06 May 2005

KENAIKKAN HARGA TERBARU PETROL DAN DIESEL ADALAH TANDA KEZALIMAN KERAJAAN TERHADAP RAKYAT

KENYATAAN MEDIA
(05 Mei 2005)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melahirkan rasa penuh kecewa dengan tindakan kerajaan Malaysia melalui kenyataan akhbar daripada Pejabat Perdana Menteri mengumumkan kenaikkan harga Minyak Petrol dan Diesel yang berkuatkuasa pada hari ini. Kenaikkan kali kedua dalam tempoh 8 bulan setelah dinaikkan sebanyak 5 sen seliter pada bulan Oktober tahun lalu sekali lagi kerajaan semalam mengumumkan kenaikan harga diesel dan petrol dan kali ini sebanyak 20 sen dan 10 sen seliter setiap satu pula.

Bersandarkan kepada alasan kerajaan bahawa kenaikan ini adalah sebagai langkah untuk membendung peningkatan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk produk petroleum dan sekiranya tindakan ini tidak dilakukan bermakna kerajaan akan menanggung subsidi sebanyak RM8.9 billion bagi tahun 2005 ini, kenaikan harga minyak ini adalah merupakan satu tindakan yang tidak dapat dielakkan dan mesti dilakukan dengan kadar segera.

Bayangkan, kenaikkan 10% tambang perkhidmatan pengangkutan awam baru sahaja dilaksanakan pada 1 Mei 2005, tidak mustahil selepas kenaikkan harga baru minyak ini pihak Persatuan Pengangkutan awam akan membuat tuntutan baru bagi menaikkan tambang yang baru dengan alasan terpaksa menangung kos diesel yang baru.

Tepatlah jangkaan Ahli Parlimen Kubang Krian, YB Salahuddin Bin Ayub semasa membahaskan isu kekurangan Diesel dalam sidang Parlimen baru-baru ini bahawa tindakan kerajaan menghadkan Kuota diesel seolah-olahnya strategi kerajaan untuk melonjakkan lagi harga diesel di Malaysia.

DPPN Johor kesal dengan sikap kerajaan yang sering menggunakan tektik dengan membandingkan harga kenaikan murah di Malaysia dengan negara-negara Asean yang lain kecuali Brunei yang sebagai satu alasan untuk menghalalkan tindakan mereka walaupun Malaysia dan Brunei adalah negara pengeluar minyak tetapi kerajaan Malaysia tidak bersedia untuk membandingkan harga minyak di Malaysia dengan harga dengan negara-negara maju yang lain yang bukan juga negara pengeluar minyak seperti United Kingdom, Australia dan negara-negara Eropah yang lain.
Apapun, DPPN Johor yakin bahawa selepas daripada kenaikkan harga petrol dan Diesel ini, pelbagai bentuk kenaikan harga barangan dan perkhidmatan akan kedengaran bersandarkan pengalaman yang lalu. Selepas ini tidak mustahil akan berlaku kenaikkan harga barangan runcit, kenaikkan harga kos pengangkutan awam dan pelbagai kenaikkan harga barangan walaupun Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telahpun mengeluarkan amaran keras kepada para peniaga supaya tidak sesekali menaikkan harga barangan berikutan kenaikan harga diesel dan petrol masing-masing sebanyak 20 dan 10 sen.

DPPN Johor yakin bahawa rakyat Malaysia tidak dapat menerima dengan keputusan kerajaan ini kerana tindakan ini akan menambahkan lagi beban kewangan rakyat yang kini kian tersepit. Rakyat Malaysia terpaksa hidup di dalam keadaan tertekan dengan kenaikkan kos hidup yang semakin tinggi sedangkan dalam masa yang sama pemimpin kerajaan semakin senang khususnya setelah Parlimen meluluskan cadangan menaikkan gaji dan elaun ahli Parlimen sebanyak 10% melalui Rang Undang-undang Ahli Parlimen (Saraan) (Pindaan) 2005 bermula pada 1 Januari 2004. Kenaikkan gaji dan elaun seramai 219 orang yang dikira bermula 1 Januari 2004 yang lepas juga dilihat sebagai tidak adil bagi rakyat, walaupun kenaikkan itu meliputi ahli Parlimen dari kalangan Pembangkang.

DPPN Johor melihat tindakan kerajaan ini sebenarnya menyerlahkan lagi kepincangan dan kegagalan kerajaan dalam menangani soal kebajikan rakyat Malaysia dan secara tidak langsungnya menampakkan bahawa Islam Hadhari yang diperjuangkan oleh kerajaan hanyalah untuk mengaburi mata rakyat supaya mereka terus menyokong kerajaan yang ada pada hari ini. DPPN Johor mengharapkan agar kezaliman kerajaan ini akan membuka mata rakyat Malaysia supa mereka jangan terus tertipu dengan janji-janji manis yang akhirnya rakyat jugalah yang akan menerima segala bala.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

No comments: