10 March 2008

JOHOR BUKAN LAGI KUBU KUAT BN

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Johor bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) berbanding sebelum ini apabila parti itu gagal mengekalkan semua 25 kerusi Parlimen dan 55 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum 2004 lalu.

Dalam laporan Bernama, walaupun BN berjaya mendapatkan kembali kerusi negeri Senggarang, yang dimenangi PAS atas kesilapan teknikal pada 2004,tetapi BN kalah enam kerusi negeri dan satu kerusi parlimen kepada pembangkang pada pilihan raya umum yang baru berakhir.

DAP memenangi kerusi Parlimen Bakri melalui calon DAP, Er Teck Hwa yang menewaskan calon BN dengan majoriti 722.

Manakala untuk kerusi Dun Bentayan,calon DAP, Gwee Tong Hiang menang dengan majoriti 9,118. Di Mengkibol calon DAP,Ng Lam Hua menang dengan majoriti 1,281; di Skudai, calon DAP, Boo Cheng Hau menang dengan majoriti 12,854.

Sementara itu, walaupun PAS kalah di Senggarang tetapi telah menang di Dun Maharani melalui calonnya, Mohamad Taslim denga majoriti 158 dan Sungai Abong melalui calonnya, Sheikh Ibrahim Salleh dengan majoriti 1,550.

Walaupun, Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman berkata Johor masih kubu kuat BN, kekalahan kerusi-kerusi tersebut mengesahkan Johor masih boleh ditembusi pembangkang pada masa hadapan.

Sungguhpun, BN mengekalkan banyak kerusi, hampir kesemua calon BN menyaksikan majoritinya berkurangan.
Abdul Ghani sendiri hanya mendapat majoriti 4,971 di kerusi negeri Serom berbanding majoriti 8,081 pada 2004. - mks.

No comments: