03 February 2010

KONSEP SEBENAR 1MALAYSIA DITERJEMAHKAN OLEH DATUK NASIR SAFAR DI MELAKA


KENYATAAN MEDIA
(3 Februari 2010, 18 Safar 1431)

No rujukan : PAS/DPP.12/2.07(06/10)


TAJUK
KONSEP SEBENAR 1MALAYSIA DITERJEMAHKAN OLEH DATUK NASIR SAFAR DI MELAKA

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) tidak terkejut dengan kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Nasir Safar, pegawai Khas kepada Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk seri Najib Tun Razak berkaitan dengan label yang telah diberikan kepada rakyat Malaysia daripada kaum Cina dan India.

Datuk Nasir Safar adalah merupakan pegawai khas kepada Perdana Menteri yang dilihat sebagai individu yang cukup kuat mendokong aspirasi Perdana Menteri Malaysia ketika ini. Beliau dilihat sebagai individu yang kerap menyampaikan penerangan konsep 1Malaysia di seluruh negara. Beliau cukup yakin dengan maklumat yang disampaikan kepada pendengar bahawa konsep 1Malaysia yang diinspirasikan oleh PM adalah satu konsep yang terbaik untuk menyatupadukan rakyat Malaysia.

Namun, segalanya berubah apabila beliau telah terlanjur dalam kata-katanya ketika berucap pada seminar '1Malaysia' yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Budaya di MITC, Ayer Keroh Melaka semalam, menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Nasir telah melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang dan mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM. Nasir dikatakan membuat kenyataan demikian ketika merujuk kepada beberapa isu dan tuntutan yang dibuat oleh kaum bukan Melayu dalam soal polisi pendidikan negara.

Pada forum 1Malaysia tersebut Nasir dikatakan telah menyatakan bahawa kaum bukan Melayu di negara ini asalnya adalah pendatang dan peminta sedekah. Nasir telah mengumumkan kesediaan untuk meletakkan jawatan dan memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.

Berikutan daripada kenyataan terlampau Nasir, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu kenyataan malam tadi dengan menyatakan bahawa kenyataan yang didakwa dibuat oleh Nasir "dalam keadaan apa cara sekalipun tidak mencerminkan pandangan Perdana Menteri."

DPPNJ melihat bahawa kenyataan Nasir sebagai individu yang mendapat kepercayaan yang tinggi daripada PM sudah tentu lebih arif tentang realiti sebenar perpaduan kaum di Malaysia lebih-lebih lagi beliau kerap kali diutuskan untuk menyampaikan taklimat dipelbagai peringkat tentang konsep sebenar 1Malaysia.

DPPNJ percaya bahawa kenyataan Nasir berkaitan dengan melabelkan kaum bukan Melayu sebagai pendatang dan peminta sedekah semasa forum 1Malaysia di Melaka ini sebagai satu kenyataan yang jujur daripada beliau mengikut apa yang beliau telah hadapi dan lalui, bukannya sebagai satu kenyataan yang tidak disengajakan.

Apa yang berlaku, mungkin Nasir tidak menyangkakan bahawa akan berlaku protes dan bantahan daripada MIC dan MCA yang hadir dalam majlis tersebut yang akhirnya membawa kepada perletakkan jawatannya sebagai pegawai Khas PM.

DPPNJ melihat bahawa kenyataan Datuk Nasir akan lebih menguatkan dakwaan bahawa konsep 1Malaysia yang dicanangkan kepada masyarakat Malaysia oleh Najib Razak pada hari ini adalah sebagai satu slogan untuk menipu rakyat supaya berpaut kembali kepada UMNO/BN terutamanya masyarakat Cina dan India sedangkan masalah utama yang menyebabkan perselisihan dan perbalahan kaum tidak diselesaikan.

Konsep 1Malaysia hanyalah merupakan satu penjelmaan semula UMNO/BN yang telah disolek supaya rakyat tidak sedar bahawa luarannya dilihat cantik tetapi realitinya badannya tetap sama.

Terima kasih Datuk Nasir Safar kerana memberikan gambaran sebenar tentang konsep 1Malaysia.

Sekian

PEMUDA PENGGERAK PERJUANGAN

Yang benar,


KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
http://minda-kembara.com/
http://www.facebook.com/khairul.faizi1
Tel : 019-7701830

No comments:

Sociable