Oleh SALMAN HUSSIN
KLUANG, 26 Ogos (Hrkh) – Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPP NJ) merasa kesal dengan sikap pihak pentadbiran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjemput kumpulan KRU mengadakan konsert pada konvokesyen universiti berkenaan Sabtu ini. Persembahan konsert KRU ini adalah sebahagian acara sempena konvokesyen UTM Ke-35 yang berlangsung mulai 24 hingga 30 Ogos ini di universiti berkenaan di Skudai Johor, kata Ketua DPP NJ, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dekat sini.
Menurutnya, UTM sebagai institusi pengajian tinggi yang bakal melahirkan golongan cendiakawan pada masa depan tidak sewajarnya membawa masuk ke dalam universiti berkenaan unsur-unsur negatif yang boleh merosakkan pelajar.
"UTM juga sepatutnya mengambilkira masalah keruntuhan akhlak yang begitu teruk melanda generasi muda masa kini dan sewajarnya menjadikan ia sebagai iktibar dengan tidak menyajikan mahasiswa ini dengan perkara-perkara yang berunsur negatif," katanya.
Katanya lagi, universiti adalah tempat untuk melahirkan golongan cendiakawan dan pemimpin untuk menerajui negara pada masa depan tetapi sekiranya budaya negatif yang disemai kepada mereka sejak di universiti lagi apakah mungkin mereka ini akan lahir sebagai cendiakawan atau pemimpin yang berakhlak mulia.
Justeru kerana itu DPP NJ membantah sekeras-kerasnya tindakan UTM membawa masuk kumpulan KRU ke dalam universiti berkenaan dan mendesak supaya program konsert ini dikaji semula.
Adalah juga difahamkan bantahan telah dibuat oleh persatuan mahasiswa universiti berkenaan, bagaimana pun setakat ini belum diketahui hasil bantahan tersebut.
Adalah juga difahamkan bantahan telah dibuat oleh persatuan mahasiswa universiti berkenaan, bagaimana pun setakat ini belum diketahui hasil bantahan tersebut.
Faizi yang juga bekas Timbalan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM seterusnya berkata, apa yang beliau tahu sebelum ini dasar UTM menyekat sebarang bentuk hiburan yang dianggap boleh merosakkan mahasiswa tetapi beliau hairan bagaimana dasar ini boleh diketepikan tanpa memikirkan kepentingan masa depan akhlak mereka.
"Kita tidak menolak hiburan secara keseluruhan tetapi biarlah hiburan yang tidak melalaikan serta boleh memberi manfaat serta pengajaran kepada mahasiswa yang bakal mewarisi kepimpinan negara ini pada masa depan," katanya.
No comments:
Post a Comment