09 August 2005

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA MENERUSKAN RUTIN KERJA - AKAN PANTAU KENAIKAN HARGA BARANG SELEPAS KENAIKAN HARGA MINYAK.

KENYATAAN MEDIA
(8 Ogos 2005)

Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini menyiarkan berita bertajuk “255 barang dijangka naik, Kementerian pantau harga di lebih 1,000 premis perniagaan - Shafie Apdal”. Berita ini menyebut bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan harga kira-kira 255 jenis barangan terutama keperluan harian akan naik ekoran kenaikan harga minyak.

Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, sehubungan itu, pihaknya sedang memantau harga kesemua barangan tersebut di lebih 1,000 premis perniagaan di seluruh negara. Antara barangan yang dijangka naik harga, katanya, ialah minyak masak, telur, ayam, daging, sayur-sayuran, kelapa dan beras.

Beliau berkata, pemantauan itu perlu kerana “kami yakin ia akan mengalami kenaikan secara mendadak ekoran kenaikan harga minyak'' Mohd. Shafie memberitahu, kementerian sudah mengarahkan unit penguat kuasa di setiap negeri memantau harga 255 jenis barangan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPN Johor) melihat bahawa kenyataan ini sebenarnya menunjukkan betapa tidak pekanya Dato’ Mohd Shafie terhadap perkembangan harga barangan runcit semasa kerana pada 5 Ogos 2005 Berita Harian telahpun menyiarkan berita mengenai kenaikan harga barangan runcit dipasaran. Pemantauan Berita Harian mendapati harga barangan naik berbanding pemantauan mulai 5 Mei hingga 2 Jun lalu, iaitu selepas kenaikan harga petrol dan diesel pada 4 Mei 2005 di beberapa bandar utama diseluruh negara.

DPPN Johor juga turut mempersoalkan sejauhmanakah kebenaran dan keberkesanannya yang dapat membuktikan bahawa KPDNHEP telah melakukan pemantauan terhadap harga barangan di pasaran. Selepas kenaikan harga minyak diumumkan oleh kerajaan pada bulan Mei 2005 yang lalu, beberapa kenyataan telah dikeluarkan oleh KPDNHEP sebagai usaha untuk membendung kenaikan harga barang. Diantaranya ;

i. Utusan Malaysia, 10 Mei 2005 - Lima barang kawalan dijual melebihi paras harga siling
Harga beberapa jenis barang-barang kawalan seperti gula, beras, telur, susu pekat manis dan ayam - yang sepatutnya tidak naik kerana dikawal kerajaan - didapati naik atas alasan kos meningkat akibat kenaikan harga minyak.

ii. Utusan Malaysia, 11 Mei 2005 - 1,000 penguat kuasa dikerah Periksa harga barangan kawalan di seluruh negara
Kerajaan mengarahkan lebih 1,000 pegawai penguat kuasa memeriksa harga barang-barang kawalan di seluruh negara bagi membanteras kemungkinan wujud pesta naik harga. Serentak dengan itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Shafie Apdal mengeluarkan amaran keras akan mengenakan tindakan tegas kepada para peniaga yang berbuat demikian.

iii. Utusan Malaysia, 16 Mei 2005 - Harga barang di semua kedai harian dipantau
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menghebahkan kepada pengguna kedai barangan keperluan harian yang menjual dengan harga patut sempena Kempen `Belilah Barangan Murah'

iv. Utusan Malaysia, 17 Mei 2005 - Harga teh tarik naik
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal hari ini mendedahkan ada peniaga yang menaikkan harga teh tarik sebanyak 30 sen ekoran kenaikan harga minyak baru-baru ini.

Namun, kerajaan masih tidak dapat menjamin dan mengawal harga barangan terutamanya barangan runcit daripada terus menekan pengguna. Kini, proses rutin pegawai-pegawai KPDNHEP sepertimana yang diarahkan oleh menterinya sedang giat dilaksanakan untuk memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang. Sama ada pemantauan dilakukan atau tidak, yang pastinya harga barangan tetap akan naik dan menekan pengguna.

Sekian.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830/012-7811830
http://dppnjohor.blogspot.com/

No comments: