14 February 2008

Pemuda Pas Johor Tumpu Di Setiap Kawasan

Dewan Pemuda Pas Negeri Johor tidak duduk diam kebelakangan ini. Malah, sejak parlimen dibubarkan semalam, gerak kerja pemuda Pas Johor di semua peringkat kawasan dan cawangan semakin rancak dan hebat.

Di setiap tempat, Pemuda Pas sentiasa tidak mengenal penat meneruskan gerak kerja parti sebagai persiapan mantap menjelang hari penamaan calon dan hari mengundi kelak. Pelbagai strategi dan perancangan telah dicatur bagi memastikan perjalanan yang bakal ditempuh berjalan dengan lancar.

Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Johor, Sdr Suhaizan Kaiat ketika diminta mengulas persiapan menjelang pilihanraya ini berkata, "semua pemuda sudah dikerah untuk menumpukan gerak kerja di kawasan masing-masing. Alhamdulillah semua pemuda Pas komited untuk membuat kerja kerana parti Islam.".

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Pusat dan Ketua Penerangan Pemuda Pas Kawasan Gelang Patah turut mengatakan bahawa penerimaan masyarakat daripada kaum Cina dan India semakin baik dan respon yang diberikan oleh mereka menampakkan yang kerajaan Barisan Nasional sudah lagi tidak releven. Perkara ini turut ditambah dengan kes tidak bermoral pemimpin MCA Johor, Chua Soi Lek. Namun, apa yang beliau kesalkan, masyarakat Melayu masih susah untuk berubah dan 'kepekatan' UMNO dan BN di benak setiap orang masih susah untuk dihakis.

Namun, itu semua bukanlah penghalang untuk Jentera Pas Johor bersama pakatan Barisan Alternatif menyerang habis habisan kubu lawan bagi menjelaskan pelbagai isu yang selama ini ditutup dan diputar belit oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional dan media tempatan.

Bagi melaksana misi tersebut, Sdr Suhaizan berkata, satu gerak kerja yang dipanggil 'Hit And Run' telah dilakuakan dengan kaedah menjelajah di setiap pelusuk tempat menggunakan kenderaan beserta pembesar suara. Di setiap tempat, penjelasan demi penjelasan akan dilakukan sebagai medium penerangan terkini di musim pilihanraya ini.

Ketika ditanya adakah beliau akan menjadi calon untuk pilihanraya kali ini, beliau hanya menjawab, "lihat saja ketika penamaan calon nanti..."

Pada pilihanraya yang lalu, Sdr Suhaizan Kaiat bertanding di Parlimen Parit Sulong dan mendapat undi sebanyak 9,788. Parlimen Parit Sulong dimenangi oleh calon BN, Syed Hood Syed Edros dengan jumlah undi 26,974 dan majoriti sebanyak 17,186. -dppnj

No comments:

Sociable