09 August 2005

KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PERLU MENYEMAK KEMBALI SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

KENYATAAN MEDIA
(8 Ogos 2005)


Hari ini telah disiarkan berita bertajuk “Lagi kes buli pelajar parah dibelasah” (Utusan Malaysia, 8 Ogos 2005). Berita ini menyebut bahawa kali ini di sebuah sekolah menengah di bandar Bukit Besi, dekat sini yang menyaksikan seorang pelajar parah akibat dibelasah oleh lima pelajar lain. Kejadian yang berlaku pagi semalam itu menyebabkan Mohd. Rizuan Mohd. Hashim, 15, terpaksa menggunakan kerusi roda. Dia yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) sudah pun dibenarkan keluar petang ini.

Lima pelajar tingkatan tiga yang disyaki terbabit pula sudah ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun untuk siasatan lanjut. Kes buli itu berlaku ketika mangsa dan kelima-lima pelajar terbabit berada di sebuah kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau kerana mengikuti Program Pendidikan Terengganu Gemilang.

Mangsa dipercayai diserang dan dipukul dengan kerusi dan disepak di beberapa bahagian tubuh pada waktu rehat, kira-kira puku 10.50 pagi.

Kes buli ini adalah merupakan penerusan kepada episod ngeri di sekolah. Satu persatu kejadian samseng dan buli di sekolah didedahkan kepada rakyat Malaysia dan sukar sebenarnya untuk percaya bahawa kes samseng sekolah masih tetap berterusan walaupun telah didedahkan oleh media massa dengan begitu meluas. Saya yakin bahawa pendedahan berita ini bukanlah bertujuan untuk memperbanyakkan lagi kejadian samseng tetapi untuk melahirkan rasa prihatin dan tanggungjawab di kalangan masyarakat untuk membendung gejala ini daripada terus menjadi-jadi.

Pelbagai cadangan, pandangan dan kritikan telah dilontarkan oleh pelbagai pihak untuk sama-sama mengatasi masalah ini. Namun, saya tertarik dengan berita yang telah disiarkan oleh BERNAMA bertajuk "Kes Buli Di Sekolah Di Negara Ini Masih Rendah” pada 18 Julai 2005. Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Hon Choon Kim menyebut bahawa bilangan kes buli, peras ugut dan vandalisme di sekolah di negara ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain, iaitu di bawah 0.03 peratus.

Beliau berkata walaupun kecil daripada segi peratusannya, kementerian tetap menganggap ia adalah satu perkara yang serius dan telah mengeluarkan lapan garis panduan dan tindakan drastik untuk membendung kejadian itu.
Antaranya mewujudkan talian hotline dan e-mel untuk membolehkan aduan terus dibuat kepada kementerian jika berlaku kes buli di sekolah, katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari Isnin.
Saya berpandangan walaupun dakwaan bahawa peratusan kes buli ini kecil, Kementerian harus ingat bahawa tidak semua kejadian kes buli dan samseng dilaporkan. Apakah masih tidak serius sehingga terdapat kes disiplin yang mengakibatkan pembunuhan di sekolah?. Kementerian seharusnya mengambil sikap untuk menilai dan mengkaji sejauhmanakah keberkesanan sistem pendidikan negara yang ada pada hari ini tanpa menafikan bahawa terdapat banyak punca yang menjadi penyebab. Apakah sistem yang ada pada hari ini telah sempurna tanpa cacat cela dan tidak perlu dirombak dan diperkasa?.
Saya mengambil statistik pooling ini di dalam laman web Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (http://www.pemuda.com.my/) pada 8 Ogos 2005. Statistik ini menunjukkan bahawa 26.65 % bersetuju bahawa punca kejadian gejala Samseng dan Buli di sekolah adalah berpunca daripada kelemahan Sistem Pendidikan Negara.

Punca Utama Kejadian Gejala Samseng Dan Buli Di Sekolah?

Pengawasan Sekolah Yang Lemah 20.78% (85)
Pengaruh Media 14.67% (60)
Sikap Lepas Tangan Ibu Bapa 37.90% (155)
Kelemahan Sistem Pendidikan Negara 26.65% (109)

Total Votes: 409

Oleh itu, Kementerian Pelajaran bukan sekadar melakukan pemantauan tetapi harus melihat sejauh mana Sistem Pendidikan negara pada hari ini dapat membantu melahirkan warga negara yang mempunyai jati diri sebenarnya.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: