11 January 2007

BETUL KE PAK LAH BERCUTI KE PERTH MASA BANJIR DI JOHOR?

Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini. com(http://www.malaysia kini.com/ news/61904) semalam bahawa Pak Lah telah bercuti ke Perth setelah pulang seketika daripada Venezuela pada 23 Disember 2006 untuk melawat mangsa banjir di Johor.
Selepas lawatan sehari bertemu dengan mangsa banjir di Johor dan mendapat liputan media secara meluas untuk membuktikan bahawa Pak Lah sangat prihatin dengan keadaan mangsa banjir, Pak Lah dikatakan telah berlepas ke Australia untuk bercuti malah mengambil kesempatan untuk merasmikan sebuah restoran "PUTERI NASI KANDAR" di Perth.
Saya sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Johor dan anak jati Johor melahirkan rasa terkilan yang teramat sangat dengan sikap beliau yang hanya memperuntukkan sehari sahaja untuk 'menjengok' rakyat Johor yang juga merupakan kubu kuat UMNO dalam dunia. Malah, tidak terpanggil untuk membatalkan cuti beliau serta masih mempunyai masa untuk merasmikan sebuah restoran.
Nampaknya, Pak Lah semakin lemah dalam pentadbirannya sehingga tidak tahu untuk membezakan yang mana yang lebih perlu diutamakan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Ketika jentera kerajaan dilabelkan sebagai "lembab dan lumpuh" semasa operasi menyelamatkan mangsa banjir di Johor baru-baru ini, ramai yang mengadu di mana wakil rakyat BN. Sekarang terjawablah segala persoalan.
Patutlah ramai wakil rakyat BN di Johor tidak kelihatan , rupa-rupanya mereka mencontohi apa yang pemimpin lakukan. Inilah yang dikatakan "Kepimpinan Melalui Tauladan".
Macamana orang Johor? Masih taat setia pada UMNO/BN & kepimpinannya?

Wassalam.

No comments:

Sociable