11 June 2007

Memorandum Tentang Mat Rempit

Tarikh 6 Jun 2007
MEMORANDUM MENGATASI MASALAH MAT REMPIT DI JOHOR


Firman Allah,
“ Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) karena Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Al-Maidah 8

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) mengambil peluang dan inisiatif untuk mengadakan pertemuan pada hari ini bagi membincangkan dan menyampaikan beberapa pandangan kepada pihak Polis Di Raja Malaysia Negeri Johor terhadap isu yang sedang membarah dalam masyarakat iaitu isu Mat Rempit.
Trend menunjukkan aksi menunggung motosikal dijalanraya dengan pelbagai bentuk gaya oleh remaja sehingga mendatangkan kecelakaan perlu dikawal dan dihapuskan segera secara menyeluruh kerana ia akan menjadi gejala sosial yang sukar dirawat.


Mat Rempit bukan lagi berempit pada malam hari tapi siang hari seperti yang dipaparkan dalam pelbagai aksi diseluruh negara dan ditayangkan dalam laman web.
Ia bukan sahaja berleluasa di kawasan bandar, malah di kampung, aksi mat rempit sentiasa mendapat perhatian murid sekolah rendah yang kemudian mencuba aksi berbahaya dengan basikalnya.
Kegilaan anak-anak muda ini bukan sahaja merbahaya tetapi menambahkan lagi kadar kemalangan dan kematian penuggang motosikal dijalanraya. Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati kes kematian di jalan raya melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini dalam tempoh tujuh tahun kian meningkat.
Pada tahun 2005, sebanyak 3,175 kematian dicatat bagi kelompok itu, berbanding 3,088 (2004), 3,166 (2003), 3,034 (2002), 2,972 (2001), 3,118 (2000) dan 2,960 (1999).


Mat Rempit bukan sekadar mengganggu ketenteraman awam dengan aksi mereka dan perlumbaan haram tetapi juga melibatkan pelbagai kes jenayah seperti pergaduhan dan keganasan termasuk mencerakan anggota polis.
Terbaru, Konstabel Mohd Daud, seorang konstabel polis cedera parah dirempuh sebuah kereta ketika mengejar sekumpulan mat rempit yang sedang berlumba di Kampung Gual Jedok, Tanah Merah pada 5 Mei 2007
Koperal Othman Bin Ismail, anggota trafik Polis Daerah Seberang Perai Tengah cedera parah di kepala, dada dan tangan akibat diserang dengan batu oleh sekumpulan lebih 200 mat rempit ketika membuat rondaan di Lebuh Raya Butterworth-Kulim pada 2 April 2007.


DPPNJ telah mengadakan pelbagai perbicangan bagi mendapatkan pandangan untuk mengatasi masalah ini mengikut pelbagai sudut termasuklah melalui tindakan yang mampu dilakukan oleh pihak keselamatan mengikut undang-undang.


Maka, Dewan Pemuda PAS Negeri Johor mencadangkan satu tindakan yang lebih drastik dapat dilakukan oleh PDRM negeri Johor ;
i. Kempen Membasmi Mat Rempit. Memandangkan bahawa Mat Rempit merupakan musuh utama di atas jalanraya masa kini maka kempen tersebut perlulah dilakukan secara besar-besaran seperti mana kempen yang dibuat untuk menangani dadah yang dilabelkan sebagai musuh utama negara. Pemplet dan risalah tentang bahaya mat rempit disebarluaskan kepada masyarakat, kain rentang dan papan tanda dinaikkan di tempat-tempat yang strategik termasuklah kawasan ‘litar perlumbaan’ mat rempit.

ii. Menahan Mat Rempit yang berkeliaran selepas waktu tertentu. DPPNJ mencadangkan agar PDRM mengadakan perintah berkurung kepada anak-anak muda yang berpeleseran tanpa tujuan pada setiap malam sehinggalah keadaan gejala Mat Rempit ini dapat dikawal.

iii. Kenakan Hukuman yang Berat. Hukuman yang berat perlu dikenakan kepada pesalah yang ditahan seperti menggantung lessen memandu seumur hidup, dirotan bagi setiap kesalahan kerana ia pasti menggerunkan pesalah dan merampas motosikal yang digunakan oleh mat rempit ketika berlumba.


Penutup
DPPNJ bersedia untuk memberikan kerjasama kepada PDRM negeri Johor bagi membendung masalah ini kerana masalah mat rempit adalah masalah masyarakat dan bagi kami semua pihak sepatutnya memberikan kerjasama dan bukannya meletakkan segala bebanan tugas kepada polis sahaja seperti mana kerjasama yang telah dilakukan oleh DPPN Kelantan dengan PDRM negeri Kelantan.
Semoga perbincangan dan padangan yang disampaikan oleh DPPNJ pada hari ni dapat memberikan membantu PDRM untuk mengurangkan seterusnya mengatasi masalah mat rempit di Johor.
Sekian, terima kasih.

Yang Menjalankan Amanah,
KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor




No comments: