23 November 2009

Pemuda PAS Johor Kesal Polis Tunduk Kepada Pemuda UMNO

Semalam (22 November 2009), PKR Johor telah mengadakan program Tawan Johor Siri ke-2 bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemuncaknya diadakan ceramah “Mengilap Harapan Rakyat” yang diadakan di Batu 31, Kampung Air Manis, Cabang Kulai. Program ini diuruskan oleh sahabat-sahabat di dalam AMK Johor yang dipimpin oleh sdr Zabidi Abas.

Namun, peristiwa yang tidak sepatutnya berlaku telah terjadi pada malam tadi apabila permit ceramah yang telah diberikan oleh Polis Kulai telah ditarik balik pada saat akhir akibat daripada bantahan kira-kira 30 Pemuda UMNO.

Ceramah tersebut sempat memberikan ruang kepada YB Tian Chua dan YB Dr Boo Cheng Hau memberikan ucapan dan DSAI hanya mampu berucap selama 10 minit sebelum ianya dihentikan oleh polis yang bertugas.

Siapakah sebenarnya yang lebih berkuasa untuk menentukan sesuatu ceramah itu boleh diadakan ataupun tidak? Adakah Polis atau Pemuda UMNO? Apabila Polis telah memberikan permit pada peringkat awalnya, sudah tentu segala aspek telah diambil kira termasuklah aspek keselamatan. Jika tidak, permit tidak akan dikeluarkan melainkan daripada awal-awal lagi telah ada campur tangan daripada ‘orang politik’ yang takut dengan bayang-bayang sendiri.

Apabila polis menarik semua permit ceramah akibat daripada bantahan Pemuda UMNO, sudah tentu polis akan dilabelkan sebagai ‘alat UMNO’ yang cukup takut untuk menjalankan tugas walaupun tindakan mereka itu pada peringkat awalnya mengikut lunas undang-undang.

Adakah selepas ini hanya cukup dengan bantahan sedemikian rupa polis akan membatalkan sesuatu permit? Katakan UMNO mengadakan program ceramah dan anak-anak muda daripada AMK pula membuat bantahan, adakah Polis akan membatalkan program tersebut?

Tindakan menarik semula permit tersebut telah melanggar hak asasi dan kebebasan rakyat dalam negara. Bukan sekadar itu sahaja, tindakan tersebut merendahkan lagi martabat polis di mata rakyat Malaysia yang cintakan keadilan dan keamanan.

Laporan Polis dan tindakan mahkamah mesti segera dibuat dan Pemuda PAS Johor bersedia untuk bersama-sama dalam memperjuangkan hak ini.

LAWAN TETAP LAWAN, TAWAN JOHOR PRU13!

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil

No comments:

Sociable