya lagi, antara penyelewengan yang didakwa berlaku termasuk pengagihan baja kepada peneroka.
Pendapatan hasil mereka dipotong untuk membayar baja ini tetapi baja tidak diberi tetapi sebaliknya mereka mendakwa ada pihak yang menjual baja ini kepada pihak lain.
Selain itu wang bantuan Hari Raya yang diperkenalkan kerajaan kepada seluruh peneroka Felda di negara ini sejak tiga tahun lalu juga didakwa telah diselewengkan.
Mereka mendakwa, bantuan bagi tahun pertama sebanyak RM100 kepada setiap peneroka langsung tidak diberi kepada peneroka.
Manakala bantuan untuk tahun kedua yang berjumlah RM200 pula terdapat seramai 41 peneroka yang tidak menerima bantuan ini sebaliknya apabila penyelewengan pihak-pihak terbabit ini terbongkar barulah bantuan untuk tahun ketiga (2004) berjumlah RM300 diberikan kepada semua peneroka.
Selain itu, menurut Faizi lagi, mengikut perjanjian asal setiap peneroka akan diberi tanah seluas 10 ekar dan mereka juga dikenakan bayaran balik untuk nilai tanah seluas 10 ekar ini tetapi peliknya ada kalangan peneroka sehingga sekarang ada yang dapat cuma enam, tujuh dan lapan ekar sahaja sedangkan mereka semua telah selesai membayar hutang.
Daripada sejumlah 336 peneroka ini hanya 16 sahaja yang mendapat tanah cukup 10 ekar iaitu lapan ekar untuk kebun manakala selebihnya untuk tapak rumah dan dusun seluas dua ekar.
Keadaan ini telah berlarutan sejak 1962 sehingga kini, katanya.
Peneroka juga, tambah beliau lagi, turut mempertikaikan bagaimana tanah seluas 900 ekar yang diperuntukkan untuk menambah kebun peneroka yang masih belum cukup 10 ekar ini hanya tinggal 426 ekar saja.
"Kemana perginya 474 ekar lagi, sudahlah tanah ini tidak diagihkan terus kepada mereka malah hasil getah selama lebih 20 tahun pun tidak diberi kepada peneroka," soal beliau.
Peneroka juga tidak puashati dengan jumlah bayaran yang diberi kepada mereka hasil pendapatan penjualan kayu getah berikutan projek tanam semula.
"Pada mulanya setiap peneroka dijanjikan bayaran sebanyak RM7300 tetapi selepas itu dikurangkan kepada satu pertiga sahaja iaitu RM2200 tetapi selepas itu dikurangkan lagi kepada RM1800.
"Sudahlah jumlah yang sepatutnya mereka dapat terus dikurangkan kepada nilai yang jauh lebih rendah daripada harga asal yang dijanjikan, tambah mengecewakan lagi sewaktu peneroka menandatangani borang untuk menerima bayaran ini mereka hanya dibayar RM1160 sahaja, kurang dari jumlah asal sebanyak RM1800.
"Bila ditanya kenapa bayaran yang diterima kurang, pihak pengurusan Felda memberitahu kononnya sejumlah RM640 telah dipotong sebagai bayaran sara hidup untuk tempoh empat bulan.
Pengurangan jumlah bayaran yang sepatutnya diberi kepada peneroka ini menimbulkan tandatanya dalam pembahagian hasil jualan kayu getah ini dan perlu disiasat segera," kata beliau kepada Harakahdaily.
Selain itu peneroka juga hairan bagaimana pada setiap bulan akan berlaku kehilangan antara 10 hingga 14 tan jumlah jualan getah yang dihantar ke kilang getah di Pasak Kota Tinggi.
Kehilangan yang sangat besar jumlahnya ini menyebabkan peneroka pula terpaksa menanggung beban.
"Sudahlah harga belian getah yang oleh Felda jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan peraih di luar malah setiap 10 kilogram getah akan ditolak 2 kilogram.
"Potongan yang agak besar ini menyebabkan sebahagian besar peneroka menjual hasil mereka kepada peraih di luar yang membeli dengan harga yang lebih tinggi selain tidak mengenakan potongan ke atas jumlah getah yang dijual,"beritahu beliau lagi.
Berikutan dari keengganan peneroka menjual hasil mereka kepada Felda menyebabkan pihak pengurusan Felda tidak memberi baja kepada peneroka walau pun baja ini telah dibayar oleh peneroka.
Inilah secebis daripada berbagai lagi penderitaan yang terpaksa dilalui oleh sebahagian besar peneroka Felda yang mendakwa mereka telah ditipu dan dianiaya sejak sekian lama.
Sehubungan itu Pemuda PAS Johor sekali lagi mendesak TPM segera turun padang bagi menangani masalah besar yang sedang melanda peneroka felda Air Hitam ini.
"Inilah waktu dan ketika yang amat sesuai bagi pemimpin negara turun padang menjenguk nasib rakyat.
"Jangan hanya ketika menjelang pilihanraya barulah masing-masing sibuk berkampung menemui rakyat dengan membawa pelbagai harapan dan jaminan yang hanya sekadar janji manis di mulut sahaja," kata Faizi.
No comments:
Post a Comment