13 May 2005

KRISIS KEKURANGAN DAN PENCEMARAN AIR DI JOHOR PERLU DITANGANI SEGERA

KENYATAAN MEDIA
(12 Mei 2005)


Saya ingin merujuk kepada kenyataan akhbar bertajuk SAJH kesan tiga kimia di Sungai Semberong (Berita Harian ; 10 Mei 2005), Catuan Air Jika Bekalan Kritikal (Utusan Malaysia : 10 Mei 2005), Cadang Guna Dua Sumber Bekalan Air (Utusan Malaysia : 11 Mei 2005) dan Bekalan Air Tercemar Punca Gangguan Air (Berita Harian : 31 Mac 2005)

Hari ini Harian Metro (edisi Johor) bertarikh 12 Mei 2005 telah menyiarkan berita utama tentang Sungai Bekok yang beracun dengan kandungan aluminium dan manganese yang tinggi mengancam 350,000 penduduk Batu Pahat dan persekitarannya. Air Sungai ini menjadi sumber air mentah kepada Loji Yong Peng 1 dan Loji Yong Peng 2.

Semalam (11 Mei 2005), disiarkan di dalam Utusan Malaysia kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Bin Othman telah mencadangkan agar Sungai Kahang dan Empangan Machap dijadikan sebagai sumber bekalan air bagi Empangan Semberong Barat yang semakin kritikal di mana paras air semakin meruncing ke tahap 7.09 meter kerana empangan ini bergantung sepenuhnya kepada air hujan.

Pada 10 Mei 2005, disiarkan pula di dalam Utusan Malaysia bahawa catuan air bagi seluruh Daerah Batu Pahat dan Kluang akan dibuat dalam tempoh satu minggu lagi jika sumber bekalan air semakin kritikal.

Pada 9 Mei 2005 pula, Berita Harian mendedahkan bahawa Syarikat Air Johor Holding (SAJH) telah mengesan tiga bahan kimia di Sungai Semberong sehingga mencemarkan dan menjejaskan operasi di Loji Air Parit Raja, Batu Pahat yang dikatakan telah dapat dikesan sejak awal tahun 2005 di Sungai tersebut.

Pada 31 Mac 2005 disiarkan di dalam akhbar Berita Harian tentang bekalan air tercemar menjadi punca gangguan air disekitar Daerah Batu Pahat. Puncannya adalah kerana aktiviti pembakaran, pembajaan dan kerja-kerja meracun oleh pekebun di sepanjang sungai tersebut.

Melalui maklumat ini, kita boleh simpulkan bahawa masalah ketiadaan air di Daerah Batu Pahat dan Kluang adalah berpunca daripada masalah kurangnya hujan dan masalah pencemaran sehingga menyebabkan hari ini penduduk di sebahagian negeri Johor sedang hidup dalam kebimbangan kerana berita mengenai pencemaran air dan kekurangan air semakin menjadi-jadi.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) ingin mengingatkan kerajaan Negeri Johor bahawa janji kerajaan negeri Johor semasa mengambil tindakan menswastakan air pada 20 April 1999 adalah untuk memperbaiki pengurusan air di Johor. Rakyat terpaksa menanggung tariff air yang tinggi dengan kenaikan sebanyak 2 kali dalam masa 3 tahun telah memeritkan rakyat Johor. Jangan lupa dengan kenaikan pada 1 Julai 2003 yang dikenakan oleh SAJH sebagai kenaikan kedua dengan bayaran RM 17.50 untuk 25 meter padu sebulan berbanding RM 14.00 pada 1 Jun 2001 dengan kadar yang sama. Sudahlah rakyat terbeban dengan kos tariff air yang semakin tinggi, kini rakyat terpaksa menanggung akibat ketiadaan air dengan alasan yang sepatutnya pihak kerajaan boleh atasi pada peringkat dari awal lagi. Hujan tidak turun tidak boleh dijadikan alasan semata-mata untuk menutup kelemahan yang berlaku.

DPPN Johor juga mendapati bahawa SAJH telahpun mengenalpasti punca pencemaran yang melanda Sungai Semberong. Berita tentang perkara ini telah dikeluarkan pada 31 Mac 2005 telah menyebut bahawa masalah pencemaran tersebut telah berjaya di atasi setelah mengenalpasti punca pencemaran tetapi pada 31 Mei 2005 berita bahawa SAJH mengesan tiga jenis bahan kimia di Sungai Semberong sehingga mencemar dan menjejaskan operasi di Loji Air Parit Raja. Adakah pihak kerajaan telah mengambil tindakan untuk mengatasi punca-punca masalah ini?.

Persoalannya, sekiranya puncanya telah dikenalpasti dan berjaya di atasi, kenapa masalah pencemaran air terus berlaku?. Adakah pihak kerajaan tidak mengambil langkah-langkah setelah menerima maklumat mengenai pencemaran ini sehingga terpaksa menunggu keadaan menjadi lebih kritikal?. Menteri Besar Johor telah menyatakan bahawa kerajaan negeri telah mengesan pencerobohan di sebahagian daripada 718 hektar kawasan Empangan Semberong sehingga menyebabkan air takungan empangan tersebut tercemar. Maka DPPN Johor mendesak supaya kerajaan mengambil tindakan serius terhadap perkara ini dengan mengadakan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit bukan hanya sekadar memantau secara berterusan sahaja.

Saya mengharapkan agar masalah yang dihadapi oleh rakyat Johor khususnya di Kluang dan Batu Pahat dapat diatasi sesegera yang mungkin bukannya hanya dengan bermain dengan alasan-alasan.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7219913/012-7811830

No comments: