09 April 2010

Akhirnya MB Johor Respon Terhadap Isu Johor Bakal Muflis 2012


MB Johor nafi kerajaan negeri muflis 2012

2010/04/09

AYER HITAM: Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menafikan dakwaan pembangkang yang mengatakan kerajaan negeri akan muflis pada 2012 berikutan menanggung beban hutang yang besar, dan menganggapnya sebagai tuduhan yang amat jahat.

Beliau berkata, tuduhan berkenaan didalangi Pas dan DAP, yang kini membawa isu berkenaan pada kempen jelajah mereka bagi mempengaruhi sentimen rakyat negeri ini.

“Saya ingin menafikan tuduhan berkenaan kerana kedudukan kewangan kerajaan negeri tidak seperti didakwa pembangkang. Tuduhan berkenaan berniat jahat untuk meracuni pemikiran serta menakut-nakutkan rakyat negeri ini.

“Memang jika dilihat secara kasar jumlah defisit yang terkumpul besar tetapi ia disebabkan liabiliti terkumpul dalam sektor air dan pinjaman anak syarikat kerajaan Johor iaitu JCorp, di mana kerajaan negeri adalah penjaminnya.

“Namun, liabiliti terkumpul dalam sektor air sudah diambil alih Kerajaan Pusat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), manakala JCorp pula adalah sebuah syarikat yang kukuh dan mampu membayar hutang mereka sendiri,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke kawasan Parlimen Ayer Hitam, di sini, semalam.

Abdul Ghani berkata, isu itu timbul mungkin selepas pihak terbabit menganggap jumlah pinjaman tinggi yang dilakukan JCorp itu sebagai hutang kerajaan negeri.

“Memang kerajaan negeri adalah penjamin pinjaman berkenaan tetapi perlu diingat JCorp adalah sebuah syarikat besar dan kukuh serta lebih daripada mampu untuk melangsaikan segala hutang yang mereka ada, kerajaan negeri tidak menanggung beban hutang syarikat berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mempunyai sumber kewangan mencukupi menerusi aset seperti rizab dan hasil tahunan yang boleh digunakan sebagai perbelanjaan mengurus negeri.

“Kerajaan negeri sentiasa berhemah dalam perbelanjaan pembangunan negeri dan hanya akan berbelanja untuk kepentingan dan manfaat rakyat saja,” katanya

Sumber : Berita Harian

No comments: