Terdapat langkah yang paling sesuai bagi meringankan beban kakitangan awam sebagaimana yang pernah dicadangkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Ia bukan sahaja meringankan bebanan rakyat malah secara tidak langsung memartabatkan takwim hijrah. Perkara ini pernah disuarakan oleh Nik Abdul Aziz mengenai kealpaan orang Islam tentang takwim tersebut.
Sebagai langkah mengatasi kealpaan dan kelalaian umat Islam daripada mengingati bulan hijrah beliau mencadangkan gaji kakitangan perkhidmatan awam hendaklah dibayar pada setiap bulan hijrah.
Jika itu dilaksanakan bermakna dalam setahun kakitangan awam memperolehi hampir 12.4 kali bayaran gaji. Ini berdasarkan bulan hijrah 11 hari lebih pendek daripada bulan masehi.
Cadangan Nik Abduil Aziz itu dilihat lebih konkrit dan praktikal untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak berbanding pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bayaran gaji kakitangan awam akan dibayar dua kali sebulan.
Ansuran dua kali sebulan bukan bermakna meningkatkan pendapatan rakyat sebaliknya ia boleh meningkatkan bebanan rakyat yang berpendapatan kecil. Mungkin maksud Abdullah untuk mengawal perbelanjaan rakyat. Cadangan Abdullah itu barangkali berkesan kepada kakitangan awam yang berpendapatan tinggi.
Bagi golongan berpendapatan kecil, bagaimana bentuk penjimatan lagi yang perlu dilakukan oleh mereka. Setiap hujung bulan, bayaran sewa rumah dan ansuran kereta perlu dijelaskan. Sekiranya hanya separuh gaji yang diterima pada hujung bulan keadaan akan bertambah rumit.
Oleh yang demikian sebagaimana dakwaan Abdullah untuk meringankan bebanan rakyat akibat kenaikan harga minyak, sepatutnya beliau mengambil cadangan Nik Abdul Aziz itu yang lebih munasabah yang serentak memartabatkan takwim hijrah.
Beberapa tahun dahulu Nik Abdul Aziz pernah mencadangkan gaji kakitangan kerajaan negeri di bayar mengikut takwim hijrah bagi memartabatkan tahun tersebut di samping ia sentiasa dan mudah menjadi ingatan kepada umat Islam untuk beramal dengan bulan hijrah. Ia juga mendekatkan umat dengan peristiwa Islam serta hari kebesaran dan keagungan Islam.
Bagaimanapun cadangan tersebut senyap begitu sahaja kerana tidak bersesuaian dengan pembayaran gaji kerajaan pusat. Namun begitu Nik Abdul Aziz mungkin boleh membangkitkan semula cadangan tersebut apabila Abdullah membuat pengumuman bayaran gaji dua kali sebulan.
Pengumuman Abdullah itu tidaklah memberi erti yang besar kepada rakyat. Sebaliknya cadangan Nik Abdul Aziz ia membangkitkan nostalgia keagungan Islam serta memberi keuntungan kepada kakitangan awam.
Cadangan Nik Abdul Aziz itu juga dikatakan mendapat sokongan bukan Islam walaupun tidak dinyatakan secara terangan. Sekumpulan bukan Islam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melihat cadangan tersebut merupakan satu yung baik kepada rakyat Kelantan.
Sekiranya usaha kerajaan Kelantan berjaya ia akan menarik minat umat Islam dan bukan Islam kepada pemerintahan ulama Kelantan. Kejayaan pemerintah Kelantan merealisasikan Islam itu sebaliknya merugikan kakitangan awam di bawah kerajaan pusat dan negeri lain yang tidak diperintah oleh PAS.
Lalu mereka menghantar satu memorandum meminta kerajaan membayar gaji kakitangan awam sebanyak 13 kali setahun. Mengikut laporan NGO terbabit, tentang pelaksanaannya ia terpulang kepada satu mekanisme yang boleh dibentuk kerajaan melalui perbincangan yang lebih lanjut.
Bagaimanapun apabila kerajaan Kelantan tidak berjaya membuat perubahan pelaksaaan tersebut maka isu itu senyap begitu sahaja dan pihak NGO terbabit juga tidak lagi menuntut dengan kerajaan pusat.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berpendapat pembayaran gaji dua kali sebulan tersebut bukan cara efektif menyelesaikan masalah rakyat berikutan kenaikan harga minyak.
Cuepacs mencadangkan satu mekanisme lain, yang terbaik dan berkesan, bagi membantu mereka, kata beliau yang menyambut baik usaha kerajaan mahu membantu meringankan beban kewangan rakyat.
"Jika diberi ansuran dua kali sebulan, mereka yang berpendapatan RM5,000 atau RM6,000 tidak merasa kesannya tetapi mereka yang bergaji RM3,000 ke bawah yang meliputi 650,000 pekerja akan merasa bebanannya," ujarnya.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Abdullah bahawa kakitangan kerajaan akan dibayar dua kali dalam sebulan mulai Ogos ini.
Beliau berkata langkah itu adalah bagi memudahkan mereka mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah berikutan kenaikan harga bahan api.
"Separuh pertama akan dibayar pada pertengahan bulan dan separuh kedua akan dibayar pada hujung bulan.
"Potongan-potongan seperti cukai pendapatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya akan dilakukan pada hujung bulan," katanya.
No comments:
Post a Comment