11 May 2010

Memorandum kepada Ketua Polis Johor

MEMORANDUM KEPADA
KETUA POLIS NEGERI JOHOR

Datuk Mohd Mokhtar Bin Mohd Sharif,
Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor,
Polis Diraja Malaysia
80990 Jalan Tebrau,
Johor Bahru,
Johor

ISNIN 10 MEI 2010


Pada hari Jumaat 7hb Mei 2010 Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh datang berceramah di Markaz PAS Cawangan Taman Dahlia pada jam 9.45 malam. Mulai jam 7.00 malam kawasan Taman Dahlia, Tampoi telah dikepong dengan 5 sekatan jalanraya (road block) serta ratusan anggota polis daripada Balai Polis Johor Bahru Utara. Kesannya adalah :

Kesesakan lalulintas di dalam Taman Dahlia dan sekitarnya.
Ketidakselesaan penduduk sekitar Taman Dahlia.
Memberi tekanan psikologi kepada penduduk yang ingin datang mendengar ceramah.

Setelah selesai ceramah di Taman Dahlia pihak polis telah menahan kumpulan kenderaan yang membawa Dato Seri Anwar dengan alasan menggunakan lampu veacon. Bentuk penahanan ini adalah seperti penahanan seorang penjenayah besar sedangkan ia adalah kesalahan jalanraya jika pun dibuktikan bersalah. Setelah gagal membuktikannya maka pihak polis telah melepaskan begitu sahaja. Halangan ini telah memakan masa 15 minit dan tentunya melambatkan perjalanan kumpulan ini ke ceramah seterusnya di Markaz PAS Taman Saujana, Plentong.

Setelah sampai di kawasan ceramah di Taman Saujana terdapat beberapa provokasi yang boleh menjadi punca pergaduhan seperti :

Terdapat sekumpulan anak muda berpakaian UMNO membuat bising dengan kata-kata yang kesat seolah-olah mahu membuat provokasi.
Terdapat bunga api yang telah dibaling di tengah kawasan ceramah.
Terdapat banner yang menyatakan Dato Seri Anwar adalah penghianat negara

Malangnya provokasi ini tidak langsung dihalang oleh pihak polis.

Berdasarkan kepada peristiwa yang telah berlaku maka pemuda Pakatan Rakyat berpendapat bahawa :

Pihak polis telah cuba menghalang rakyat untuk hadir ke Ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim di Markaz PAS Taman Dahlia, Tampoi.
Pihak polis telah mendedahkan dirinya kepada persepsi yang salah dikalangan rakyat.
Pihak polis telah gagal menghalang provokasi pihak tidak bertanggungjawab.
Pihak polis telah menurunkan anggotanya yang terlalu ramai semasa ceramah Dato Seri Anwar Ibrahim di Taman Dahlia.

Justeru Pemuda Pakatan Rakyat mendesak pihak polis melaksanakan tindakan berikut:

Bertindak secara profesional dalam semua perkara khususnya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Mengelakkan pembaziran wang rakyat dengan menurunkan anggota polis yang terlalu ramai untuk melaksanakan sesuatu yang tidak perlu. Tenaga ini harus ditumpukan kepada perkara yang sangat diperlukan oleh rakyat khususnya mengekang jenayah di Johor Bahru.

Memberikan cadangan kepada pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan tempatan untuk membenarkan semua pihak menggunakan dewan-dewan orang ramai milik kerajaan untuk melaksanakan pelbagai aktiviti seperti ceramah, dialog dan lain-lain anjuran parti pembangkang.


Yang Benar


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
KETUA DEWAN PEMUDA PAS JOHOR

MOHAMAD NAZRI BIN ISMAIL
NAIB 1 KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN JOHOR

TAN HONG PIN
KETUA PEMUDA DAP NEGERI JOHOR

s.k :
- Ketua Polis Negara
- SUHAKAM
- Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

No comments:

Sociable