11 June 2007

LAWATAN KERJA KE BADAN PENCEGAH RASUAH JOHOR

Hampir empat tahun berlalu namun kes rasuah berprofil tinggi yang berlaku semasa pilihan raya umum 2004 lalu sehingga kini masih belum dibawa ke muka pengadilan.
Pihak Badan Pencegah Rasuah (BPR) Johor juga difahamkan telah selesai menjalankan siasatan kes ini dan fail kes telah pun dimajukan ke BPR Putrajaya untuk tindakan selanjutnya, tetapi malangnya sehingga hari ini kes ini masih belum dibicarakan lagi.

Pada pilihan raya umum 2004 lalu, calon PAS bagi Kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Pasir Raja, Sanip Isnin, mendakwa cuba disogok oleh wakil pihak tertentu yang berjanji akan memberi imbuhan RM100,000 sekiranya beliau bersetuju menarik diri dari bertanding.
Sekiranya beliau bersetuju berbuat demikian maka calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Pasir Raja akan diisytihar menang tanpa bertanding.

Bagaimana pun hasrat pihak tertentu untuk ‘membeli’ beliau tidak kesampaian setelah cubaan ini digagalkan dan kedua-dua orang tengah yang mewakili pihak tertentu ini berjaya ditahan bersama wang tunai berjumlah RM5000 dipercayai sebagai wang pendahuluan, mereka kemudiannya diserahkan kepada BPR.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dun Pasir Raja ialah Dato’ Halimah Mohamad Sadique (sekarang exco Johor)

Bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung kes ini, Dewan Pemuda PAS Johor (DPPNJ) telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Jabatan Siasatan BPR Johor, Noraini Mohamad, yang mewakili Pengarah BPR Johor, di pejabatnya di Wisma Persekutuan, dekat sini, baru-baru ini.
Sebagaimana biasa jawapan yang beliau (Noraini) beri juga sama seperti pengarah terdahulu, "fail siasatan telah pun dihantar ke Putrajaya".

Selain isu rasuah di Dun Pasir Raja, Ketua DPP NJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil, bersama beberapa pimpinan pemuda PAS Johor, turut membincangkan isu gejala rasuah yang dilihat semakin membimbangkan mutakhir ini.
Ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan ini, beliau berkata, pemuda PAS bersedia untuk bekerjasama dengan BPR dalam usaha membanteras gejala rasuah ini.
“Antara usaha yang akan kita lakukan ialah memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung isu rasuah ini, apa itu rasuah dan bahaya rasuah terhadap negara dan bangsa," katanya lagi.

No comments:

Sociable