31 January 2007

KENYATAAN MEDIA DPPNJ

KENYATAAN MEDIA
(31 Januari 2007)

TAJUK :

KELEMAHAN KERAJAAN PUNCA SEBENAR BANJIR DI KOTA TINGGI


Cadangan Pengurus Tapak, Tanah Lembap Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar), Harban Singh yang disiarkan di dalam media semalam (Berita Harian, 30 Januari 2007) yang mengatakan kaedah terbaik bagi menangani banjir pada masa akan datang ialah dengan membina bandar baru di daerah itu di kawasan lebih tinggi adalah tidak wajar dilakukan kerana ia bukanlah penyelesaian terhadap masalah sebenar yang dihadapi.

Kebimbangan terhadap kesan daripada penambakan laut oleh kerajaan Singapura sebenarnya telah lama diperbincangkan namun persoalannya, apakah kerajaan tidak pernah menyedari masalah terhadap akan berlakunya banjir daripada berlaku?

Sebelum ini, kajian yang dibentangkan oleh Prof Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah, Pakar Teknikal Jabatan Geografi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini telahpun mendedahkan bahawa projek penambakan laut oleh Singapura memberi kesan buruk terhadap alam sekitar, ekologi pantai dan muara Sungai Johor dan Selat Johor.

Beliau berkata kerja penambakan itu akan memberi kesan buruk terhadap keadaan hidrodinamik pantai dan sifat gelombang. Kesan itu meliputi aliran keladak, hakisan, kadar mendapan, hidroekologi, pendudukan, perikanan, aliran air pasang surut, mutu air, kepekatan garam, pelayaran, tempat berlabuh dan kekukuhan jeti.

Kesan penambakan laut ini di sekitar Pulau Tekong telah menyebabkan keluasan saiz pulau tersebut bertambah sekali ganda manakala jarak pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Tanjung Pengelih menjadi semakin dekat iaitu kira-kira 0.75 kilometer (km) berbanding 1.8 km sebelum ini.

Baru-baru ini, Pengarah Institut Kejuruteraan Kajian Pantai dan Lepas Pantai Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Ahmad Khairi Abdul Wahab mengingatkan pihak kerajaan yang sedang merangka pelan menangani banjir di Johor perlu mengambil kira pelbagai faktor yang menyumbang kepada berlakunya bencana tersebut, termasuk kesan dari projek penambakan laut oleh Singapura di dua buah pulau berhampiran muara Sungai Johor.

Beliau berkata, kajian saintifik mengenai banjir terutamanya di Kota Tinggi dan kawasan sepanjang Sungai Johor perlu turut mengambil kira kesan-kesan dari penambakan di Pulau Ubin dan Pulau Tekong Besar itu.

Kecaman terhadap Singapura yang tidak mengendahkan bantahan penambakan laut bukan sahaja lahir daripada kerajaan Malaysia tetapi juga daripada semua pihak termasuk PAS. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) sebelum ini telahpun mendedahkan bagaimana aktiviti penjualan pasir laut telah dibuat termasuk kerja-kerja membekalkan pasir kepada Singapura di antaranya adalah pasir di Teluk Ramunia, Johor yang akhirnya telah diperakui sendiri oleh kerajaan Johor.

Apabila kekecohan berlaku dengan kerja penambakan laut oleh Singapura diketahui umum, kabinet Malaysia telah mengarahkan beberapa kementerian iaitu Kementerian Kerja Raya, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Luar supaya menjalankan siasatan mengenai kerja penambakan laut oleh Singapura berhampiran dengan sempadan perairan Johor (Utusan Malaysia, 28 Februari 2002).

Pada 19 Mac 2002, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu telah berjanji bahawa laporan penuh siasatan penambakan laut oleh Singapura di Pulau Tekong dan Pulau Ubin akan disiapkan tidak leibh daripada tempoh enam bulan. Namun, apabila isu ini reda, hasil siasatan tersebut tidak diumumkan.

Tidak dinafikan bahawa kadar hujan yang turun dengan lebatnya dengan jumlah air yang terlalu luar biasa telah menyebabkan banjir besar berlaku di Kota Tinggi selama dua kali dalam masa tiga minggu. Namun, sekiranya langkah awal untuk mengatasi masalah penambakan pasir di perairan selat Johor dapat dilakukan, kejadian banjir besar yang menimpa penduduk Kota Tinggi dapat dielakkan.

Sudah tiba masanya rakyat Johor ’membuka mata dan minda’ agar tidak terus dipermainkan oleh UMNO/BN. Beranilah untuk melakukan perubahan.


Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments:

Sociable