Johor: 6 sungai tercemar di Johor - Berita Harian
Oleh Johan Afandi
Oleh Johan Afandi
Kekotoran berpunca pembuangan sisa kilang, loji kumbahan, tangki septik, projek ternakan serta pembuangan sampah
JOHOR BAHRU: Enam lembangan sungai di Johor dikategorikan sebagai tercemar dan akan dipulihkan untuk kepentingan ekonomi negeri berkenaan.
Lembangan sungai terbabit adalah Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Tebrau, Sungai Tukang Batu, Sungai Buloh dan Sungai Perembi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Freddie Long Hoo Hin, berkata antara faktor yang menyumbang kepada pencemaran sungai itu adalah loji kumbahan, tangki septik, pusat ternakan binatang, punca industri selain pembuangan sampah, aktiviti kerja tanah, pertanian dan pengambilan pasir.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada usaha pemuliharaan Sungai Skudai, sungai utama dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) walaupun ia dikategorikan sebagai sederhana tercemar.
Penekanan ini dibuat kerana Sungai Skudai, sepanjang 52 kilometer dan kawasan tadahan seluas 325 kilometer persegi mempunyai nilai estetika dan kepentingan ekonomi serta rekreasi seperti Teluk Danga,katanya.
Long berkata, satu kajian terperinci sudah dilakukan terhadap Sungai Skudai dan ia sudah siap sepenuhnya pada 2002, dengan sebahagian program pembersihan sedang dilaksanakan, manakala bakinya di bawah program WPI.
Katanya, antara program pembersihan yang sudah dijalankan adalah penggunaan mikro organisma berkesan (EM), memasang perangkap sampah dan pemasangan alat perangkap minyak di medan selera, restoran serta kantin sekolah di sekitar lembangan Sungai Skudai.
"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga menekankan penggunaan saliran Manual Saliran Mesra Alam (Masma) dalam setiap projek pembangunan tanah dalam lembangan Sungai Skudai dengan menitik berat kawalan punca bagi kualiti dan kuantiti air," katanya.
Selain itu, Long berkata, kempen kesedaran dan pendidikan kepada penduduk sepanjang sungai ini, termasuk murid sekolah, guru, Jawatankuasa Kecil Keselamatan Kampung (JKKK) serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga dijalankan.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri juga mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga menjalankan tindakan pemeriksaan dan pemantauan di tempat terpilih di sekitar Sungai Skudai.
"JAS menerima sembilan aduan pencemaran Sungai Skudai sepanjang tahun lalu dan semuanya sudah diambil tindakan, manakala terdapat lima projek di kawasan berhampiran sungai ini, mendapat kelulusan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) dan lapan lawatan penguatkuasaan sudah dijalankan," katanya.
No comments:
Post a Comment