06 August 2005

CADANGAN KAJIAN SEMULA TERHADAP PEMBEKUAN PASARAYA BESAR PERLU DILIHAT SECARA MENYELURUH

KENYATAAN MEDIA
(6 Ogos 2005)


Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) ingin memberikan pandangan terhadap kenyataan yang telah dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal bahawa Kerajaan sedia mengkaji semula pembekuan kelulusan pembinaan pasar raya besar yang dibuat sejak tiga tahun lalu, jika langkah itu mampu membantu membendung inflasi. Kesediaan itu adalah berdasarkan pasar raya besar itu berupaya menawarkan harga rendah kepada para pengguna. Kerajaan menyedari bebanan yang perlu ditanggung oleh pengguna akibat kenaikan harga minyak berpunca daripada kos kehidupan yang semakin meningkat.

Kenyataan yang dibuat oleh beliau ini dilihat bakal mengubah keputusan kabinet yang berkaitan dengan pembekuan kelulusan pembinaan pasaraya besar pada 11 April 2002.

Apabila kerajaan mengarahkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membekukan kelulusan pembinaan pasar raya besar (hypermarket) dan cawangannya, berkuat kuasa serta-merta bermula pada 11 April 2002, pelbagai pihak khususnya peniaga kecil dan runcit memberikan reaksi yang positif. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan tersebut kekal sehingga satu garis panduan untuk mengawal kewujudan pasar raya besar dikeluarkan nanti. Katanya, arahan itu dikeluarkan setelah mendapati aktiviti perniagaan terutamanya pasar raya besar milik pelabur asing menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga tempatan yang terletak berhampiran dengannya.

Beliau juga memaklumkan bahawa satu jawatankuasa akan diwujudkan di peringkat pusat untuk mengawal kebenaran pembinaan pasar raya besar melalui garis panduan yang ketat yang akan turut mengandungi syarat-syarat dan kriteria termasuk menjelaskan definisi sebenar hypermarket, luas lantai serta jenis perniagaan yang dijalankan,'' katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pasca- Kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat setelah Tan Sri Muhyiddin memaklumkan bahawa Kabinet telah diberitahu mengenai kajian oleh sebuah agensi bertauliah, AC Nielsen, yang mendapati kewujudan pasar raya besar memberi kesan negatif kepada para peniaga kecil dan peruncit di negara ini.

Datuk Mohd. Shafie Apdal seharusnya melihat kepada kesan jangka panjang yang akan menimpa kepada peruncit dan peniaga kecil. Jika dilihat dari sudut peruncitan antarabangsa, kerajaan Perancis misalnya telah mengenakan sekatan melalui Royer Law pada 1973 demi menjaga kepentingan peniaga-peniaga kecil mereka daripada ditindas oleh pasar raya besar. Sejak tahun 60-an lagi pasar raya besar telah mengalami pertumbuhan yang amat ketara di Perancis. Sejak dari itu, banyak peniaga-peniaga kecil telah menutup perniagaan disebabkan para pembeli lebih gemar membeli di pasar raya-pasar raya besar.

Kerajaan tempatan di Jepun juga telah memperkenalkan undang-undang untuk mengurangkan pertumbuhan pasar raya besar. Ini jelas membuktikan bahawa negara-negara maju yang lain telah pun melaksanakan sekatan-sekatan terhadap pasar raya besar ini bertahun-bertahun yang lalu.

Di negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat misalnya telah wujud suasana oligopoly dalam industri peruncitan, di mana hanya syarikat-syarikat gergasi tertentu seperti Carrefour, Wal-Mart, Delhaize Le Lion, Royal Ahold yang menguasai pasaran peruncitan. Ini kerana bilangan pasar-pasar kecil seperti supermarket telah diambilalih oleh syarikat-syarikat besar.

Jika dilihat dari sudut pertumbuhan ekonomi negara kita, hal seperti ini akan mewujudkan kurangnya daya saing antara pengusaha runcit tempatan. Kesan daripada monopoli oleh pasar raya besar akan membantutkan usaha kerajaan untuk melahirkan peniaga-peniaga tempatan terutamanya di kalangan bumiputera.

Kita tidak boleh menafikan bahawa pasar raya besar bukan milik rakyat Malaysia sepenuhnya. Majoriti daripada saham dimiliki oleh pengusaha asing. Konsep monopoli ini menyebabkan amat sukar untuk peniaga kecil tempatan bersaing dengan syarikat gergasi dunia yang telah mempunyai rangkaian logistik yang begitu meluas dalam mendapatkan barangan runcit secara pukal pada harga yang lebih murah.

Mengenai tindakan untuk membendung kadar inflasi, mengikut pandang penganalisis ekonomi tempatan, Dr. Hamzaid Yahya (Utusan Malaysia, 4 Ogos 2005), Indeks Harga Pengguna IHP bulanan mungkin meningkat lebih tinggi iaitu sehingga lima peratus, sekiranya tarif elektrik dinaikkan tidak lama lagi. Kerajaan perlu mengenakan kawalan segera terhadap permintaan bagi mengekang tekanan inflasi berikutan kenaikan harga minyak dan diesel.

Kenaikan harga minyak buat kali kedua dan diesel kali ketiga berturut-turut pada tahun ini akan meningkatkan (IHP) melepasi paras tiga peratus berbanding 1.4 peratus tahun lalu. Beliau juga turut membayangkan kenaikan harga minyak dan elektrik itu bakal menyaksikan peningkatan harga barangan pengguna antara tiga hingga empat peratus.

Ini bermakna, kerajaan mestilah sedar bahawa kenaikan kadar inflasi juga disebabkan oleh kegagalan kerajaan khususnya dengan tindakan kekerapan kerajaan menaikkan harga jualan minyak petrol dan diesel. Oleh itu, kewujudan pasar raya besar terutamanya pasar raya besar milik pelabur asing bukanlah jalan penyelesaian utama membendung inflasi tetapi yang pastinya ia akan menjejaskan perniagaan peniaga-peniaga tempatan khususnya yang terletak berhampiran dengannya.
Sekian, wassalam

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830

No comments: