19 May 2010

MENTERI BESAR JOHOR PERLU BUKTIKAN SOKONGAN MASYARAKAT CINA KEPADA BN MELALUI PILIHANRAYA KECIL DI JOHOR


KENYATAAN MEDIA
19 Mei 2010, 5 Jamadil Akhir 1431

(No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(10/10)


TAJUK
MENTERI BESAR JOHOR PERLU BUKTIKAN SOKONGAN MASYARAKAT CINA KEPADA BN MELALUI PILIHANRAYA KECIL DI JOHOR

Saya merujuk kepada berita yang bertajuk “MB Johor yakin sokongan masyarakat Cina di bandar” yang disiarkan oleh Berita Harian (cetak) pada 19 Mei 2010 yang memetik ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Ghani Othman semasa sidang media di Parlimen Pulai semalam.

Di dalam berita ini beliau menyatakan bahawa :-

1. Beliau melahirkan rasa keyakinan bahawa masyarakat Cina di kawasan bandar di negeri Johor akan terus menyokong BN berdasarkan kepada pendekatan yang dilaksanakan kerajaan selama ini,

2. Sokongan masyarakat Cina bandar kepada BN turut disumbangkan faktor kukuhnya MCA negeri yang berjaya melaksanakan pelbagai program serta menyelami setiap permasalahan dan denyut nadi kaum Cina,

3. Walaupun berlakunya Tsunami Politik pada pilihanraya Umum ke-12 melanda beberapa buah negeri namun ia tidak menjejaskan politik Johor dengan BN mengekalkan undi popular sekitar lingkungan 70 peratus dan keadaan kini bertambak baik.

Saya percaya bahawa kenyataan beliau ini merujuk kepada perkembangan politik Malaysia yang memperlihatkan betapa BN semakin kehilangan sokongan daripada pengundi Cina khususnya yang melibatkan PRK di Parlimen Hulu Selangor dan yang terbarunya di Parlimen Sibu yang menyaksikan calon DAP daripada Pakatan Rakyat telah berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti 398 undi. Jika di Hulu Selangor undi kaum Cina semakin teguh bersama PR tetapi di Sibu undi kaum Tionghua telah berjaya menumbangkan BN.

Sudah tentu ia menjadi satu igauan ngeri kepada BN kerana pelbagai janji dan peruntukan telah diberikan semasa kempen PRK berlangsung namun BN masih belum mampu menawan kembali hati pengundi kaum Cina. Walaupun pada peringkat awal sebelum bermulanya PRK di Sibu bayangan bahawa pengundi Cina di Sibu tidak sama dengan pengundi Cina di Semenanjung namun ia telah berlaku sebaliknya.

Kenyataan MB Johor ini sebenarnya meragukan apabila beliau menyatakan bahawa Tsunami Politik 2008 tidak menjejaskan Johor. Sebagai negeri yang mendapat jolokan “Kubu Kuat UMNO/BN” seharusnya beliau perlu menerima hakikat bahawa terdapat enam kerusi DUN daripada keseluruhan 56 DUN dan satu Parlimen telah terlepas kepada PR di Johor dan dan kerusi yang dirampas oleh PR ini melibatkan beberapa kawasan bandar di Johor seperti di Kluang, Muar, Skudai dan Kulai.

Lihatlah bagaimana wakil rakyat DAP bagi DUN Skudai, YB Dr Boo Cheng Hau yang berjaya menewaskan calon BN dengan majoriti undi sebanyak 12,854 sedangkan pada tahun 2004 BN telah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,193 undi. Bermakna, perubahan yang ditunjukkan oleh pengundi yang mana saya percaya bahawa dengan majoriti pengundi kaum Cina sebanyak 66.48 peratus berbanding dengan pengundi Melayu sebanyak 22.07 peratus dan India sebanyak 12.26 peratus menunjukkan isyarat bahawa sokongan daripada masyarakat Cina kepada PR semakin meningkat dan dibuktikan dengan beberapa siri PRK sebelum ini.

Perubahan sikap ini juga bukan sahaja melibatkan pengundi Cina namun juga ia melibatkan pengundi Melayu dan India walaupun peningkatan sokongannya tidak setinggi kaum Cina.

Saya percaya bahawa kenyataan Pengerusi BN Negeri Johor akan memberikan satu kekuatan kepada PR Negeri Johor untuk bekerja lebih aggresif bagi membuktikan bahawa BN semakin kehilangan sokongan bukan sekadar daripada kaum Cina sahaja tetapi juga sokongan daripada seluruh rakyat di dalam Negeri Johor dan seterusnya merealisasikan Gagasan TAWAN yang telah dilancarkan oleh Presiden PAS pada 27 Oktober 2009 untuk PR Johor memerintah negeri Johor selepas PRU yang ke 13.

Petunjuk sama ada sokongan kepada BN meningkat ataupun telah dapat dibuktikan dalam siri PRK yang dilalui sebelum ini di Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Trengganu, Sarawak dan Selangor namun ia belum lagi berlaku di negeri Johor. Jika beliau benar-benar ingin membuktikan bahawa sokongan masyarakat Cina di Johor di kawasan bandar masih bersama dengan BN dan MCA semakin kukuh maka saya mencabar Datuk Ghani Othman menggesa salah seorang daripada mana-mana Adun MCA/BN untuk meletakkan jawatan sebagai Adun di kawasan majoriti pengundi Cina untuk diadakan PRK dalam tempoh terdekat.

Sekian.
PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,



KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://www.facebook.com/khairul.faizi1
Tel : 019-7701830

2 comments:

Mohd Asri said...
This comment has been removed by the author.
Mohd Asri said...
This comment has been removed by a blog administrator.