14 December 2006

MEMORANDUM ISU KAMPUNG SRI CAHAYA KLUANG

Posted by Picasa
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI JOHOR
No 17, Jalan Berlian 3, Taman Renggam Jaya,86200 Simpang Renggam, Johor Darul Ta’zim.
Tel / Faks : 07-7554693 e-mail :
dppjohor@yahoo.com
Menerajui Kebangkitan

Ruj Kami : PAS/DPP.12/2.05/memorandum_kgsricahaya(26/06)
Ruj Tuan :

Tarikh : 14 Disember 2006/23 Zulkaedah 1427

Kepada

Y.A.B. Dato’ Abd Ghani bin Othman
Menteri Besar Negeri Johor Darul Ta’zim
Pejabat Menteri Besar, Bukit Timbalan
80000 JOHOR BAHRU

Y.A.B. Dato’

MEMORANDUM BERKENAAN NOTIS MENGOSONGKAN TANAH DI ATAS KAWASAN PERINDUSTRIAN KLUANG II MUKIM KLUANG DAERAH KLUANG

Saya merujuk kepada surat daripada Johor Corporation (JCorp) no rujukan (52) dlm JCorp : JKH/04/(A)/39 bertarikh 30 November 2006 dan pertemuan bersama penduduk Kampung Sri Cahaya Kluang yang telah diarahkan untuk mengosongkan tanah dan kediaman mereka.

Hasil daripada pertemuan dengan penduduk yang terlibat dengan pengarahan ini, saya ingin memaklumkan bahawa mereka adalah warganegara Malaysia yang telah lahir di Malaysia.

Terdapat 4 keluarga yang terlibat dalam pengarahan untuk mengosongkan kawasan perumahan tersebut.

i. Keluarga Encik Wagiman Bin Misman
ii. Keluarga Encik Puddin Bin A Rahman
iii. Keluarga Puan Kiyah Binti Manap
iv. Keluarga Encik Mohd Shah Bin Lokman

Dalam pertemuan dengan penduduk yang terlibat dengan notis mengosongkan tanah ini, saya difahamkan keluarga-keluarga ini telah pun meneroka kawasan ini lebih kurang 20 tahun yang lalu. Kawasan tanah yang telah diteroka ini telahpun dimanfaatkan sebagai kawasan penempatan dan pertanian.

Saya difahamkan juga bahawa pelbagai usaha telah dilakukan untuk menuntut hak mereka sebagai peneroka awal tanah tersebut. Di antaranya, membuat perbincangan dengan Pejabat Tanah Kluang dan mengadakan perbincangan dengan JCorp namun kesemuanya telah menemui kegagalan.

Mengikut maklumat daripada surat arahan JCorp ini, kawasan penempatan ini telah termasuk di dalam Kawasan Perindustrian Kluang II seluas 94.2 ekar telah diambil alih oleh JCorp pada tahun 1982 seperti mana Warta Kerajaan Bil.157 bertarikh 4 Februari 1982 dan semua pampasan telah dibayar oleh JCorp mengikut borang ‘G’ pada tahun 1983.

Mengikut notis yang telah dikeluarkan oleh JCorp, penduduk telah dinasihatkan untuk mengosongkan tapak tersebut bagi melancarkan kerja-kerja tanah.

Tujuan Memorandum

Memorandum ini dihantar kepada YAB Datuk setelah mengambil kira beberapa perkara seperti berikut :-

i. Peneroka tanah ini adalah penduduk tempatan berstatus bumiputera yang telah lahir dan menetap di Malaysia.
ii. Peneroka tanah ini telah meneroka dan memajukan tanah tersebut sejak sekian lama.
iii. Penduduk tersebut telah membina rumah kediaman yang terdiri daripada rumah batu dan separuh baru.
iv. Penduduk masih mempunyai anak-anak yang bersekolah.
v. Penduduk merupakan mereka yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah.

Mengambil kira kepada maklumat di atas termasuklah usaha gigih mereka mengusahakan tanah dan membina penempatan, saya mewakili penduduk Kampung Sri Cahaya yang terlibat dengan notis ini menggesa agar YAB Datuk melalui dasar peri kemanusiaan agar dapat membantu untuk memberi pampasan dan menggantikan penempatan baru kepada mereka yang terlibat.

Bersama-sama ini saya lampirkan notis arahan yang telah dikeluarkan oleh Jcorp kepada penduduk yang terlibat.

Saya juga menggesa supaya YAB Datuk dapat mengambil tindakan supaya mengambil tindakan menasihatkan Jcorp untuk menangguhkan tindakan untuk merobohkan rumah kediaman penduduk memandangkan tempoh notis 14 hari bagi mengosongkan tanah tersebut berakhir hari ini.

Firman Allah S.W. T.

"Wahai orang-orang yang beriman, Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Surah As-Saff 10 ~ 11

Semoga usaha yang sedikit ini dapat membuka ruang kepada YAB Datuk untuk membantu rakyat yang sedang menghadapi kesusahan ini.

Sekian, wassalam.

Yang menjalankan amanah,


Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor
019-7701830

s.k. - Y.B. Salahuddin Bin Ayub
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat
Ahli Parlimen Kubang Krian

- Y.Bhg. Datuk Dr Mahfodz Bin Mohamed
Pesuruhjaya PAS Negeri Johor

- Md Shahrodin Bin Md Yunos
Pengurus Besar Jabatan Khidmat Hartanah
Johor Corporation

- Pentadbir Tanah Kluang
Pejabat Pentadbir Tanah, Jalan Pejabat Kerajaan 1,
86000 Kluang, Johor Darul Takzim

- Y.B. Datuk Gapar Bin Gurrohu
ADUN Mahkota

- Encik Wagiman Bin Misman
Kampung Sri Cahaya, Kluang

- Encik Puddin Bin A. Rahman
Kampung Sri Cahaya, Kluang

- Puan Kiyah Binti Manap
Kampung Sri Cahaya, Kluang

- Encik Mohd Shah Bin Lokman
Kampung Sri Cahaya, Kluang

No comments: