23 October 2006

BEBASKAN SEGERA SEMUA TAHANAN ISA

KENYATAAN MEDIA
(23 Oktober 2006)

Pemuda Barisan Alternatif Negeri Johor (Pemuda BA Johor) melahirkan rasa syukur di atas pembebasan beberapa tahanan ISA yang sebelum ini dituduh terlibat dengan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) dan Jemaah Islamiyah (JI). Sememangnya mereka tidak sepatutnya ditahan pada peringkat awal lagi

Bermula dengan pembebasan tahanan KMM pada 18 Oktober 2006 yang telah menghuni secara paksa kem tahanan selama 5 tahun yang melibatkan pembebasan Ut Nik Adli Nik Abd Aziz ialah Mohd Rafi Udin, Zid Shaharani Mohd Isa, Ahmad Pozi Darman, Zainon Ismail dan Md Lotfi Ariffin. Mereka telah ditahan di bawah Seksyen 73(1) Akta ISA 1960 berkuat kuasa 24 September 2001.

Begitu juga dengan pembebasan lima tahanan ISA lain yang didakwa terbabit dengan Jemaah Islamiyah (JI) turut dibebaskan pada hari yang sama iaitu Abdul Samad Shukri Ismail, Mazlan Ishak, Syed Ali Syed Abdullah dan Abdul Manaf Kasmuri, semuanya dari Selangor manakala seorang lagi iaitu Alias Sani, berasal dari Sandakan, Sabah.

Sementara itu pada 19 Oktober 2006 pula enam lagi tahanan ISA dibebaskan, menjadikan kesemua tahanan ISA yang dibebaskan setakat ini berjumlah 17 orang.

Keenam-enam mereka ialah Sharil Hat dari Larut Matang, Perak, Mohd. Nasri Ismail (Shah Alam), Jafar Saldin (Johor Bahru), Yusrin Haiti (Kuala Langat, Selangor), Mohd. Amin Musa (Muar) dan Alias Othman (Hilir Perak) dan mereka adalah yang didakwa mengganggotai kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Pembebasan ini adalah hadiah yang paling berharga kepada isteri, anak-anak dan keluarga tahanan yang telah merana menanti kepulangan mereka. Ini membuktikan komitmen dan keyakinan seluruh pejuangan dan aktivis yang tidak henti-henti menentang kezaliman ISA telah mendatangkan hasil kerana tekanan seperti ini cukup membimbangkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, masih ramai lagi tahanan yang belum dibebaskan. Mengikut maklumat yang disimpan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) terdapat seramai 40 orang tahanan ISA yang masih ‘disimpan’ di Kem Tahanan (Kemta) Kemunting. Justeru Pemuda BA Johor menyanggah kenyataan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Mohd Johari Baharom bahawa kesemua tahanan ISA yang dikaitan dengan KMM dan JI telah dibebaskan kesemuanya. Kenyataan yang tidak bertanggung jawab ini perlu diperbetulkan dengan membebaskan kesemua tahanan yang masih ada.

Pemuda BA Johor juga menyokong tindakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abd Aziz Bin Nik Mat di atas skap untuk tidak berterima kasih kepada kerajaan kerana membebaskan anaknya. Bagaimana tidak, sehingga ke hari ini masih tidak dapat dibuktikan oleh kerajaan terhadap Nik Adli dan tahanan yang lain bahawa mereka terlibat dengan kumpulan yang kononnya digelar KMM dan JI. Pemuda BA Johor mendesak agar kerajaan memohon maaf secara terbuka terhadap penahanan ini dan mencadangkan agar kesemua tahanan membawa kes penahanan ini ke mahkamah.

Pemuda BA Johor juga akan terus komited untuk menjaga kebajikan keluarga tahanan ISA yang ada di negeri Johor. Pada 15 Oktober 2006 yang lalu, satu program khas bersama keluarga tahanan ISA telah diadakan untuk memberikan sumbangan sempena Idilfitri ini. Pemuda BA Johor juga mengharapkan agar seluruh keluarga tahanan ISA di negeri Johor turut sama dalam gerakan Pemuda BA Johor untuk membebaskan suami mereka.

Setelah berlakunya pembebasan 17 tahanan ISA di seluruh Negara dan 3 daripadanya adalah di Johor, sehingga kini masih lagi terdapat 10 orang tahanan ISA daripada negeri Johor yang masih belum dibebaskan lagi. Pemuda BA Johor mendesak agar kesemua tahanan ini dibebaskan segera.
Sekian, wassalam.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Dewan Pemuda PAS Johor

Nurin Aina Binti Abdullah
Timbalan Pengerusi Pemuda BA Negeri Johor
Ketua Angkatan Muda Keadilan Johor

No comments: