25 March 2006

MEMORANDUM KEPADA PAK LAH ISU PEMBINAAN JAMBATAN MALAYSIA - SINGAPURA

Rujukan Kami : PAS/DPP.12/2.05(19/06)
Rujukan Tuan :

24 Mac 2006 / 3 Safar 1427



Kepada,

Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi
Pejabat Perdana Menteri,Blok Utama, Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 PUTRAJAYA

Melalui dan salinan ;

Yang Amat Berhormat Dato’ Abdul Ghani Bin Othman
Menteri Besar Negeri Johor Darul Ta’zim
Pejabat Menteri Besar
Bukit Timbalan, Johor Bahru
Johor Darul Ta’zim

Yang Amat Berhormat Dato’ Seri,

Memorandum Membantah menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura untuk membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) melahirkan rasa dukacita teramat sangat dan membantah sekeras-kerasnya terhadap tindakan mahu menyerahkan ruang udara dan menjual pasir laut kepada Singapura semata-mata hanya mahu mereka bersetuju membina jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.

2. DPPNJ melihat sekiranya ini berlaku maka ini adalah sebagai satu pengkhianatan terbesar parti pemerintah yang diterajui oleh UMNO/BN terhadap negara dan rakyat. Membenarkan penggunaan ruang udara negara kepada Singapura merupakan satu tindakan yang amat tidak wajar dilakukan oleh kerajaan. Mana-mana negara yang berdaulat sekalipun tidak akan membenarkan tindakan ini berlaku lebih-lebih lagi hanya kerana mahu membina sebuah jambatan. Ini kerana ianya bukan sekadar melibatkan maruah dan kedaulatan negara tetapi ianya juga melibatkan tentang keselamatan rakyat dan negara.

3. Persetujuan membekalkan pasir kepada Singapura sepertimana yang telah didedahkan oleh Mingguan Malaysia bertarikh 19 Mac 2006 bahawa sekiranya syarat tambahan kerajaan Singapura dipenuhi, bermakna Malaysia akan membekalkan sebanyak 200 juta meter padu pasir selama tempoh 20 tahun bagi melebarkan Pulau Tekong, Tuas dan Jurong.

4. Ini bermakna sebenarnya kita telah membantu Singapura untuk memperluaskan lagi wilayahnya. Ini sangat bertentangan dengan sikap kerajaan Malaysia yang sebelum ini dilihat sangat sensitif apabila menentang tindakan Singapura melakukan proses penambakan laut dengan alasan ianya akan memberi kesan kepada perairan negara malah lebih kronik lagi kita menentang usaha Singapura tersebut sehingga membawanya ke mahkamah antarabangsa kerana kesan negatifnya juga memudaratkan operasi TLDM di Tanjung Pengelih.

5. Apakah tindakan kerajaan Malaysia selama ini hanyalah lakonan semata-mata atau kerajaan dilihat berubah pendirian ? Jelas sekali kini keterdesakkan kerajaan untuk meneruskan projek pembinaan jambatan tersebut bagi menyelamatkan CIQ ( Komplek Imegresen dan Kuarantin ) yang bernilai RM1.16 billion daripada menjadi projek gajah putih dipergunakan sepenuhnya oleh Singapura untuk memperolehi segala yang dicita daripada Malaysia. Lebih menyedihkan kerajaan dilihat begitu mudah diperbudakkan oleh Singapura semata-mata untuk mempertahankan ego mereka.

6. Kini dalam menyelesaikan isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor kerajaan dilihat mengulangi prinsip yang sama, menyelesaikan masalah dengan mencipta masalah baru. Kerajaan dilihat tidak mempunyai kredibaliti untuk mewakili kepentingan rakyat di dalam isu pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor ini. Pertimbangan singkat dengan mengenepikan pengajaran-pengajaran daripada peristiwa lalu kini mewarnai rundingan antara Malaysia-Singapura di dalam isu ini. Jika sebelum ini kita ditipu hidup-hidup dalam perjanjian perbekalan air dan banyak lagi isu yang berbangkit, DPPNJ melihat rundingan berkenaan isu pembinaan jambatan ini juga akan mengulangi episod yang sama.

7. Perkara ini telah disebut oleh Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (Mingguan Malaysia, 19 Mac 2006) hasil daripada rundingan kali ke 5 dengan Singapura berhubung dengan pembinaan jambatan baru ini.

8. Dalam ruangan yang sama juga Syed Hamid berkata, isu tuntutan tambahan itu tidak harus dijadikan pertikaian kerana ia adalah keputusan kabinet yang sudah pasti mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia.

9. DPPNJ membuat satu kesimpulan yang mudah ; perkara ini sebenarnya menunjukkan sikap sebenar pemimpin UMNO/BN dalam soal menjaga maruah dan kedaulatan Negara.

10. DPPNJ kecewa dengan Menteri Luar Malaysia kerana sebelum ini memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan tunduk kepada apa jua desakan kerajaan Singapura. Syed Hamid telah menyatakan dengan tegas bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang isu termasuklah isu pasir dan ruang udara (Utusan Malaysia, 13 Mac 2006). Pada 14 Mac 2006 pula, Berita Harian melaporkan pula bahawa tiada syarat tambahan akan dimetrai untuk membina jabatan ini.

11. Mana perginya kejujuran seorang pemimpin kerajaan?. Sanggup menggadaikan negara walaupun kesannya amat memedihkan kepada generasi akan datang.

12. Dalam hal ini, DPPNJ tertarik dengan kenyataan oleh Pengarah Urusan Gerbang Perdana Sdn Bhd, Datuk Yahya A. Jalil, yang merupakan kontraktor utama pembinaan jambatan ini. Walaupun syarikat beliau telah dianugerahkan projek mega ini namun dalam soal kepentingan rakyat Malaysia beliau telah menyatakan bahawa ;

“Sebagai rakyat Malaysia dan anak kelahiran Johor saya tidak rela dan saya sanggup mati untuk tanah air daripada menyerahkan martabat, maruah dan kedaulatan Negara ini”.

“Ruang udara dan pasir adalah simbolik kepada kedaulatan tanah air ini. Mengapa perlu diperdagangkan?. Saya tidak sanggup untuk melihat ini berlalu. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.”

13. DPPNJ melahirkan rasa sangsi terhadap pendirian Kabinet Malaysia terhadap isu ini. Berita Minggu bertarikh 19 Mac 2006 melaporkan bahawa mesyuarat Kabinet Malaysia akan membuat keputusan terhadap tuntutan tambahan yang diletakkan oleh Singapura tetapi sehingga ke hari ini tiada apa-apa keputusan yang telah diumumkan kepada rakyat. Apakah ada agenda disebalik keputusan ini?. Inilah yang membimbangkan DPPNJ dan rakyat Malaysia.

14. DPPNJ sekali lagi menegaskan bahawa DPPNJ tidak berkompromi dengan apa jua syarat yang bakal menjahanamkan negara.

15. DPPNJ dengan tegas berpendirian bahawa sebarang keputusan kerajaan untuk memberi persetujuan terhadap permintaan Singapura adalah suatu kesilapan yang akan mengundang bala yang lebih besar kepada negara. Persetujuan ini merupakan satu pengkhianatan yang tidak akan dimaafkan oleh rakyat.

Sekian, wassalam.

“Memacu Perjuangan”

Yang menjalankan amanah,



KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Ketua
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor.
Tel : 019-7701830
http://dppnjohor.blogspot.com

No comments: