07 July 2008

LUAHAN RASA KETUA PEMUDA JOHOR: KENAPA PEMUDA PAS TARIK DIRI?

Sepanjang hari Ahad semalam, saya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penyiapan ucaptema Dewan Pemuda PAS Negeri Johor yang akan disampaikan ketika Muktamar DPPNJ pada 12 Julai 2008 ini.

Perkembangan politik yang tidak menentu membuatkan saya mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan ucaptema ini berbanding tahun-tahun terdahulu yang mana ucaptema dapat disediakan awal dengan siap dicetak untuk koleksi dan panduan pemuda PAS di Johor.

Pada kali nampaknya ada perbezaan, perwakilan sudah pasti tidak akan mendapat buku ucaptema semasa upacara perasmian nanti. Muktamar pada kali ini memilih tajuk “Pemuda Melangkah Kehadapan” sebagai satu gambaran bahawa DPPNJ memilih untuk bergerak dengan lebih gigih bagi memastikan bahawa Johor akan ditawan dalam pilihanraya umum yang ke 13 akan datang.

Semalam, ramai yang menghubungi saya bertanya kenapa saya tidak ke Kelana Jaya. Keputusan saya muktamat seperti mana yang telah diketahui oleh rakan-rakan pemuda khususnya di Johor.

Bagi saya, kemuncak bantahan kenaikan harga minyak adalah di Johor Bahru pada 4 Julai yang lalu. Walaupun kehadirannya seramai sekitar 500 orang sahaja tetapi himpunan dalam tempoh dua jam tersebut berjaya diadakan di tengah bandaraya Johor Bahru dan lebih menarik lagi, ia diadakan di hadapan Bukit Timbalan.

Daripada wajah-wajah peserta pada hari itu jelas terbayang kepuasan kerana suara rakyat dalat dijelmakan melalui himpunan aman yang cukup terancang. Ucapan demi ucapan disalurkan melalui pembesar suara dan orang ramai yang melalui kawasan tersebut memberi sokongan kepada kami.

Dua kali saya mengulas tentang himpunan PROTES sebelum ia diadakan semalam. Pertamanya pada 30 Jun 2008 dan yang keduanya pada 4 Julai 2008. Saya sudah membayangkan apa yang akan berlaku di dalam himpunan tersebut. Di dalam mesyuarat tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat pada 30 Jun 2008 telah menetapkan bahawa sdr Sabki (Setiausaha DPPP), sdr Kamarulzaman dan saya akan mewakili DPPP untuk membantah slot konsert yang telah dijadualkan pada peringkat awal. Kerana ada urusan yang perlu didahulukan maka sdr Sabki tidak dapat hadir ke dalam mesyuarat tersebut maka saya dan sdr Kamarulzaman telah hadir dalam mesyuarat tersebut.

Saya sendiri telah mencadangkan agar program tersebut dimulakan pada sebelah petang kerana sudah pasti program yang panjang bermula daripada pagi sehingga ke tengah malam bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana peserta yang datang sudah tentu ada dikalangan mereka daripada jauh.

Perkara yang penting yang telah dilakukan oleh DPPP adalah bantahan terhadap konsert tersebut dan ianya telah diterima oleh jawatankuasa tersebut. Sdr Kamarulzaman (Ketua DPPWP) telah diamanahkan sebagai jawatankuasa persembahan di dalam program tersebut.

Saya difahamkan bahawa persembahan kumpulan underground yang telah memecah belahkan himpunan semalam tidak disenaraikan selepas DPPP membuat bantahan. Keseluruhan persembahan di dalam program ini berasaskan kepada persembahan kebudayaan dan puisi. Sebab itulah, DPPP bersetuju untuk mengerahkan pemuda PAS diseluruh negara untuk hadir sama menjayakan himpunan ini (walaupun sebenarnya hati ini berat sekali).

Apabila program ini ditukarkan ke Stadium Kelana Jaya, hati saya yang berat ini sudah sampai ke tahap maksima keberatannya. Selepas himpunan aman yang diadakan di Johor Bahru pada 4 Julai yang lalu, hati saya tertutup untuk ke KL.

Pemuda-pemuda PAS Johor memberikan laporan kepada saya sepanjang aktiviti ini dijalankan semalam. Sehinggalah, saya dimaklumkan bahawa DPPP telah menarik diri daripada meneruskan penglibatannya dalam PROTES. Saya kerap merujuk ke dalam harakahdaily dan Malaysiakini untuk mengetahui perkembangan himpunan PROTES semalam. Apabila saya membaca berita bahawa 700 anggota Unit Amal menarik diri daripada himpunan tersebut, saya pasti sudah tentu konsert tersebut diteruskan juga. Sekalung tahniah kepada DPPP dan Unit Amal kerana mengambil tindakan menarik diri daripada meneruskan tugas semalam.

Bagi saya, himpunan aman BERSIH yang diadakan pada bulan November 2007 adalah himpunan yang terbaik. Ia dirancang dengan teliti, dilaksanakan dengan teliti, dan ditamatkan dengan teliti. Saya melihat bahawa jawatankuasa PROTES perlu mendapatkan tunjuk ajar daripada jawatankuasa BERSIH pada masa akan datang.

Jadikanlah himpunan semalam sebagai iktibar kepada kita semua. Bagi saya, PAS telah jelas dasar perjuangannya. Tiada sebab untuk berkompromi dalam apa jua keadaan sekiranya perkompromian tersebut mencalar hati dan perasaan ahli PAS. PAS tetap dengan dasar Islam, maka semua pihak diharapkan dapat memahami bahawa PAS tidak merelakan Islam dipermainkan.

Justeru apabila Islam dipermainkan maka DPPP mengambil langkah yang drastik meninggalkan himpunan tersebut untuk memastikan bahawa kesucian perjuangan ini tidak dihina pada masa akan datang.

Sdr Khairul Faizi Ahmad Kamil,
Ketua DPPN Johor .

No comments:

Sociable