26 February 2007

TINDAKAN POLIS MERAHSIAKAN KEMATIAN ADALAH MELAMPAU

KENYATAAN MEDIA

(26 Februari 2007)

TAJUK :

TINDAKAN POLIS MERAHSIAKAN KEMATIAN ADALAH MELAMPAU

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) memandang serius terhadap berita yang bertajuk “Wanita kecewa polis tak beritahu anak mati” yang disiarkan di dalam Berita Minggu semalam.

Mengikut maklumat yang diperolehi daripada berita ini, seorang lelaki bernama Mohd Aziz Reman, 37 tahun telah meninggal dunia ketika dalam tahanan polis dan meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, pada 1 Januari lalu.

Walaupun ibu Allahyarham Mohd Aziz iaitu Patimah Daing Matrok tidak berhasrat meminta polis dan Jabatan Agama Johor (JAJ) menggali semula kubur anaknya di Johor Bahru yang dikebumikan tanpa pengetahuan mereka sekeluarga kerana berpuashati dengan keterangan polis serta pihak hospital namun DPPNJ mempertegaskan bahawa tindakan merahsiakan kematian dan membuat penyataan palsu adalah satu kesalahan yang tidak boleh dimaafkan.

Puan Patimah hanya mengetahui bahawa anaknya telah meninggal dunia setelah bertemu dengan anaknya untuk kali terakhir pada 6 November 2006 yang ketika itu bertugas di Jabatan Agama Johor.

Puan Patimah hanya menyedari bahawa anaknya ditahan polis apabila beliau terjumpa kereta anaknya di kawasan Balai Polis Sentral Johor Bahru pada 11 Disember 2006 namun beliau telah diberitahu bahawa anaknya telah dibebaskan pada 22 November 2006.

Pencarian Patimah berakhir apabila 16 Februari 2007 lalu, beliau dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang anggota polis yang memaklumkan Mohd Aziz sebenarnya sudah meninggal dunia lebih sebulan lalu. Pegawai polis tersebut telah memohon maaf di atas kesilapannya.


Merahsiakan kematian dan memberi penyataan bahawa anaknya telah dibebaskan pada 22 November 2006 adalah merupakan satu kesalahan yang melampau.

DPPNJ sangat kecewa dengan peristiwa ini dan menuntut penjelasan daripada pihak Polis Di Raja Malaysia. DPPNJ juga menyarankan kepada pihak keluarga Allahyarham Mohd Aziz Reman untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kegagalan polis memaklumkan lebih awal kejadian ini dan DPPNJ bersedia untuk menyediakan khidmat guaman.

Sekian.



Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor

No comments: